Serantau

40 klausa perjanjian perdagangan ikat Malaysia

AHLI Parlimen Machang mendakwa terdapat 40 klausa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) mengikat Malaysia dan hanya satu klausa yang mengikat Amerika Syarikat.

Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal menyifatkan ia sebagai penjajahan baharu dan bukan perjanjian perdagangan.

“Bak pepatah Orang Putih, ‘the devil is in the details’ tetapi kali ini syaitan bukan lagi tersembunyi. Jelas terpampang dalam teks di sana-sini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Pada catatan di laman sosialnya sebelum itu Wan Fayshal menjelaskan kerajaan kata ‘hedging’ sedangkan hakikatnya ‘capitulating’.

Kata beliau ia bukan diplomasi, sebaliknya menyerah tengkuk dan sembelih diri sendiri.

“Kita jemput Trump datang ke rumah kita, akhirnya kita pula menari ikut rentak dia. Perjanjian ini bukan kebijakan kerajaan, ia lebih macam akad jual kedaulatan,” ujarnya.

Ramai melihat klausa 5.1 perjanjian ART, Malaysia terikat untuk mengikut langkah sekatan atau larangan yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap mana-mana negara atas alasan ekonomi atau keselamatan.

Wan Fayshal menyifatkan perjanjian itu nampak tidak menguntungkan Malaysia dan perlu dibawa semula ke parlimen untuk dibahas.

“Dan sekiranya ia memudaratkan kepada negara, perjanjian itu perlu dibatalkan semula,” ujarnya.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan tersebut tidak menghuraikan 40 klausa yang dianggap sebagai mengikat Malaysia.

Sebaliknya, beliau menjelaskan hasil perundingan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap Malaysia daripada 25 peratus diturun kepada 19 peratus.

Menurut perdana menteri sekiranya syarikat Amerika Syarikat yang melabur di Malaysia tidak mahu mengeksport produk ke China, itu terpulang kepada mereka.

“Syarikat pelaburan Amerika di Malaysia yang tidak mahu eksport produk ke China tak apalah kerana ia hak pelaburan mereka.

“Perjanjian perdagangan tersebut dibuat oleh pegawai kerajaan yang pakar dalam bidang tersebut,” katanya.

Sebelum itu sesi soalan kepada perdana menteri hanya yang keempat diberi ruang kepada pembangkang, di mana sebelum soalan diajukan ahli parlimen Pulai, Muar dan Ledang.

Semalam pada sesi penerangan di Dewan Rakyat Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) Dato’ Seri Tengku Zafrul berkata, perjanjian ART tertakluk dan dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan dasar negara.

Tujuannya bagi memastikan sektor strategik kekal dilindungi serta memperkukuh peluang baharu untuk rakyat dan industri domestik.

“Dasar kita untuk menghalang eksport bahan mentah murah yang tidak diproses supaya nilai tambah berlaku dahulu di Malaysia.

“Prinsip sama terpakai kepada REE dan mineral kritikal. Selepas diproses di dalam negara mengikut undang-undang dan piawaian kita sendiri dan selepas nilai itu dicipta di sini, produk hiliran bernilai tinggi boleh dieksport,” katanya.

Pada 26 Oktober lepas Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balik bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala.

Kandungan utama perjanjian iaitu komitmen Malaysia membuka pasaran kepada produk industri dan pertanian AS (termasuk kenderaan, produk tenusu, ayam, beras dan etanol).

Selain itu melonggarkan lesen import, piawaian halal dan piawaian keselamatan kenderaan, tidak mengenakan cukai digital terhadap syarikat teknologi AS.

Tidak mengenakan sekatan eksport bagi mineral kritikal dan nadir bumi.

Manakala komitmen Amerika Syarikat mengekalkan tarif 19 peratus terhadap barangan asal Malaysia, menyokong pelaburan dan pembelian komersial besar bernilai lebih USD150 bilion (termasuk LNG, semikonduktor dan aeroangkasa).

Sementara itu pensyarah adjung di Universiti Teknologi Petronas, Samirul Ariff Othman menyifatkan perjanjian Malaysia–AS bukan kemenangan mutlak atau kegagalan total, sebaliknya ia keseimbangan sementara di bawah tekanan.

Katanya ia menggambarkan bagaimana ekonomi bersaiz sederhana menelusuri persaingan kuasa besar melalui perjanjian yang boleh dikuatkuasakan secara politik, tetapi boleh dibatalkan secara undang-undang.

“Malaysia perlu melihat ART 2025 sebagai langkah politik sementara, bukan komitmen kekal — tempoh untuk menarik pelaburan, memodenkan industri dan mengukuhkan perpaduan ASEAN.

“Diplomasi seharusnya menjadi alat keseimbangan Malaysia, bukan lambang ketaatan,” ujarnya pada kenyataan disiarkan di laman berita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *