Impian Tun Razak terperap di Felda

A RAHMAN HARUN & ASLANI M
KETIKA kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Nenggiri Gua Musang tahun lepas ada rumah yang dibina generasi kedua Felda di Jeram Tekoh dan Perasu tidak mendapat bekalan elektrik.
Alasannya kerana rumah dibina di atas lot asal milik ibu bapa mereka dan tanah rezab Felda. Disebabkan alasan itu mereka gagal mendapat bekalan elektrik biarpun rumah sudah lama didiami.
Keadaan itu menyukarkan generasi kedua dan ketiga yang membesar di kawasan Felda memiliki kediaman sendiri selepas berkeluarga.

Bagaimanapun ekoran pilihan raya kecil berlangsung di Nenggiri ada pemimpin politik kerajaan menjanjikan rumah yang tiada bekalan elektrik akan diberi kelulusan segera.
Hasilnya ada rumah yang dibina di tanah rezab Felda di Jeram Tekoh diberi kebenaran mendapat bekalan elektrik. Namun, ada rumah peneroka penyokong pembangkang belum mendapat bekalan elektrik sehingga sekarang.
Oleh itu bagi mengatasi masalah tersebut Felda didesak mempercepatkan pindaan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 bagi membolehkan generasi baharu peneroka membina kediaman sendiri.
Ahli Parlimen Padang Terap Nurul Amin Hamid mendedahkan golongan tersebut kini berdepan kekangan perundangan yang lapuk khususnya membabitkan larangan pembinaan lebih daripada sebuah rumah di lot sedia ada.

Akta 530
Larangan itu dibuat pada tahun 2022 kerana kerajaan mengangggap bercanggah dengan peruntukan dalam Akta 530.
Sedangkan pada tahun 2017 kerajaan melaksanakan polisi membenarkan dua rumah dalam satu lot dibina peneroka untuk generasi kedua.
“Saya ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini terhadap isu besar yang menjadi asas kelestarian sebenar tanah rancangan Felda iaitu keperluan mendesak untuk meminda Akta 530.
“Antara isu yang timbul ekoran kekangan akta ini ialah kebenaran pembinaan sebuah lagi rumah atas lot kediaman peneroka,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam.
Nurul Amin turut membangkitkan lebih 14,000 hektar tanah di Terengganu yang diusahakan Felda masih kekal pemilikan geran di bawah kerajaan negeri.

Kata beliau isu terbabit sudah berlarutan hampir 40 tahun itu menyebabkan kerajaan negeri hilang punca pendapatan termasuk cukai dan premium tanah serta kes perbicaraan di mahkamah.
“Isu pengurusan tanah Felda belum tuntas, walaupun sudah berlarutan hampir 40 tahun. Banyak tanah yang diusahakan Felda masih berstatus tanah kerajaan negeri dan tiada geran hak milik yang sah.
“Persoalannya adakah kerajaan pusat bersedia menyelesaikan isu tersebut, sudahkah ada rundingan serius bagi melunaskan bayaran tertunggak,” katanya.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Kuala Krau, Pahang Ustaz Kamal Ashaari turut membangkitkan hak pewarisan tanah Felda kepada peneroka.

Kata beliau Felda perlu mempermudahkan supaya waris peneroka dapat mewarisi tanah yang diusahakan ibu bapa mereka.
Menurutnya peneroka asal ramai yang sudah meninggal dunia dan sekarang kebun yang diusahakan diwarisi anak-anak tanpa ada dokumen yang jelas.
Tanaman semula
Ustaz Kamal juga meminta penjelasan Felda projek tanam semula yang dilaksanakan di Felda seluruh negara banyak belum mencapat matlamat.
Kata beliau berdasar pemerhatian didapati berlaku kelewatan menyelesaikan tanaman semula sawit dalam tempoh ditetapkan.
Situasi tersebut menyebabkan Felda membayar sara hidup kepada peneroka dalam tempoh panjang sehingga hutang yang terpaksa dibayar balik meningkat berganda.

“Beberapa tanah rancangan melalui pemerhatian saya didapati berlaku kelewatan pelaksanaan projek tanam semula.
“Ini memerlukan pemerhatian dan kawalan pengurus-pengurus Felda. Saya mencadangkan supaya Felda memantau perjalanan penanaman semula agar matlamat penanaman semula berjalan lancar,” katanya ketika mendedahkan isu tersebut di parlimen.
Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 bertujuan untuk membasmi kemiskinan penduduk luar bandar melalui pembukaan tanah dan penempatan semula.
Objektifnya membangunkan tanah-tanah baru sebagai ladang pekebun kecil melibatkan tanaman kelapa sawit dan getah.
Tanah rancangan Felda dilengkapi pelbagai infrastruktur dan kemudahan peneroka. Peneroka diambil dalam kalangan orang Melayu miskin di luar bandar.

Projek pertama di bawah pembiayaan Felda iaitu Projek Rancangan Tanah Air Lanas, Kelantan dibuka pada Mac 1957.
Sejarah Felda
Sejarah awal penubuhan Felda bermula di era Tun Abdul Razak yang ketika itu bertugas sebagai Menteri Luar Bandar merangkap Timbalan Perdana Menteri.
Objektifnya untuk membasmi kemiskinan di luar bandar dan merapatkan jurang ekonomi antara kaum serta melaksanakan pembangunan kawasan pedalaman.
Bagaimanapun pada tahun 1990 Felda tidak lagi membuat pengambilan peneroka baru selepas 112,635 orang ditempatkan di 317 rancangan di seluruh negara.
Dan mulai tahun 1996 kerajaan tidak lagi menyalurkan peruntukan operasi kepada Felda. Oleh itu bagi menjana pendapatan Felda melancarkan beberapa entiti korporat termasuk Felda Holdings Sdn Berhad, Felda Plantations Sdn Berhad dan Felda Global Ventures (FGV).

Felda juga mewujudkan Koperasi Permodalan Felda (KPF). Dan pada 19 Disember 2007 diwujudkan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB). Syarikat itu disenarai di Bursa Malaysia pada tahun 2012 dengan Tawaran Awam Permulaan (IPO) ketiga terbesar di dunia ketika itu.
Malangnya FGV dinyah senarai daripada Bursa Malaysia pada 27 Ogos 2025 dan menamatkan perjalanan korporat 13 tahun sebagai syarikat awam.
Apa yang berlaku itu sedikit sebanyak membantut impian Tun Razak. Selepas bertukar imej sebagai syarikat korporat, kini Felda kembali ke identiti asal. Gendang sudah lama dipalu, namun sembonyan tidak lagi berbunyi.
