Gelanggang Rakyat

Assabiqun tidak cari nama di medan perjuangan

BERMULA dengan Kelab Veteran PAS dan kini dinaiktaraf kepada Dewan Assabiqun. Sejarahnya bermula pada 14 Oktober 2017 apabila golongan veteran PAS disatukan di bawah bumbung Assabiqun.

Wartawan veteran terkenal Haji Subky Abdul Latif dilantik sebagai pengerusi pertama pada mesyuarat pertama Assabiqun yang dihadiri wakil-wakil Assabiqun daripada negeri-negeri.

Dan kemudian dikenali sebagai Sidang Assabiqun. Pada 2022 Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Pusat Dato’ Dr Mahfodz Mohamed mencadangkan supaya Sidang Assabiqun PAS diangkat sebagai Dewan Assabiqun PAS.

Dan sekarang impian itu menjadi kenyataan apabila Sidang Assabiqun dinaiktaraf kepada Dewan Assabiqun. Oleh itu bagi melihat perjuangan golongan veteran dalam PAS ikuti temubual bersama ahli jawatankuasa Dewan Assabiqun PAS Kelantan Drs Zainuddin Awang Hamat ketika ditemui baru-baru ini. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai guru dan wakil rakyat.

Boleh cikgu berkongsi peranan Assabiqun dalam saf perjuangan PAS?

Assabiqun merupakan golongan yang pernah terlibat secara aktif dalam PAS. Namun mereka sekarang bukan lagi berada di arus perdana kepimpinan di peringkat kawasan dan negeri. Memandangkan ramai lagi golongan veteran yang masih sihat, mereka bersedia menyumbang tenaga dan fikiran kepada gerakan Islam, maka wadah Assabiqun diwujudkan. Mereka adalah pelopor, pembuka jalan dan penyambung perjuangan Rasulullah s.a.w dalam konteks politik dan dakwah di tanah air. Kedudukan mereka bukan sekadar orang lama dalam organisasi, tetapi pembawa roh dan semangat perjuangan Islam berpaksikan ikhlas, sabar, istiqamah dan tawakal.

Apakah ahli Assabiqun masih mampu menyumbang kepada parti dan masyarakat dalam usia warga emas?

Penilaian terhadap Asabiqun tidak boleh diukur dengan usia atau jawatan semata-mata, tetapi dengan sumbangan, istiqamah dan keteguhan dalam mempertahankan prinsip perjuangan. Mereka adalah saksi perjalanan PAS dari saat ditolak sehingga dihormati sekarang. Golongan assabiqun menjadi sumber hikmah dan rujukan kepada generasi muda.

Pengalaman adalah madrasah kehidupan. Jika ia tidak disampaikan, sejarah akan berulang tanpa pengajaran. Assabiqun perlu menjadi jambatan kepada generasi baharu dengan akar perjuangan semangat yang tidak terputus. Menyampaikan pengalaman bukan sekadar bercerita, tetapi menterjemah nilai-nilai perjuangan yang berteras keikhlasan, ukhuwah dan kepatuhan kepada Allah dalam setiap langkah politik dan dakwah.

Roh perjuangan tidak mengenal usia. Selagi hati terpaut kepada dakwah dan amanah Islam, Assabiqun tetap muda di medan amal. Kami terus aktif memberi panduan, mendidik dan mendoakan generasi baharu. Menjaga kesihatan rohani melalui zikir, membaca, menulis dan berinteraksi dengan jamaah. Inilah rahsia untuk kekal segar dalam perjuangan.

Boleh cikgu berkongsi pengalaman sepanjang berada dalam saf utama perjuangan Islam?

Setiap Assabiqun pasti ada detik yang menggetarkan jiwa sama ada saat diuji dengan kekalahan, diugut kerana prinsip atau melihat perjuangan diteruskan oleh anak-anak muda. Detik paling menyentuh hati apabila benih yang ditanam dahulu kini tumbuh subur. Ini menandakan pengorbanan mereka tidak sia-sia.

Saya juga mengingatkan generasi muda supaya jangan putuskan rantai perjuangan di bawah panji Islam. Jangan biarkan perjuangan ini sekadar aktivis parti, tetapi kekalkan sebagai gerakan iman dan amal soleh. Assabiqun telah menanam benih, kini tugas generasi sekarang menyiram dan menyuburkan agar terus mekar sehingga ke akhir zaman.

Bagaimana Assabiqun melibatkan diri dalam arus perjuangan, sedangkan fizikal agak terbatas?

Gaya hidup seorang aktivis Assabiqun biasanya mencerminkan ketekunan, keikhlasan dan istiqamah dalam perjuangan Islam serta kebajikan masyarakat. Sebagai aktivis gerakan Islam lazimnya setiap daripada kita membawa semangat pejuang yang boleh menjadi teladan kepada generasi sekarang dan akan datang.

Boleh cikgu berkongsi pengalaman dalam kehidupan seharian seorang Assabiqun?

Kita hendaklah sentiasa menjaga ibadah wajib dan sunat seperti solat berjemaah, qiamullail, tilawah al-Quran, dan zikir. Menjadikan taqwa sebagai panduan tindakan, bukan sekadar aktiviti luaran. Hidup berorientasi akhirat, bukan hanya kejayaan duniawi. Kita juga perlu rajin menuntut ilmu agama dan mengikuti perkembangan semasa supaya dapat terus memimpin dan mendidik masyarakat. Membaca bahan-bahan perjuangan Islam, sejarah gerakan Islam merupakan salah satu strategi dakwah. Mengamalkan prinsip beramal dengan ilmu, bukan emosi.

Selain itu sentiasa berada dalam saf organisasi Islam, taat kepada pimpinan, musyawarah dalam setiap tindakan. Menjaga ukhuwah dan mengelakkan konflik dalaman. Mengutamakan kerja berpasukan dalam program masyarakat, pendidikan dan kebajikan. Assabiqun dan sesiapa sahaja perlu ada disiplin berkaitan masa, tenaga dan harta. Mengamalkan kesederhanaan (wasatiyyah) dalam berpakaian, makan minum, dan gaya hidup di samping menolak gaya hidup hedonistik dan membazir.

Assabiqun juga boleh aktif dalam kerja kebajikan, dakwah, politik Islam, pendidikan dan sosial. Menjadi contoh akhlak dan kepimpinan, bukan hanya bercakap tentang perjuangan. Kita hendaklah sentiasa dekat dengan rakyat bagi mendengar masalah dan menolong mereka selagi terdaya tanpa mengira latar belakang seseorang. Penting diingatkan penglibatan Assabiqun tidak mencari nama, pangkat atau imbuhan. Mereka sanggup berkorban masa, harta dan tenaga demi perjuangan Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *