‘Budaya boo’ hantui konvensyen Amanah

KONVENSYEN Nasional 2025 Parti Amanah Negara (Amanah) yang sepatutnya menjadi medan ukhuwah, namun tiba-tiba bertukar kepada perbalahan dan pergaduhan.
Mesyuarat Ahad lepas dipenuhi dengan adegan kekecohan, pergaduhan sehingga berlaku ada perwakilan diheret keluar dewan.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Firdaus Mohamed Nawi menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai tidak pelik memandangkan pemidato utama pada konvensyen tersebut ucapannya mempamerkan unsur kebencian.
Pemuda PAS Kelantan bersimpati terhadap ahli muda Amanah. Gambar-gambar dan video kekecohan meratai di kebanyakan media sosial.

“Anak muda Kelantan dan Malaysia pasti menilai dengan mata hati gelagat tidak semenggah itu. Mabuk kuasa dan tidak mampu mengamal amarah diri bukanlah pewaris kepimpinan yang baik untuk generasi masa depan.
“Amanah lahir dari cara menganggur benih kebencian dan perbalahan. Ia semacam sudah darah daging mereka, terkerat dari PAS disebabkan gelojoh dan bernafsu amarah yang tidak terkawal,” katanya pada kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Konvensyen Nasional 2025 Amanah di Shah Alam pada Ahad lalu dilapor bertukar tegang apabila beberapa perwakilan mendesak supaya usul berkaitan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan dibahaskan segera.
Menurut laporan selepas sesi persidangan bermula hari kedua, tiga perwakilan tampil menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap keputusan pimpinan tidak membenarkan usul tersebut dibincang.
Kekecohan tersebut menyebabkan seorang perwakilan dilapor ditenangkan petugas-petugas keselamatan Amanah dan dibawa keluar seketika.
Aksi tegang tersebut tular di pelbagai media sosial sehingga menarik perhatian ramai.

Sebelum kejadian tersebut Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli dilapor menjelaskan usul pemilihan parti tidak akan dibahaskan dalam konvensyen tersebut kerana ia dianggap terlalu awal.
Malah, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad juga dilapor kecewa dengan ‘budaya boo’ dalam kalangan perwakilan Amanah semasa perwakilan sedang menyampaikan ucapan perbahasan.
Sehubungan itu beliau menegur beberapa perwakilan sambil menekankan kepentingan berakhlak mulia ketika berhujah dan berucap.
Mohd Firdaus menjelaskan untuk memimpin masyarakat, negeri atau negara, perkara utama ialah kewarasan memimpin emosi dan amarah.
Jika syarat itu gagal, parti terbabit boleh diubah menjadi Parti Amarah Negara.
Sejarah
Amanah ditubuh ekoran kekalahan bekas pemimpin PAS proPakatan Harapan (PH) pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang diadakan di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Selangor pada 2015.

Mohamad Sabu gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PAS apabila tewas kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pada pemilihan tersebut Mohamad Sabu memperoleh 279 undi berbanding Tuan Ibrahim 881 undi.
Pemimpin lain yang tewas termasuk Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin serta Dr Siti Mariah Mahmud.
Ekoran kekalahan tersebut bekas pemimpin PAS terbabit mewujudkan Gerakan Harapan Baru (GHB) pada 2015.
Manakala bekas pemimpin PAS Kedah dan Kelantan pula mewujudkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) bagi memulakan gerak kerja ke arah menubuh parti baharu sebagai menggantikan PAS.
Pasma diketuai Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dilapor turut bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Manakala timbalan Presiden Pasma iaitu bekas pemimpin PAS Pasir Puteh Mohamad Husin, Taib Ahmad dari Kedah dilantik sebagai setiausaha agung dan bendahari Ismail Abdul Rahman.
Parti Pekerja
GHB kemudian mengambil alih Parti Pekerja Malaysia (PPPM) dan menukar nama kepada Parti Amanah Negara (Amanah) pada September 2015.
Dan Amanah kemudian dilancar secara rasmi pada 16 September 2015.

Objektif penubuhan parti itu bagi memartabatkan Islam sebagai dasar perjuangan, mendirikan sebuah masyarakat dan negara madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua.
Selain itu melaksanakan pemerintahan berteras takbir urus yang baik selari dengan tuntutan prinsip amanah, keadilan, kesaksamaan, kompetensi dan ketelusan.
Bagaimanapun banyak pihak menganggap suara untuk memartabatkan Islam dalam Amanah tenggelam dalam PH yang didominasi DAP.
