Serantau

Menari sambut Trump memalukan

KONDISI berbeza. Disimpulkan seperti dua wajah. Di hadapan rakyat pemimpin negara meluah simpati mendalam terhadap nasib rakyat Gaza. Di majlis lain pula pemimpin sama menyambut Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan selingan tarian.

Media Indonesia melaporkan Trump menggoyangkan pinggul dan mengepalkan tinju mengikuti irama drum tradisional yang mengiringi sambutannya.

Dilapor juga Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, turut mendampingi Trump dan bahkan ikut bergoyang mengikuti alunan muzik.

Sebelum itu sekelompok penari mengenakan kostum berwarna-warni menampilkan tarian yang merepresentasikan keragaman etnik di Malaysia.

Liputan6.com melaporkan Presiden Amerika Syarikat menari sebaik mendarat di Malaysia.

Media Singapura pula mengetengahkan video berdurasi 20 saat menarik perhatian ramai apabila Trump secara bersahaja mengikut rentak muzik tradisional yang dimainkan kumpulan penari tradisional, sebelum mula berjoget.

Media tempatan melapor kondisi berbeza. Donald Trump disebut mencuri perhatian ramai apabila secara spontan menari bersama kumpulan penari tradisional tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sebelum itu ketibaan Trump disambut meriah perdana menteri dengan diiringi persembahan kebudayaan.

“Aksi bersahaja itu mengundang sorakan serta tepukan gemuruh orang ramai yang berada di lokasi sambutan,” lapor akhbar tempatan semalam.

Mengulas apa yang berlaku itu Ahli Parlimen Tasek Gelugur Wan Saiful Wan Jan menyifatkan sebagai memalukan, Malaysia menyambut kedatangan Trump ketika dunia mengecam Presiden Amerika Syarikat.

“Lebih mengecewakan lagi perdana menteri juga terkinjal-kinjal menari di tengah panas ketika menyambut Trump,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Karpet merah

Sebelum itu Ketua Pemuda PAS Malaysia Afnan Hamimi meluahkan ‘apa perasaan anak-anak yatim di Gaza apabila tengok pembunuh ibu bapa mereka disambut dengan tari menari di Malaysia, sungguh memalukan.

Kata beliau lihatlah bagaimana reaksi negara luar terhadap tari menari menyambut Trump, penjenayah perang dunia!

“The Muslim goverment of Malaysia welcomes Trump, the main supporter of Israel with dance and music.. Sungguh memalukan!!!,” catat di laman sosialnya.

Beliau mempersoalkan mengapa Malaysia sanggup membentang karpet merah kepada Trump? Luahnya perlu ke PMX, figura nombor 1 negara, berjoget lambak sekali dengan Donald Trump?

Nasib baiklah rakyat Malaysia tanpa henti membantah kedatangan Trump, berdemonstrasi dan melambakkan konten-konten emosi di medsos. Kalau tak, nampak sangat Malaysia tak simpati, tak sensitif dengan nasib rakyat Gaza.

Sambut hero

Menurutnya penjenayah perang dunia yang dikaitkan membunuh ribuan nyawa umat Islam di Palestin telah menjejaki kaki di bumi Malaysia.

“Yang pelik sambutan penjenayah dunia disambut dengan tari menari seperti menyambut seorang hero dunia.

“Ada tari menari dan dikerah orang ramai hadir di lapangan terbang. Perdana menteri menari sama-sama dengan Presiden Amerika.

“Macam inikah kita menyambut penjenayah dunia, yang membunuh orang disambut seolah hero, tidak sensitif, tidak peka, tidak rasa kasihan kepada saudara-saudara kita di Palestin,” ujarnya pada hantaran lain melalui video.

Kata ahli parlimen Alor Setar orang ramai boleh menilai sendiri apa mesej hendak sampaikan kepada dunia, di waktu rakyat menegur kerajaan, ada rakyat ditangkap oleh polis, penjenayah perang dunia diraikan sebegitu rupa.

“Saya malu ada pemimpin negara seperti ini. Perdana menteri sambut dengan menari.. tidak sensitif, tidak peka terhadap nasib kepada saudara kita di Gaza,” ujarnya.

Semalam pada catatan di laman sosial Anwar memberitahu beliau berkesempatan mengadakan pertemuan singkat dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump.

Kata beliau pertemuan itu memberi ruang untuk meneliti semula hasil perbincangan dua hala Malaysia–Amerika Syarikat yang telah dijalankan sebelum ini.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Presiden Trump atas peranannya dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) serta Pelan Damai Gaza, yang menjadi sinar harapan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan.

“Malaysia dan Amerika Syarikat bertekad untuk terus memperkukuh hubungan dua hala berasaskan saling hormat, kepentingan bersama dan semangat memperjuangkan keamanan sejagat,” ujar perdana menteri.

Di sebalik penjelasan perdana menteri, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyifatkan menyambut Trump dengan tarian dan segala macam sebagai tidak melambangkan bantahan Malaysia terhadap tindakan jahat Trump selama ini.

Baginya sambutan yang terlebih meriah dengan tarian sedangkan Trump di belakang kejahatan puak yang pernah disumpah menjadi kera dan khinzir.

“Bayangkan jika Trump ke negara-negara Eropah di saat ini tentu beliau disambut dengan bantahan rakyat. Beliau akan turun dengan wajah yang serius dan perasaan yang berbaur kerana tahu beliau tidak disukai.

“Di sini, beliau turun sambil menari kegembiraan kerana anak-anak Malaysia menyambut beliau dengan tarian. Genosid dan segala bantuan senjata dan veto bagaikan tiada kesan ke atas dirinya di negara-negara orang Muslim. Menyedihkan..,” ujarnya berkongsi di laman sosial.

Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Shahrulufti Sharif menyifatkan tindakan kerajaan menyambut tokoh yang bergelut krisis legitimasi di negara sendiri menimbulkan persoalan besar tentang prinsip dan maruah diplomatik Malaysia.

Kata beliau ketika rakyat Amerika sendiri menolak dasar pentadbiran Trump, Malaysia pula memilih untuk mengangkat individu di mana rekodnya sarat dengan dasar perkauman dan retorik yang memecahbelahkan.

“Kami juga mempersoalkan ketelusan perjanjian perdagangan dua hala yang dimeterai secara tergesa-gesa. Tanpa pendedahan dokumen penuh dan semakan audit bebas, perjanjian itu berisiko menjadi alat dominasi ekonomi,” katanya.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *