Tumpuan di Sabah kini terarah PN, Warisan

Oleh M FAQIH
PERSAINGAN menjelang hari mengundi di Sabah 29 November ini, nampaknya lebih terarah kepada Warisan dan Perikatan Nasional (PN). Mengapa begitu.
Antaranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah banyak cedera sepanjang sepenggal menerajui kerajaan negeri. Begitu juga Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semakin hilang aura di Sabah.
GRS, PH dan BN dibelit isu dalaman parti terbabit. Cuba belek media sosial. Warga maya di Sabah melabelkan Sabah berada di kedudukan tercorot di bawah GRS kerana gagal melaksanakan dasar ekonomi yang mampan.
“Situasi itu menandakan kegagalan jelas dalam merancang,” kata mereka.
Biarpun GRS hadir dengan sekutu baharu bersama PH yang menerajui Putrajaya, namun belum tentu mampu menarik simpati rakyat.
GRS tambah cedera apabila Ketua Pemuda GRS Datuk Fairuz Renddan tetap mempertahankan kerusinya di Dun Pintasan. Beliau digugurkan biarpun sudah banyak menabur jasa di Dun terbabit.
Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengenepikan Fairuz bagi memberi laluan kepada Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sedangkan pada pilihan raya negeri (PRN) lepas Pandikar kecundang di tangan Fairuz di kerusi Pintasan. Keputusan Hajiji mengundang padah apabila Pemuda GRS itu tetap mempertahankan kerusi tersebut.
Ternyata percaturan Hajiji membawa beban. Pandikar tidak diberi laluan mudah. Malah 10 lagi calon mencuba nasib di Dun terbabit.
Mereka juga ditentang calon Barisan Nasional (BN), Tadzul Radim; Awang Salleh Makmud (Perikatan Nasional), Raplin Samat (Parti Solidariti Tanah Airku – STAR) dan Abdullah Otong (Warisan).
Selain itu calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Almudin Kaida; Lomog Rudin @ Efejus Rudin (Parti Impian Sabah – PIS).
Turut berentap di atas tiket bebas Mohd Rizal Saiman, Syarif Mohd Shukree Danchingan dan Tajuddin Padis. Fairuz bukan calang-calang pemimpin di Pintasan. Penduduk dilapor lebih menyenanginya kerana sering turun padang menyantuni rakyat di kampung.
Beliau juga berusaha membaik pulih infrastruktur asas yang dihadapi penduduk. Malah, Fairuz dianggap membawa nafas baharu dalam politik Sabah sebagai orang muda.

Takuk lama
Sepenggal di bawah GRS tidak banyak perubahan dinikmati rakyat terutamanya di kawasan pedalaman. Bukti paling jelas jalan raya utama dari Kota Kinabalu ke Kinabatangan melalui Lahad Datu, Kunak-Semporna, Tawau-Kalabakan masih di takuk lama.
GRS juga dipersoalkan rakyat kerana dianggap gagal mengatasi masalah dihadapi penghuni Country Height Apartment, Minintod. Nasib puluhan keluarga penghuni Blok 20 masih samar.
Selepas kejadian tanah runtuh di situ 15 September lalu, nasib penduduk masih dikatakan tidak terbela. Pada kejadian terbabit, 32 unit rumah di blok 20 terjejas ekoran kejadian tanah runtuh.
Selain itu 10 kenderaan milik penduduk termasuk motosikal juga rosak. Janji kerajaan GRS untuk membantu tidak menjadi kenyataan. Malah, lokasi terbabit juga sudah dilawati perdana menteri.

“Peruntukan kerajaan federal turun ke Sabah melalui JKR Negeri dan JKR Negeri dikawal oleh siapa sebenarnya?
“Kelihatan ada pihak ‘berabis’ mau membuat rakyat Sabah teruja tengok progress pembinaan Pan Borneo dan kerja menolak rumah atau bangunan yang dibina di atas road reserved yang sedang giat dibuat,” luah kumpulan netizen di media sosial.
Kata mereka betul lebuh raya Pan Borneo penting disiapkan segera, tetapi jangan sampai jalan sedia ada yang diguna rakyat setiap hari dalam keadaan sangat daif.
PH retak
Di sisi PH pula keutuhan gabungan itu semakin terelai apabila Datuk Ewon Benedick membawa keluar UPKO daripada parti terbabit.
Sedangkan sebelum ini Ewon merupakan Pengerusi PH Sabah. Beliau mengetuai empat komponen utama PH iaitu PKR, DAP, Amanah dan UPKO di Sabah.

Bagi menghadapi PRN ke-17 Sabah, Ewon yang juga Presiden UPKO bertanding menggunakan logo parti sendiri.
Tindakan Ewon tidak dijangka Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengimpikan pakatan PH-GRS mempertahankan kerajaan Sabah. Namun, sekarang harapan itu semakin samar.
Umno di persimpangan
Bagaimana pula peluang BN yang mengharapkan tuah di 41 kerusi Dun pada PRN kali ini. Sepanjang hampir 30 tahun Umno melalui BN mentadbir Sabah masalah juga rakyat tidak selesai.
Biarpun peruntukan pembangunan disalurkan, namun kawasan pedalaman tidak banyak berubah. Rakyat seperti serik mahu menobatkan semula BN berada di puncak kuasa di Sabah.
Di tengah-tengah dendam rakyat terhadap kepincangan era BN, malangnya Umno masih lagi mengetengahkan Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi mempertahankan Dun Lamag.
Sedangkan pada 22 Mei lepas, Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette gagal mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah.
Mahkamah Rayuan pada 18 November 2024 memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah.

Bung Moktar, ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau juga dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette.
Bagaimanapun Mahkamah Sesyen menangguhkan prosiding perbicaraan membela diri Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.
Berdasar perkembangan itu peluang GRS, PH dan BN dilihat semakin pudar. Rakyat Sabah sudah jauh berubah sekarang. Mereka berani tampil di jalanan bagi mengkritik ketidakadilan yang berlaku.
Situasi itu dapat dirakam isu adik Zara dan kes dakwaan rasuah membabitkan beberapa pemimpin GRS.
Ada peluang
Sekarang peluang dianggap lebih cerah dianggap menyebelahui Warisan di bawah Datuk Seri Shafie Apdal. Kerajaan Warisan sebelum ini hanya berkuasa selama 26 bulan sebelum Dun dibubar bagi menghadapi PRN16.

Dan sudah tentu tempoh agak singkat itu sukar untuk mengukur prestasi Warisan ketika menerajui Sabah.
Begitu juga PN, belum ada isu yang boleh dipalitkan oleh rakyat Sabah. PN pernah menerajui Putrajaya bermula Mac 2020 dan hanya usia kerajaan PN hanya 32 bulan.
Namun, prestasi cemerlang menangani pandemik Covid-19 tidak dapat dinafikan. Rakyat masih lagi ingat Bantuan Prihatin Rakyat yang berjumlah RM55 bilion dibentang pada Belanjawan 2021.
Seperti kata Presiden Gerakan Datuk Seri Dominic Lau Hoe Chai, ramai pengundi memberitahu di Sabah tiada air, tiada elektrik, jalan rosak bukan lagi dianggap sebagai berita.
“Jika rakyat memberi mandat kepada Perikatan Nasional, kita akan mengubah realiti yang tidak masuk akal ini. Mulai saat itu ada air, ada elektrik, jalan elok — bukan lagi berita.

“Pembangunan Sabah tidak boleh terus ketinggalan. Masa depan Sabah tidak boleh dibiar dalam keadaan sama. PN tekad untuk memastikan bekalan air bersih dan stabil, ada bekalan elektrik dan jalan raya selamat dan selesa.
“Inilah tanggungjawab kami, dan inilah janji kami kepada rakyat Sabah. Demi anak-anak kita, demi keluarga, demi masa depan Sabah,” ujarnya pada catatan di laman sosialnya.
