Ada potensi Parlimen dibubar tahun depan

Oleh Salmah Mat Husain
BERSATU disaran menyelesaikan kemelut dalaman yang dihadapi parti itu dengan sebaik mungkin dalam tempoh terdekat bagi menjaga kestabilan Perikatan Nasional (PN).
Ini memandangkan sebarang pergolakan yang berlaku dalam Bersatu sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada PN memandangkan kedua-duanya bergerak bersama dalam satu gabungan.
“Kalau bagus Bersatu atau PAS, maka baiklah PN dan begitulah sebaliknya sekiranya Bersatu atau PAS menghadapi masalah akan memberi kesan pada PN. Kita tidak nafikan perkara itu,” kata Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah.
Bersatu dilanda kemelut dalaman sehingga membawa kepada pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan, manakala ahli parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung selama sepenggal kerana didakwa melanggar perlembagaan dan kod etika parti.

Pemecatan Wan Saiful kerana dianggap melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Isu terbabit difahamkan berikutan muncul isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti terbabit.
Mohd Amar memberitahu PAS tidak boleh mencampuri urusan dalaman parti rakan meskipun bersama dalam gabungan yang sama.
“Sebagaimana perselisihan yang berlaku antara suami isteri, kita tidak boleh masuk campur kerana itu masalah rumah tangga. Cuma kita boleh menasihati agar ia diselesaikan secara baik,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim Kota Bharu hari ini.
Menurutnya beliau tidak dapat memberikan jawapan sebenar mengenai kemelut parti berkenaan kerana situasi itu hanya dapat dijelaskan pimpinan parti tersebut.
“Ikut gambaran luar memang nampak macam-macam, sedangkan orang berkenaan hanya sakit gigi tetapi didakwa sakit kanser. Orang luar hanya boleh memberi gambaran berbeza berbanding apa yang berlaku sebenarnya,” kata beliau.

Kata beliau juga penyelesaian sebaiknya dilakukan secara dalaman bagi menjernihkan keadaan kerana tindakan di luar parti boleh menjejaskan kekuatan PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.
Selain itu tidak dapat ditolak kemungkinan Parlimen dibubarkan tahun hadapan berdasar situasi yang berlaku sekarang.
“Ini kerana harapan rakyat kepada PN amat besar, apatah lagi dalam suasana politik negara sekarang. Maka kita kena pastikan gabungan kemas, kuat dan tidak berdepan sebarang masalah agar rakyat terus yakin bersama PN,” katanya.
