Kota Kuala Kedah benteng pertahanan Melayu tua

Oleh UMMU AMMARAH
KOTA Kuala Bahang atau Kota Kuala Kedah pernah menjadi benteng pertahanan Melayu tertua di utara Semenanjung Malaysia.
Binaan menjadi saksi bisu kepada pelbagai peristiwa sejarah bukan sahaja sebagai sebuah kubu, sebaliknya pernah muncul pusat pentadbiran dan nadi empayar Kesultanan Kedah.
Kota Kuala Kedah terletak kira-kira 12 kilometer dari pusat bandar Alor Setar, di Kuala Sungai Kedah.
Sejarah awal kota tersebut bermula semasa pemerintahan Sultan Sulaiman Shah (1602-1620). Ia dibina menggunakan tanah liat, kayu bakau dan buluh dengan bantuan Portugis.
Kota itu pernah musnah akibat serangan dahsyat armada Acheh pada tahun 1619 yang turut menyaksikan Portugis diusir keluar.
Setelah diperbaiki, ia sekali lagi ranap diserang oleh armada Bugis pada tahun 1770.

Pembinaan semula kota tersebut berlaku semasa era Sultan Muhammad Jiwa dan kemudiannya disempurnakan semasa pemerintahan Sultan Mukarram Shah (1778-1797).
Baginda menitahkan Kota Kuala Kedah dibina semula dengan struktur batu bata yang lebih kukuh antara tahun 1780 hingga 1782.
Projek terbabit diketuai seorang arkitek bernama Hafiz Sab. Beliau berkhidmat sebagai Maharaja Kadhi. Kerja-kerja pembinaan menggunakan tenaga dari India.
Pusat pentadbiran
Tembok yang dibina diperkukuh dengan dikelilingi meriam yang dibeli dari Belanda dan British. Kota terbabit berubah menjadi pusat pentadbiran semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1804-1845).

Sebuah istana dibina di dalam kota tersebut yang menggambarkan statusnya sebagai pusat pemerintahan negeri.
Namun, zaman kegemilangannya sekali lagi diuji apabila kota itu diserang dan dimusnahkan armada Siam pada 12 November 1821. Kemudian diduduki tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Kota Kuala Kedah kini diwartakan sebagai monumen lama dan Tapak Tanah Bersejarah di bawah Akta Bendapurba 1976 pada 31 Ogos 1978.
Pengiktirafan itu diperkukuhkan lagi apabila ia didaftarkan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) bagi memastikan khazanah tersebut terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Hari ini pengunjung masih dapat melihat sisa-sisa tembok batu yang masih gah serta replika meriam Belanda bertarikh 1849.
