Perjanjian perdagangan Malaysia-AS jejas ekonomi?

SALMAH MAT HUSAIN
KITA tiada pilihan kerana berdepan dengan kuasa besar dunia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di parlimen hari ini.
Semalam ahli parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menzahirkan kekesalan terhadap tindakan kerajaan yang didakwa menandatangani perjanjian berhubung Jual Beli (SPA) gas asli cecair (LNG) dengan Amerika Syarikat (AS).

Bekas menteri MITI Datuk Seri Mohamad Azmin Ali pula menegaskan perjanjian perdagangan yang dimeterai antara Malaysia dan AS berpotensi menjejaskan kedaulatan ekonomi negara.
Kata beliau perjanjian itu akan memaksa Putrajaya tunduk kepada peraturan perdagangan dan pelaburan yang ditetapkan Washington.

Pada Ahad lepas Malaysia dan AS memeterai perjanjian memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran serta mempertingkat daya tahan rantaian bekalan.
Melalui perjanjian tersebut, Malaysia disebut bersetuju memberi akses pasaran keutamaan kepada eksport barangan perindustrian AS termasuk bahan kimia, jentera, kelengkapan elektrik, logam, dan kenderaan penumpang.
Sebagai timbal balas AS akan mengekalkan tarif pada kadar 19 peratus terhadap barangan Malaysia.

Malaysia juga dilapor bersetuju untuk tidak mengenakan larangan atau kuota terhadap eksport mineral penting dan unsur nadir bumi ke AS, serta akan bekerjasama dengan syarikat Amerika bagi menjamin kestabilan dan kepastian dalam peningkatan kapasiti pengeluaran negara.
“Salah satu fasal paling membimbangkan kewajipan Malaysia mematuhi sebarang sekatan perdagangan yang dikenakan AS terhadap negara lain, sesuatu yang boleh mengekang kebebasan dasar ekonomi negara,” kata Azmin yang Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN).
Kerajaan Kelantan turut memandang serius perjanjian dagang yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan AS semasa lawatan Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur, khususnya membabitkan Unsur Nadir Bumi (REE).
Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, kandungan perjanjian itu menimbulkan persoalan besar terhadap implikasi yang bakal dihadapi negeri sumber REE termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Kelantan memiliki deposit Unsur Nadir Bumi Tidak Radioaktif (NREE) kedua terbesar di Malaysia selepas Terengganu dengan nilai mencecah ratusan bilion ringgit.
Nafi royalti
“Sumber ini terletak di daratan dan berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Ia berbeza dengan petroleum yang berada di dasar laut dan sering dijadikan alasan dengan peraturan ‘3 batu nautika’ untuk menafikan hak negeri terhadap royalti.
“REE ialah hasil bumi yang wajib dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat, bukan ditentukan oleh pihak atau kuasa luar,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Dr Mohamed Fadzli tegas menolak pendekatan pelabur luar yang mahu menggali dan mengeksport REE mentah tanpa diproses di dalam negeri.
Kata beliau dasar REE mesti diproses semaksimumnya di Kelantan bagi meningkatkan nilai tambah dan membuka peluang pekerjaan serta latihan kemahiran tinggi untuk anak-anak muda.
“Kita mencari rakan pelabur yang adil, bukan yang hanya mahu mengaut hasil dan meninggalkan kerak serta sisa,” tegasnya.
Menurut beliau juga perjanjian Malaysia–AS yang menetapkan tiada sekatan eksport atau kuota terhadap REE ke Amerika menimbulkan kebimbangan baharu.
“Bagaimana jika Kelantan mahu menapis pelabur atau mengehadkan eksport bahan mentah demi menjamin nilai tambah tempatan?
“Adakah langkah itu akan dianggap melanggar komitmen antarabangsa? Soalnya, adakah negeri masih bebas menentukan dasar sendiri, atau semuanya kini terikat kepada janji yang dibuat kerajaan persekutuan kepada kuasa asing?” soalnya.
Tambah beliau, apa yang berlaku menyimpang daripada semangat federalisme apabila negeri-negeri pengeluar tidak dirunding sebelum perjanjian itu ditandatangani.
Kedaulatan negeri
“Bagaimana perjanjian bernilai berbilion ringgit yang menyentuh hasil bumi negeri boleh dibuat tanpa pandangan kerajaan negeri? Ini menafikan hak negeri yang dijamin dalam Perlembagaan.
“Rakyat Kelantan masih menanggung luka akibat kehilangan royalti petroleum. Kami tidak akan membenarkan REE menjadi petroleum kedua. Negeri ini tidak boleh sekali lagi hanya menjadi penonton kepada kekayaan sendiri,” katanya.
Beliau turut menegaskan pelaburan luar tetap dialu-alukan, namun mesti disertai rasa hormat terhadap kedaulatan negeri.
“Walaupun hak menandatangani perjanjian antarabangsa adalah hak persekutuan, tetapi sumber dan ‘subject matter’nya ialah hak kerajaan negeri. Negeri pengeluar berhak tahu dan berhak bersuara tentang sumbernya sendiri,” katanya.

Hari ini menteri MITI memberi penerangan mengenai isi perjanjian timbal balas dengan Amerika Syarikat di Dewan Rakyat.
Malam tadi melalui video yang dimuat naik di media sosial Tengku Zafrul menjawab berkaitan klausa Artikel 5.1, yang menghendaki Malaysia mengikut dasar perdagangan AS terhadap negara lain, katanya ia hanya terpakai apabila turut memberi kesan kepada Malaysia.
