Gelanggang Rakyat

Majlis rasmi kerajaan hidang arak?

KERAJAAN Madani wajar meneliti latar belakang dan kompeten individu yang dilantik sebagai menteri berdasarkan akademik, disiplin pengajian, akal budi dan akhlak.

Pemerhati politik dari sebuah universiti awam Dr Zulkeflee Yaacob mencadangkan pelantikan menteri bukan diambil kira berdasar kuota parti tertentu yang mendukung kerajaan semata-mata.

Kata beliau praktikal kepercayaan kepada Tuhan dalam prinsip Rukun Negara perlu dipertahan bagi mengelak mengganggu-gugat keharmonian dalam masyarakat majmuk yang majorti Melayu-Islam.

Katanya tindakan penganjur menghidangkan arak secara terbuka pada Majlis Makan Malam Gala ‘Global Travel Meet 2025’ yang dilapor turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing begitu memalukan.

“Berdasar video dimuat naik di media sosial, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin mempersoalkan tindakan tersebut.

“Dalam video berasingan ahli parlimen Perikatan Nasional terbabit juga mengkritik tindakan Tourism Malaysia menjalin kerjasama dengan Starbucks sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Langkah itu menimbulkan keresahan awam memandangkan jenama syarikat tersebut sering dikaitkan dengan isu sensitiviti berhubung konflik Palestin,” katanya di Ipoh. 

Media melaporkan Majlis Makan Malam Gala ‘Global Travel Meet 2025’ yang melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) baru-baru ini dikecam pelbagai pihak.

Oleh itu mereka mendesak Tiong King Sing bertanggungjawab dan memberi penjelasan memandangkan program tersebut adalah acara rasmi Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun menteri terbabit menafikan dakwaan arak dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan melibatkan MOTAC.

Sebaliknya beliau memberitahu majlis itu inisiatif pihak industri dan sektor swasta.

Acara rasmi

Dr Zulkeflee juga berkata, acara rasmi kerajaan melarang sebarang bentuk minuman dan makanan yang dikriteria ‘larangan’ termasuk arak.

Menteri terbabit sebelum ini mencetus banyak kontroversi yang jarang berlaku di era kerajaaan lain.

Pada kenyataan tahun lepas Tiong King Sing dilapor berkata, pengiktirafan hidangan sup babi bak kut teh sebagai makanan warisan negara tiada kena mengena dengan isu bangsa atau agama.

Menurutnya pengiktirafan makanan itu dibuat mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Manakala pada awal tahun ini video pelancaran promosi Tahun Melawat Malaysia 2025 berdurasi 41 saat dilapor tiada gambar masjid, sedangkan rumah ibadat agama lain ada.

Kontroversi tersebut mengundang kritikan keras daripada pelbagai pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *