“Kalau tak mahu ikut satu pengantar pendidikan, bererti kita tak mahu mengakui kedaulatan Raja yang memerintah sesuatu negeri, ini adalah punca masalah kurang perpaduan rakyat,” kata Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Dr Ibrahim Bakar.
Isu perpaduan rakyat nampaknya berlarutan sehingga sekarang. Ia tidak memperlihatkan acuan seperti dikehendaki kerajaan. Sebenarnya tidak sukar untuk mencungkil puncanya.
Sistem pendidikan yang diwarisi daripada penjajah British dilihat tidak menggalakkan perpaduan kaum. Penjajah membiarkan kaum minoriti menyediakan pendidikan mengikut acuan negara pendatang.
Sekolah-sekolah Cina mendapat bantuan kewangan dari China sejak tahun 1901. Guru-guru juga dibawa dari China.
Selepas lahir Republik Rakyat China pada 1911, bantuan kewangan diberi kepada sekolah-sekolah Cina di Tanah Melayu.
Ideologi diserapkan dalam kurikulum di sekolah-sekolah Cina.
Penjajah Inggeris juga mewajibkan pemilik estet menyediakan sekolah Tamil. Langkah itu menjadi pendorong pekerja-pekerja dari India datang ke Tanah Melayu.
Sekolah-sekolah Tamil dibina di ladang getah dan kelapa. Kebanyakan pekerja dari India bertutur bahasa Tamil. Sekolah yang dibuka di estet menggunakan bahasa Tamil sebagai pengantar.
Sekolah Tamil ada juga dibina mubaligh Kristian dan individu. Kurikulum serta guru didatangkan dari India. Bermula tahun 1902 Inggeris memberi kemudahan untuk menubuh sekolah Tamil di estet atau di bandar.
Sekolah vernakular
Bagaimanapun pada tahun 1949, Jawatankuasa Barnes ditubuh penjajah untuk menyatukan semua sekolah vernakular, iaitu sekolah Melayu, Cina dan Tamil.
Laporan Barnes mencadangkan dibubarkan sistem sekolah vernakular yang berasingan dan diganti dengan sekolah kebangsaan bagi semua kaum.
Sekolah tersebut menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sebagai pengantar. Manakala, bahasa Cina dan Tamil diajar sebagai mata pelajaran.
Langkah itu untuk mencapai perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang kaum.
Prof Dr Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia menyifatkan gabungan sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan dan agama cara terbaik meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan menggalakkan perpaduan rakyat berbilang bangsa.
Katanya seperti dilapor media, sistem sekolah vernakular yang diamalkan sehingga sekarang menghalang pembentukan identiti nasional.
Sebuah negara yang dihuni pelbagai kaum seharusnya mempunyai satu sahaja sistem pendidikan.
Sedangkan di Thailand penduduk berbahasa Siam. Begitu juga di Indonesia masyarakat Tionghua berbahasa Indonesia. Kejayaan di negara terbabit kerana hasil daripada dasar sekolah satu aliran kebangsaan.
Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang kewujudan sekolah vernakular. Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) juga mengiktiraf Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.
Peliknya selepas 68 tahun penjajah meninggalkan Tanah Melayu mengapa sistem di era Inggeris masih dibiarkan.
Sedangkan tugas kerajaan di peringkat awal kemerdekaan mewujudkan satu sistem pendidikan tunggal yang boleh menyatukan semua sistem persekolahan berbeza.
Maka tidak salah kalau Dr Ibrahim dan Dr Teo menegaskan tanpa satu pengantar pendidikan, perpaduan nasional sukar disebatikan.
Kerajaan juga membelanjakan begitu banyak wang pembayar cukai bagi mempertautkan perpaduan nasional. Malah, kerajaan mewujudkan Kementerian Perpaduan Negara untuk mengekalkan, membina dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Pelbagai usaha telah dilaksanakan ke arah menyegarkan perpaduan nasional. Malah pada 15 Februari 2021 kerajaan melancar Dasar Perpaduan Negara bagi mengukuh teras perpaduan.
Dan 15 Februari 2025 Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang memberitahu kerajaan melaksana ‘programme based’ untuk merapatkan jurang sosial antara rakyat Malaysia.
Tahun 2025 Kementerian Perpaduan Negara mengangkat konsep negara bangsa dan tema harmoni dalam kepelbagaian sebagai fokus utama.
Jelaslah isu perpaduan seperti tidak ada noktah. Ini kerana teras awal perpaduan yang diwarisi penjajah sudah dianggap tempang.
