Isu rasuah goncang politik Sabah-Putrajaya

Oleh M Faqih
HANYA berbaki dua hari lagi menjelang detik pengundian pilihan raya negeri (PRN) Sabah Sabtu ini. Setakat ini tiada parti yang mampu mendakwa mendahului parti-parti lain.
Bagaimanapun baru-baru ini Ilham Centre membayangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada di hadapan berbanding parti lain. Asas yang digunakan kerana kelebihan sebagai penyandang kerajaan negeri.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar dilapor memberitahu berdasarkan dapatan kajian, faktor penguasaan sebagai parti pemerintah yang mempunyai akses sumber dan faktor personaliti calon memberi kelebihan kepada GRS.
Betulkah begitu. Sedangkan ketika Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah dibubarkan pada 30 Julai 2020, Parti Warisan Sabah (Warisan) menguasai kerajaan negeri, namun kecundang pada PRN ketika itu.
Biarpun GRS sebagai penyandang, namun imej gabungan parti terbabit banyak tercalar. Isu lompat parti dan dakwaan rasuah mencalar moral GRS dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Surat sokongan
Begitu juga isu terbaru membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. Ia turut melukakan GRS. Isu surat sokongan kepada kontraktor mendapatkan projek kerajaan menjerat PH.
Surat sokongan dikatakan berkaitan projek hospital. Isu tersebut didedah di Dewan Rakyat minggu lepas oleh anggota parlimen Pasir Mas Fadhli Shaari.
Ketua Penerangan PAS itu mempersoalkan tindakan Setiausaha Politik Perdana Menteri mengeluar surat sokongan projek hospital pada 2024 dengan menyenaraikan kontraktor kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.
Keadaan tambah parah apabila ahli perniagaan Albert Tei, mendakwa memberi RM629,000 kepada Shamsul. Alasannya beliau cuba diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada pemimpin politik di Sabah.
November lepas, Tei mendedahkan video, dokumen dan skrin WhatsApp mengaitkan ramai ahli politik GRS dalam skandal lesen penerokaan mineral.
Berikutan itu Tei dan dua bekas Adun kerajaan didakwa di mahkamah. Namun, Hajiji menuduh Tei terbabit dengan kartel bertujuan memonopoli perlombongan di Sabah.
Ternyata imej PKR- Pakatan Harapan (PH) cedera teruk disimbah isu tersebut. Malangnya ia cuba dibela pemimpin DAP Nga Kor Ming dengan menganggap Shamsul Iskandar bukan terbabit rasuah sebaliknya sekadar isu surat sokongan.
Gegar Putrajaya
Bolehkah DAP menegak benang basah. Sedangkan Albert Tei mendakwa dia memberi RM629,000 kepada Shamsul. Apa yang jelas nasi sudah jadi bubur.

Penganalisis politik Datuk Dr Wan Nik Wan Yussof membayangkan isu rasuah bukan sekadar menggoncang politik Sabah, sebaliknya dijangka turut menggegarkan Putrajaya.
“Mana perjuangan integriti yang sering diuar-uarkan pemimpin PH selama ini. Apa pun isu yang berlaku membabitkan bekas Setiausaha Politik PM bakal menganggu keputusan PRN-17 Sabah di pihak PH dan GRS,” katanya di Kota Bharu.
Isu tersebut tidak dapat dinafikan lagi mencederakan Pakatan Harapan (PH) dalam misi melebarkan pengaruh di Sabah. Ia menyukarkan 22 calon PH bagi menarik sokongan pengundi. Ia hampir pasti turut mengheret GRS kerana menjalin kerjasama dengan PH.
Namun, mengambil kira landskap politik sebelum ini Warisan dikatakan mempunyai pengaruh di kawasan Pantai Timur Sabah, namun sukar menembusi kawasan Kadazan-Dusun-Murut (KDMR).

Ilham Centre menyifatkan KDMR lebih dekat dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
PH pula dijangka tidak sukar mengekalkan sokongan di kawasan bandar termasuk Sandakan dan Kota Kinabalu. PH hanya mengharap sokongan pengundi Cina, namun sukar untuk mendapat ihsan kelompok lain.
Berdasar situasi tersebut nampaknya detik akhir kempen PH-GRS dipalitkan dengan isu rasuah dan surat sokongan.
Kes serupa lebih awal menghempap Umno. Strategi Datuk Seri Zahid Hamidi membenarkan Datuk Seri Bung Moktar Radin bertanding meletakkan BN dan Umno di titik lemah.
Kes prima facie
Sedangkan pada 22 Mei lepas, Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette gagal untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah.
Pada 18 November 2024 Mahkamah Rayuan memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah.
Dan sebelum itu pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Pertuduhan dikaitkan Bung Moktar ketika berkhidmat sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Pada PRN kali ini BN bertarung di 41 kerusi, GRS (55) dan PH (22). Detik akhir kempen tiga gabungan parti terbabit tenggelam timbul dengan kes moral. Kata orang Sabah cakap tidak serupa bikin. Kalau bohong pun agak-agak lah bah..
Kini tumpuan pengundi dianggap terarah kepada Perikatan Nasional (PN), Warisan dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
UPKO bertanding di 25 kerusi. Warisan meletak calon di kesemua 73 kerusi Dun. Parti Impian Sabah (72 calon), STAR Sabah (46 calon) dan Barisan Nasional (45 calon).
Perikatan Nasional menghantar 42 calon, manakala Parti Kesejahteraan Demoktratik (KDM – 40). Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pula bertanding di 40 kerusi.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberitahu lebih 90 peratus calon muka baharu, manakala 30 peratus pula terdiri daripada calon muda dan lebih 10 peratus wanita.
Terdapat juga 74 calon bertanding sebagai calon bebas, termasuk 17 calon daripada ‘Gelombang Hitam’. PRN Sabah ke-17 mencatat sejarah apabila seramai 596 calon bertanding, jumlah paling tinggi di Sabah setakat ini.
Potensi PN-PAS

Bagi kerusi ditanding PN-PAS peluang juga terbuka di Dun Tanjung Batu yang diwakili Ahmad Dullah.
“Jika menang dalam tempoh 60 hari, saya berjanji untuk tubuhkan segera Pusat Khidmat, sumbangkan 20 peratus elaun untuk Tabung Kebajikan Dun di samping membentuk sukarelawan rakyat,” kata Ahmad.
Beliau juga akan berusaha melaksanakan program satu rumah satu usahawan, perkasa komuniti peniaga kecil, perikanan dan gerai.
Selain itu program bantuan 3B (baja, benih, enjin bot kecil) dan program ‘dari nelayan ke pasar’ seta mempemerkasakan bisnes hiliran usahawan agro.
Tidak ketinggalan juga merangka program keluarga sejahtera melalui kelas fardu ain dan bimbingan keibubapaan. Turut dirancang klinik bergerak dan pemeriksaan kesihatan percuma dengan Kempen Tanjung Batu Sihat.

Ahmad juga akan mempemerkasakan Tabung Khairat, pembaikan infrastruktur dan kemudahan awam, naik taraf jeti, keselamatan dan infra nelayan.
Bagi transformasi belia dan anak muda difokus kekuatan ibadah dan sahsiah, kemahiran e-Dagang, kepimpinan, kembang bakat sukan serta kecemerlangan akademik.
Tidak ketinggalan juga program Kampung Hijau Hidup Sejahtera, Skim Prihatin (warga emas, ibu tunggal dan OKU), perkasa masjid dan madrasah.
Dun Tanjung Batu mempunyai 27,428 pemilih yang menyaksikan pertandingan lima penjuru iaitu Ayuf Abdul Rahman (Warisan), Ahmad Dullah (PN-PAS),

Samasuddin Yusop (BN), Zanudin Mingo (PIS), Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal (GRS). Pada PRN 2020 dimenangi Andi Muhammad Suryady Bandy daripada BN dengan majoriti 2,123 undi.
Manakala di Dun Merotai PN-PAS mengetengahkan Hasan Haris yang bersedia memperjuangkan kemudahan infra rakyat termasuk jalan kampung, jambatan, longkang.
Selain itu jaminan bekalan air bersih dan berterusan, naik taraf internet dan capaian telekomunikasi, program tebatan banjir di kawasan perkampungan.
Hasan juga akan berusaha membuka peluang jana ekonomi melalui geran mikro, latihan pemasaran dan ruang niaga untuk usahawan kecil.

Merotai Sihat
Beliau juga merangka program bantuan pekebun kecil getah dan sawit melalui bantuan input, akses pasaran adil dan harga stabil.
“Program Merotai Sihat dirancang dengan mengadakan klinik bergerak dan pondok kesihatan di lokasi tumpuan. Selain itu program sokongan OKU dan keselamatan kejiranan,” ujar Hasan.
Beliau berikrar menaik taraf padang, gelanggang dan pusat komuniti masyarakat, melaksanakan program Merotai Mahir TVET (latihan automotif, elektrik, pertanian moden, digital dan hospitaliti).

Tidak ketinggalan berusaha membaikpulih sekolah daif dan asrama luar bandar dan memperkenalkan program tuisyen komuniti bersama NGO atau guru sukarelawan.
Hasan turut merangka untuk mewujudkan pusat rekreasi dan aktiviti komuniti Merotai melalui program libat urus bersama ketua kampung, JKKK, komuniti dan rumah ibadah.
Kata beliau program Usahawan Wanita Merotai melalui kemahiran tradisional diharap dapat membantu ekonomi keluarga.
Pada PRN lepas Merontai dimenangi Sarifuddin Hata daripada Warisan Plus dengan majoriti 1,587 undi.

Dan pada Sabtu ini Hasan dicabar Rhyme @ Reymie Kassim (PIS), Sarifuddin Hata (Warisan) dan Datuk Ruji Ubi (PH-PKR). Dun Merotai terdapat seramai 26,179 pemilih.
