Terus Terang

Tubuh RCI siasat perjanjian Malaysia–Amerika

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mendesak kerajaan menubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat keseluruhan proses Perjanjian Timbal Balas Malaysia–Amerika (ART).

Presiden PUTRA Dato’ Paduka Dr Ibrahim Ali bimbang ada pengaruh luar, konflik kepentingan dan pelanggaran tatacara sehingga proses ART ditandatangani.

Oleh itu beliau mencadangkan kerajaan membatal ART serta-merta sehingga teks penuh, lampiran teknikal dan risiko kepada sektor strategik negara dirunding semula serta didedahkan kepada umum.

Katannya tiada pemimpin yang berhak menandatangani masa depan negara tanpa izin rakyat.

“Kedaulatan bukan milik dua individu di meja rundingan, ia milik seluruh bangsa Malaysia. Bila pemimpin menandatangani rahsia di belakang rakyat, maka sejarah akan menulis nama mereka di batu nisan pengkhianatan.

“Rakyat Malaysia dan PUTRA tidak akan tunduk kepada Washington dan tidak akan berdiam apabila amanah bangsa dikhianati.

“Kami menyeru semua rakyat Malaysia termasuk ahli akademik, peguam, mahasiswa dan wira media untuk bersama menuntut kebenaran. Ini soal maruah negara,” katanya pada kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 26 Oktober lepas Amerika Syarikat dan Malaysia memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balik bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala.

Kandungan utama perjanjian melonggarkan lesen import, piawaian halal dan piawaian keselamatan kenderaan, tidak mengenakan cukai digital terhadap syarikat teknologi AS.

Selain itu tidak mengenakan sekatan eksport bagi mineral kritikal dan nadir bumi.

Manakala komitmen Amerika Syarikat mengekalkan tarif 19 peratus terhadap barangan asal Malaysia, menyokong pelaburan dan pembelian komersial besar bernilai lebih USD150 bilion.

Perjanjian yang disifatkan pelbagai pihak sebagai berat sebelah itu turut dikecam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tarik balik

Malah, Persidangan Agung Tahunan PUTRA semalam melulus usul tergempar mengecam dan mendesak agar ditubuh RCI siasat dan menarik balik perjanjian tersebut.

Kata Ibrahim PUTRA mengecam sekeras-kerasnya dan menyoal tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menandatangani ART tanpa pendedahan kepada rakyat.

Selain itu tanpa perbahasan di Parlimen dan tidak mendapat perkenan Majlis Raja-Raja kerana ia melibatkan kedaulatan negara.

Beliau mempersoalkan sekiranya perjanjian ART benar-benar memberi manfaat, mengapa disembunyikan sebelum ditandatangan.

“Kerahsiaan sebelum persetujuan bukan tanda hikmah, ia tanda ada sesuatu yang cuba disorok. Inilah penyakit yang membunuh kepercayaan rakyat, kerajaan yang melaungkan ‘reformasi’ kini menandatangani rahsia seperti rejim kuku besi.

“Apakah seorang pemimpin negara sudah menjadi alat Amerika dan mendapat pujian ‘Malaysian Prime Minister is a good man’ daripada Presiden Amerika Donald Trump.

“Amerika tidak perlu datang menjajah, cukup Anwar dan Zafrul membuka pintu untuk mereka. Inilah bentuk penjajahan moden, perjanjian ditandatangani dengan pena, tetapi kesannya seperti rantai di leher negara,” ujarnya.

Paksaan

PUTRA menegaskan perjanjian itu bukan rundingan antarabangsa, sebaliknya paksaan diplomatik yang disambut dengan ketakutan dan kejahilan.

Menurut Ibrahim apa yang berlaku berkaitan ART bukan lagi ekonomi, ia dianggap jenayah amanah terhadap kedaulatan negara.

“Dahulu penjajah menandatangani perjanjian untuk merampas Tanah Melayu. Hari ini pemimpin moden menandatangani perjanjian untuk menggadai ekonomi negara termasuk kepentingan Bumiputera,” tambahnya.

Sementara itu bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil mendesak kerajaan mendedahkan secara terbuka terma sebenar ‘exit clause’ dalam ART Malaysia-Amerika Syarikat.

Menurutnya Anwar dan Tengku Zafrul sehingga kini masih gagal menunjukkan bukti atau dokumen jelas membuktikan wujudnya terma tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *