Pengambilan tanah: Pusat cuba salah Kelantan

KERAJAAN Pusat cuba menyalahkan kerajaan negeri ekoran kelewatan projek tebatan banjir di Sungai Golok, Kelantan fasa 1 hingga 3.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebelum ini mendakwa, pihaknya menerima laporan mengenai kemajuan projek tebatan banjir didapati bergerak agak perlahan.
Kata beliau selepas dibuat pengambilan tanah tiba-tiba ada tanah dengan hak milik baru.
Video berdurasi satu minit 30 saat itu dimuat naik di Facebook Akmal Nasir selepas beliau mengadakan lawatan kerja ke Kelantan baru-baru ini.

Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 yang dijadualkan siap pada Ogos lepas masih berjalan dengan anggaran 70 peratus kemajuan.
Sebelum itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut mendakwa sebanyak 14 projek RTB di Pantai Timur mengalami kelewatan disebabkan masalah pengambilan tanah dan pengalihan semula utiliti.
Menjelas dakwaan tersebut Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Dr Mohamed Fazli Hassan memberitahu kelewatan pengambilan tanah yang bermula sejak 2018 tidak wajar diletak kesalahan terhadap kerajaan negeri.
Katanya 21 lot tidak dapat diselesaikan pengambilan balik tanah kerana konsultan dan juruukur yang dilantik kerajaan pusat tidak mengadakan rundingan dengan agensi kerajaan negeri.
“Itu projek kerajaan pusat, pengambilan tanah melibatkan lot-lot yang didapati bermasalah, namun mereka tidak rujuk kepada agensi kerajaan negeri.
“Apabila perkara itu sudah berlarutan tiba-tiba hendak menyalahkan kerajaan negeri pula.

“Kita ada maklumat tentang tanah tersebut, pengambilan dapat dilakukan kalau konsultan dan juruukur merujuk kepada Pejabat Tanah dan Galian, kerana data tanah terbabit belum ada dalam sistem komputer,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat mengumumkan enam projek tebatan banjir akan ditender semula selewat-lewatnya pada Jun 2023.
Projek itu termasuk melibatkan Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan.
Dr Mohamed Fadzli menjelaskan kerajaan negeri hanya terima dokumen lengkap sebelum membuat pengambilan tanah yang terbabit dengan projek tebatan banjir.
Bagaimanapun kata beliau berdasar maklumat hanya tujuh lagi lot tanah yang masih lagi belum dapat dikesan pemilik tanah terbabit.
“Begitu juga dengan 12 projek yang telah dilulus kerajaan pusat di Kelantan belum dilaksanakan lagi. Kalau ada masalah berkaitan tanah mereka hendaklah dirujuk kepada agensi kerajaan negeri untuk diselesaikan,” ujar beliau.

Sebaliknya Timbalan Menteri Besar memberi contoh projek laluan rel pantai timur (ECRL) yang juga melibatkan pengambilan tanah penduduk, dapat diselesaikan lebih cepat.
Katanya pihak pengurusan projek ECRL sering merujuk kepada kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah pengambilan tanah sehingga Kelantan disebut proses pengambilan tanah lebih cepat.
Sebelum ini media melaporkan sebanyak 1,547 lot tanah di Kelantan sudah diwartakan bagi fasa pertama untuk projek Projek ECRL mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960.
