Serantau

Anak Palestin pahat nama Netanyahu di batu nisan

PERDANA Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu masih bermimpi mahu meraihkan kemenangan mutlak di Palestin.

Itu tidak lebih hanya fatamorgana dan mimpi yang sia-sia. Biarpun semakin ramai rakyat Palestin menjadi korban, namun semangat mereka tidak pernah padam.

Apa yang berlaku sekarang Netanyahu, Ben Gvir, Smotrich dan Aminchai Aliyahu semakin dibenci dunia. Mereka merupakan penjenayah yang dibiarkan merompak warisan Palestin.

Pemerhati politik Asia Barat Dr Zulkeflee Yaacob menyifatkan Netanyahu hanya menanti detik kecundang seperti yang dilakukan terhadap penduduk di Gaza.  

Kata beliau rakyat Palestin terutamanya anak-anak akan menulis nama Netanyahu di atas batu nisan di satu tempat pembuangan sampah dengan ungkapan ‘ini adalah seorang pembunuh bukan pejuang’.

Penjenayah akan menemui jalan pulang yang begitu mengaibkan, bakal disaksikan penghuni bumi sedikit masa lagi.

“Hari ini Netanyahu boleh mengatakan apa sahaja dan rakus menodai gencatan senjata. Lebih malang lagi zionis Israel semakin sombong dan bongkak pascakunjungan pegawai tinggi Amerika Syarikat.

“Serangan udara Israel semakin meningkat dengan menyasarkan pejuang Hamas dan Hizbullah di kedua-dua wilayah tersebut,” katanya di Ipoh.

Keangkuhan zionis Israel juga dapat dilihat menolak campur tangan asing bagi pengawasan gencatan senjata, malah keterlibatan pasukan tentera antarabangsa dari negara-negara Arab dilarang keras.

Zionis menyebut akan menentukan negara yang diinginkannya sekali gus menolak Hamas dalam libat urus pemerintahan di Gaza.

Pemimpin rejim haram tersebut tidak mengendahkan tuduhan pembantaian atau genosida oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Netanyahu juga menyatakan penolakan terhadap keterlibatan Turki dalam pasukan pengaman di Palestin.

“Sedangkan pasukan pengaman akan melibatkan sejumlah negara Arab dan Islam untuk membantu menstabilkan situasi di jalur Gaza serta memastikan gencatan senjata tetap berjalan,” ujarnya.

Di sebalik kemuncak kesombongan itu ICC memutuskan Netanyahu bersalah sebagai penjahat perang yang menjadi dalang tragedi kemanusiaan di Gaza.

ICC memerintahkan pemimpin zionis terbabit segera ditangkap dan dihukum melalui surat perintah.

Inilah kemenangan moral rakyat Palestin kerana pemimpin rejim haram tersebut menjadi buruan di seluruh dunia. Netanyahu tidak boleh lagi bepergian secara bebas.

Ini suatu penghinaan terbesar dialami pemimpin sebuah negara haram apabila dibenci seluruh penghuni bumi.

Keangkuhan Israel yang tidak akan meminta izin untuk melancarkan serangan di Gaza atau Lebanon membuatkan dunia semakin muak terhadap negara haram tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *