Nilai jongkong emas Kelantan RM51 juta

RAKYAT Kelantan berpeluang mencari rezeki dengan mendulang emas menggunakan kaedah tradisional.
Malah, kerajaan negeri bersedia memberi lesen kepada pelombong dengan syarat ditetapkan untuk tujuan rekod, keselamatan dan tidak merosakkan alam sekitar.
Sehubungan itu rakyat boleh melombong dengan cara mendulang tanpa perlu menggunakan teknologi moden yang melibatkan kos tinggi.
Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pengumuman itu merupakan berita baik buat rakyat Kelantan dengan syarat mereka perlu memohon lesen.
“Hari ini kita isytihar untuk membenarkan rakyat melombong emas dengan kaedah mendulang,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Kerajaan Kelantan juga akan memanfaatkan simpanan jongkong yang bernilai hampir RM51 juta sebagai sandaran bagi membuat pinjaman dengan kerajaan pusat.
Kata beliau pemilikan jongkong emas kerajaan negeri tidak dimasuk dalam akaun disatukan, sebaliknya dibentang dalam laporan kewangan kerajaan negeri setiap akhir tahun.
Malah, ia selaras Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan.
“Jongkong emas akan dijadikan sandaran bagi membuat pinjaman dengan kerajaan pusat. Malah hasil daripada lombong emas di Kelantan lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.
“Hasil perlombongan kita letak peratusan lebih tinggi iaitu 10 peratus kepada pelombong berbeza peratusan ditetapkan di negeri-negeri lain,” kata beliau.
Perlombongan emas yang diusahakan syarikat CNMC di Mukim Sokor, Tanah Merah bermula dengan melakukan eksplorasi pada 2006.
Pada tahun 2010 syarikat berkenaan menjalankan usahasama dengan Kelstone Sdn Bhd mulai mengeluarkan jongkong emas. Kerajaan negeri meluluskan kawasan seluas 1,950 ekar bagi aktiviti perlombongan emas.
Kawasan tersebut sebenarnya diusahakan sejak zaman penjajah lagi di mana terdapat kesan-kesan terowong sepanjang 30 meter.
Peruntukan
Dr Mohamed Fadzli juga memberitahu dewan, wakil rakyat pembangkang di Kelantan menerima peruntukan lebih besar daripada kerajaan pusat.
Menurut beliau ketika era kerajaan Perikatan Nasional (PN) Adun di Kelantan pernah menerima peruntukan berjumlah RM300,000 setahun untuk pengurusan Pusat Khidmat Dun.
“Kalau diberi peruntukan kepada pembangkang sama rata, sudah tentu peruntukan kepada mereka lebih besar daripada peruntukan diterima menteri besar.
“Adil dalam Islam bermaksud meletak sesuatu pada tempatnya. Kerajaan negeri menyalur peruntukan Rancangan Kecil Pembangunan (RKP) berjumlah RM250,000 kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang.
“Sedangkan parlimen tidak memberi sebarang peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang. Namun kita di Kelantan memberi tetap memberi peruntukan kepada pembangkang,” ujarnya.
KB Sentral
Timbalan Menteri Besar juga menjelaskan kerja-kerja tanah pembinaan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) sudah dilaksanakan di tapak.
Kata beliau kerajaan negeri pernah menerima replika cek RM2 juta yang diterima daripada syarikat yang diberi kelulusan membina KB Sentral sebelum ini.
Beliau menjelaskan replika cek bukan berjumlah RM2 juta sebagaimana dicatat, sebaliknya peruntukan diberi sekadar untuk perbelanjaan di tapak projek sahaja ketika itu.
Beliau turut mendedahkan projek kerajaan pusat di Kelantan ada yang bermasalah, di mana sekarang terdapat 12 projek sudah lama diluluskan, namun belum dilaksanakan.
Menjawab soalan pembangkang mengenai dakwaaan jumlah pegawai lantikan politik ramai menyebabkan perbelanjaan kerajaan negeri meningkat sebagai tidak berasas.
“Pelantikan politik selaras dengan perundangan undang-undang sama seperti diamalkan kerajaan pusat. Sebaliknya bantuan kepada rakyat tidak dikurangkan, malah ditambah lagi pada bajet 2026 antaranya projek rumah dhuafat.
“Manakala jumlah pegawai lantikan politik tidak bertambah, sebaliknya peruntukan pembangunan kepada rakyat semakin meningkat,” tambahnya.
