Minyak pesawat anak Kelantan dapat perhatian dunia

Oleh A Rahman Harun
KEJAYAAN dua anak Kelantan mencipta bahan api pesawat daripada minyak masak terpakai dijangka dapat menepis kebimbangan masyarakat antarabangsa berhubung kempen anti minyak sawit.
Muhammad Arif Arman Suddin, 30 dan Mohammad Azhan Shamsu Anuar, 28, berjaya mencipta produk memenuhi piawaian International Sustainability and Carbon Certification Corsia (ISCC CORSIA).
Malah, minyak masak terpakai yang diproses menjadi bahan api pesawat mula mendapat sambutan dari beberapa syarikat pembekal bahan api sektor penerbangan di Belanda, Switzerland dan Amerika Syarikat.

Mereka merupakan bekas jurutera penerbangan dilapor mengambil masa lapan bulan menjalankan pelbagai kajian dan proses ‘try & error’ bagi memahami teknik penghasilan bahan api berasaskan minyak masak terpakai mengikut piawai antarabangsa.
Syarikat terbabit kini membekalkan bahan api tersebut kepada syarikat pembekal bahan api kapal terbang di Belanda, Switzerland dan Amerika Syarikat.
Kejayaan dua pemuda terbabit turut mendapat Dewan Rakyat semalam apabila dibangkit ahli parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli.
Beliau menyifatkan perkembangan tersebut memberi nilai tambah kepada kerajaan dalam melaksanakan usaha bagi memperkukuhkan daya saing negara dalam pasaran dan industri minyak sawit dunia.
“Dua anak Kelantan dilapor berjaya membekalkan bahan api alternatif kepada syarikat pembekal bahan api pesawat daripada minyak masak terpakai mengikut piawaian antarabangsa.
“Bolehkah Kementerian Perladangan dan Komoditi melihat usaha inovasi tersebut supaya dapat dimajukan dan menolak kempen anti minyak sawit tanpa mengeluarkan modal besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sessi perbahasan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat.
Menurutnya kejayaan dua pemuda terbabit mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda terutamanya di Kelantan.
Muhammad Arif Arman sebelum ini belajar di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam bidang kejuruteraan.
Minyak masak terpakai yang mereka proses mula mendapat sambutan daripada beberapa syarikat pembekal bahan api sektor penerbangan sejak Februari lalu.
Proses menghasilkan bahan api terbabit melalui beberapa peringkat termasuk penapisan rapi produk bagi memenuhi piawaian ditetapkan oleh International Sustainability and Carbon Certification Corsia.

Kumpul minyak terpakai
Minyak terpakai dikumpul daripada penduduk, peniaga dan syarikat di seluruh Pantai Timur serta Perak. Setiap hari hampir 5,000 liter minyak masak terpakai dikumpul syarikat terbabit.
Bagaimanapun Wan Hassan berhujah Belanjawan 2026 hanya memperuntukkan RM63 juta bagi melaksanakan kempen dan mempromosi pensijilan mampan sawit termasuk melibatkan pekebun kecil persendirian.
Beberapa tahun lepas Parlimen Kesatuan Eropah (EU) mengundi biofuel berasaskan sawit diharamkan sepenuhnya pada 2021, manakala biofuel berasaskan tanaman lain dihadkan pada kadar 7 peratus sebelum pengurangan secara beransur-ansur kepada 3.8 peratus menjelang 2030.
Tindakan negara barat bagi melindungi perdagangan kacang soya. Malah Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) menyekat import minyak sawit atas dakwaan kononnya penggunaan buruh paksa.

Berikutan sekatan negara barat, Malaysia melancar kempen minyak sawit termasuk ‘Sayangi Sawitku’ untuk melawan kempen negatif terhadap minyak sawit dan menggalakkan penggunaan produk berasaskan minyak sawit.
Malaysia mempunyai keluasan tanaman kelapa sawit kira-kira 5.7 juta hektar pada akhir tahun 2022, di mana Sarawak dan Sabah mempunyai keluasan terbesar.
Daripada jumlah keluasan tersebut sehingga Disember 2022 terdapat 463,396 hektar sawit tua berusia lebih 25 tahun.
Masalah itu akan menjejaskan produktiviti hasil buah tandan segar dengan kerugian sehingga RM7 bilion setahun.

