Kemelut PKR rencat kempen GRS di saat akhir

Oleh M Faqih
MASA semakin suntuk. Suhu keletihan mulai memuncak dan akan membengkak dalam debar menjelang petang esok. Letih sepanjang dua minggu kempen akan terubat sekiranya mendapat mandat rakyat.
Menang atau kalah perjuangan tetap diteruskan. Itulah nama orang berjuang. Bukan selepas menang atau kalah terus hilang dan muncul semula menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-18 nanti.
Inilah yang membezakan PAS dengan parti-parti lain. Biarpun calon PAS tidak pernah bergelar YB melalui mandat rakyat di Sabah sebelum ini, namun parti itu tetap mara. Mesejnya untuk dakwah tidak pernah terhenti.
Ternyata PRN kali ini agak unik. Parti yang menunjangi kerajaan terpecah. Satu kumpulan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH). Dan satu lagi di bawah naungan Barisan Nasional (BN).
Biarpun parti terbabit mendukungi kerajaan Madani, namun hadir di Sabah dalam dua wajah berbeza. GRS sebagai parti tuan rumah dilihat tidak menyambut kedatangan Timbalan Perdana 1, Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berulang alik ke bumi Sabah dengan menunggangi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. Cuba soroti kedatangan Zahid ke Sabah. Hari ini beliau mengadakan pertemuan bersama komuniti Felda Sahabat di Lahad Datu.
Sebelum itu beliau hadir ke Klias menyertai program Sentuhan Kasih Desa@Klias di Dataran Bagandang, Beaufort. Selain itu hadir pada program penyampaian Sijil Tamat Persekolahan Kanak-Kanak TABIKA/TASKA KEMAS 2025.
Zahid juga menyantuni masyarakat Lumadan dalam Program Felcra Madani Santuni Rakyat@Lumadan. Beliau juga dilapor menghadiri program Jelajah TVET MARA Negeri Sabah.
Kolej Komuniti dan Kampus IPG Tawau menghimpunkan anak-anak muda turut dihadiri Zahid. Paling kerap mengunjungi kawasan Felda termasuk di Felda Sahabat. Nampak. Hampir semua kelibat Zahid di Sabah di atas nama kerajaan. Namun, direbut peluang berkempen bagi membantu calon BN.

“Barisan Nasional akan memastikan setiap rakyat Sabah, tanpa mengira latar dan lokasi menikmati akses kesihatan yang lebih adil, mudah dan menyeluruh.
“Sabah mesti menjadi negeri yang menjaga kebajikan rakyatnya, khususnya mereka yang sedang berdepan kesukaran dan penyakit kritikal. Demi Rakyat, Demi Sabah. Bikin Balik Sabah!,” ujarnya pada catatan di laman sosialnya.
Malang juga BN tidak kelihatan dibantu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Setiap kali turun ke Sabah, presiden PKR kerap bersama GRS yang diketuai Hajiji Noor.
BN keseorangan
Jelas di sini, BN seperti keseorangan di Sabah. Biarpun mempunyai kelebihan berkempen menggunakan jentera kerajaan, namun BN seperti terhimpit di Sabah.
Rakyat Sabah juga seperti serik memberi peluang kedua buat BN. Sepanjang hampir dua dekad mentadbir Sabah, rakyat di luar bandar masih jauh ketinggalan. Masalah bekalan air bersih tidak selesai.
Bagi rakyat Sabah, tiada peluang kedua buat BN. Berbanding BN, mungkin GRS lebih bernasib baik kerana dibantu perdana menteri dan jentera kerajaan pusat yang pelbagai. Sedangkan BN hanya menumpang tuah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Gerak kerja kempen GRS-PH dan BN secara jelas dibantu jentera kerajaan. Penggunaan aset kerajaan kata orang Sabah di tahap luar biasa.

Namun dalam situasi sekarang UPKO dianggap lebih bernasib baik kerana keberanian presidennya Ewon Benedick. Beliau meletak jawatan sebagai menteri sehingga meraih simpati rakyat.
Ewon dilihat lebih ikhlas berjuang demi rakyat Sabah. Sambutan siri kempen UPKO agak menggalakkan. Ceramah di Penampang baru-baru ini dihadiri lebih 2,000 penduduk tempatan.
Hero Sabah
Ewon dianggap mengambil langkah bijak meletak jawatan di saat menjelang kempen PRN Sabah. Sekiranya Ewon masih lagi bernaung di bawah kerajaan Madani belum tentu simpati rakyat memihak terhadapnya.
Begitu juga Warisan tidak kurang hebat. Setiap siri ceramah yang dihadiri presiden parti itu Shafie Apdal mendapat sambutan. Pengaruh Warisan dilihat menjalar ke Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang.

Tidak ketinggalan juga Perikatan Nasional (PN) biarpun dilabel sebagai parti semenanjung, namun keupayaan gabungan itu mentadbir Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis tidak boleh diperkecilkan. Rakyat Sabah pun tahu cerita itu. Malah, ramai rakyat negeri terbabit bekerja di Sabah.
Pada PRN lepas PN sudah bertapak di Sabah melalui Bersatu. Ketika itu Bersatu menguasai 17 kerusi Dun sehingga melantunkan Hajiji ke kerusi Ketua Menteri Sabah. Namun, malangnya tidak lama selepas itu Hajiji keluar Bersatu dan menjalin kerjasama dengan PH.
Di sebalik keupayaan pembangkang menarik simpati rakyat Sabah, parti kerajaan Madani pula dilihat berdepan dengan pelbagai isu. Perpecahan PKR sehingga meminggirkan bekas timbalan presiden, Rafizi Ramli mencacatkan kempen PH.
Dan terbaru pula bekas setiausaha politik perdana menteri, Shamsul Iskandar didakwa terpalit isu rasuah sehingga terpaksa meletak jawatan. Ia cukup mengejutkan. Begitu juga khabar angin anak Presiden PKR, Nurul Izzah disebut bakal calon menteri besar Selangor. Inilah yang membuatkan pengaruh PKR dan PH semakin pudar.
Ditambah pula isu arwah adik Zara masih lagi membekas di jiwa rakyat Sabah. Malah, ada pihak menganjurkan Himpunan Aman Soladiriti 3.0 Justice For Zara.

Himpunan itu diadakan di tapak pasar malam Aru bersebelah Tangjung Aru Plaza pada 27 November.
“Sekarang tiba masanya kita bergerak lagi tuntutkan keadilan untuk arwah adik Zara kita. Kita begerak lagi untuk arwah Zara Qiarina,” kata kumpulan terbabit di laman sosialnya.
Berdasar petunjuk yang berlaku menjelang hampir dua juta rakyat Sabah membuang undi bermula jam 8 pagi esok, semakin jelas kemungkinan tiada parti yang dianggap dominan.
Hujah serupa juga dilontar penganalisis politik Asia Tenggara, Bridget Weish yang membayangkan kerajaan Sabah tergantung lagi kerana tiada parti mendominasi sokongan rakyat.
