Sampai bila menteri mahu pertahan ART 2025

AKHIRNYA isu perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) dengan Amerika Syarikat tidak mampu lagi disembunyikan. Kerajaan Madani nampaknya gagal mempertahankan kenyataan awal.
Biarpun Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dianggap sebagai hero ART sebelum ini, namun hari ini hujahnya seperti tidak lagi dihiraukan.
Malah, pada ceramah mengenai ‘Membina Kekuatan Serantau Melalui Dasar Fiskal dan Perdagangan Lebih Pintar’ Selasa lepas Tengku Zafrul masih menganggap ART mekanisme berdaulat berasaskan peraturan yang memperkukuh keupayaan Malaysia.
Beliau mempertahankan ART dengan AS harus dilihat dalam konteks libat urus berprinsip lebih luas dengan rakan dagang utama.
“Tiada apa-apa dalam ART mengatasi undang-undang Malaysia, menjejaskan kedaulatan negara, atau memaksa liberalisasi melangkaui hala tuju dasar yang kita pilih.
“Semua peruntukan adalah berasaskan undang-undang Malaysia dengan garisan merah dilindungi. Kuncinya untuk mendapatkan platform bagi libat urus berterusan,” katanya.

Setakat ini Tengku Zafrul dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sahaja yang bermatian mempertahankan perjanjian ART.
Namun, peliknya ketika bercakap di podcast Keluar Sekejap, Tengku Zafrul dilapor seperti mengakui kerajaan sedang berusaha untuk merundingkan kembali perjanjian itu.
Ia termasuk klausa yang kontroversi seperti klausa 5.1 berbanding klausa sama dengan Cambodia yang secara jelas melindungi kedaulatan negara itu.

Nada itu hampir serupa pernah disuarakan Timbalan Menteri MITI Liew Chin Tong. Liew kelihatan lebih jujur apabila menyifatkan Malaysia tidak mempunyai pilihan selain mengadakan rundingan dengan AS berhubung ART pada 26 Oktober lepas.
Baginya perbincangan dengan AS didorong kerana langkah unilateral Washington.
Terpaksa
“Malaysia ‘dipaksa’ ke dalam rundingan selepas AS mengumumkan apa yang dipanggil tarif timbal balik pada April.
Nampaknya menteri MITI mampu mempamerkan aneka wajah. Namun sehingga sekarang pihak yang mempertikaikan perjanjian ART lebih ramai berbanding pemimpin dilihat cuba menegak benang basah.
Bekas pemimpin Umno Isham Jalil, individu yang tegar mencabar kenyataan Tengku Zafrul dan Anwar berkaitan ART mendedah tiga bekas menteri dan seorang bekas peguam negara menyifatkan ART menggadaikan negara.
Beliau turut menyifatkan perjanjian terbabit sebagai ‘terbodoh’ dalam sejarah negara.
“Dia orang pelik macam mana Anwar boleh sign perjanjian tersebut. Saya ada mesyuarat dengan mereka. Mereka sebulat suara mengatakan perjanjian yang kita sign itu menggadaikan negara,” kata Isham pada program di Kota Bharu Jumaat lepas.

Tengku Zafrul sebelum ini dilapor mengesahkan 2 Disember ini merupakan hari terakhir beliau di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Malang sungguh Tengku Zafrul. Sebelum ini ketika di era kerajaan Perikatan Nasional (PN) beliau dilihat cemerlang sebagai menteri kewangan, namun karier akhir sebagai menteri di era Madani dipertikaikan banyak pihak.
Namanya tidak lagi seharum dahulu yang dilihat lebih jujur dan cemerlang berkhidmat.
Bukan sekadar meninggalkan MITI dengan dada terbuka, sebaliknya berdepan situasi yang lebih sukar mendepani hari mendatang. Biarpun dianggap mencari ruang baharu bersama PKR selepas meninggalkan Umno, namun ia tidak semudah itu.
Hayat kerajaan Madani seperti tidak lama. Wajah negetif membelenggu kerajaan Madani di bawah Anwar.
Kedaulatan
Isu ART tidak berakhir begitu sahaja, sebaliknya Ketua Penerangan PUTRA Shahrulufti Sharif tampil membuat laporan polis berkaitan ART. Laporan dibuat di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur 21 November lepas.

Hadir sama di IPD Dang Wangi Ketua Penerangan PUTRA Selangor Shahrin Ismail dan Ketua Bahagian PUTRA Kota Raja Norshahrizal Nordin.
Kata Shahrulufti, laporan tersebut dibuat berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) yang ditandatangani Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 26 Oktober lepas.
Laporan itu dikemuka bagi meminta Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan menyeluruh terhadap perkara-perkara berikut:
1. Keabsahan serta kandungan sebenar Perjanjian ART 2025, termasuk sama ada ia dimeterai tanpa kelulusan Parlimen atau bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
2. Kemungkinan pelanggaran prinsip kedaulatan negara melalui tandatangan Perdana Menteri Malaysia dalam dokumen tersebut, meliputi aspek tatakelola, integriti, dan kepentingan awam.
3. Kewujudan unsur pengkhianatan (treason) atau penyalahgunaan kuasa yang berpotensi menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.
“Laporan ini dibuat demi menjunjung prinsip amanah, integriti dan mempertahankan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta,” ujar Shahrulufti pada kenyataan.
