Tapak sekolah dilulus tahun 2010 kini terbiar

A RAHMAN HARUN
RAMAI penduduk yang terbabit dengan projek pembinaan sekolah menengah dan sekolah kebangsaan di Binjai, Kota Bharu sudah lama merobohkan rumah mereka selepas mendapat pampasan daripada kerajaan.
Projek pembinaan dua sekolah tersebut dirancang di kawasan seluas 5.7 hektar dan 2.5 hektar. Malangnya selepas 15 tahun berlalu projek terbabit tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang.
Penghulu Mukim Lubok Pukol, Mohamad Safiee Yusoff berkata, penduduk yang terbabit pengambilan tanah sudah lama mendapat pampasan.

Katanya penduduk pun sudah meroboh rumah lama dan membina kediaman baru di tempat lain, namun tiada apa-apa pun pembangunan di tapak terbabit.
“Kita dimaklumkan sejak pada Belanjawan 2024 dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diuar-uarkan disediakan peruntukan bagi membina sekolah terbabit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun sehingga sekarang projek tersebut tidak dijalankan menyebabkan penduduk terpaksa menghantar anak ke sekolah menengah di tempat jauh termasuk di Kubang Kerian, Beris Kubor Besar dan Kota Jembal.

“Kerajaan perlu segera membina sekolah tersebut memandangkan sudah lama projek tersebut dilulus dan pelajar terpaksa berulang-alik kira-kira 16 kilometer dari rumah setiap hari,” katanya.
Seorang penduduk Engku Lah Engku Mamat, 61 turut melahirkan rasa aneh projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Binjai disebut disenarai dalam Belanjawan 2024, namun projek tidak juga dilaksanakan.

Kata beliau pembinaan SMK Binjai perlu dipercepatkan kerana proses pengambilan tanah sudah selesai sejak tahun 2010.
“Tetapi sehingga hari ini tiada apa-apa perkembangaan, lama sangat dah, rakyat pun tertanya-tanya pembangunan sekolah tersebut,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Zaharudin Yaacob berharap kerajaan Madani tidak mengulangi sejarah lalu, di mana Kelantan sering dianaktiri kerajaan Pusat.

