Isu integriti calar imej kerajaan Madani

ISU integriti mencalar reputasi kerajaan Madani, biarpun pemimpin utama sering menguar-uarkan tatakelola dan tidak kompromi dengan rasuah.
Sehingga sekarang dua bekas setiausaha Anwar Ibrahim disiasat pihak berkuasa berkaitan tuduhan rasuah. Terbaru bekas Setiausaha Politik Kanan Shamsul Iskandar dilapor ditahan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malasysia (SPRM).
Sebelum ini pada 21 Julai 2025, portal berita mendedah dokumen dan rakaman juga melibatkan seorang lagi bekas setiausaha Anwar atas dakwaan menerima lesen carigali mineral Sabah seluas 70,000 hektar.

Namun, lebih hangat lagi apabila SPRM dilapor menyerbu kediaman ahli perniagaan, Albert Tei di Puchong, Selangor pagi semalam. Peniaga terbabit sebelum ini dilapor mendakwa memberi sejumlah wang kepada Shamsul.
Peguam mewakili Albert, Mahajoth Singh menyifatkan tindakan penahanan itu sebagai satu pencerobohan kerana tarikh untuk merekodkan keterangan Albert telah ditetapkan Isnin ini.
Peguam terbabit mendakwa cara seorang pemberi maklumat rasuah dilayan begitu rupa sedangkan dia yang memberikan maklumat.
Katanya pada kenyataan, institusi yang beroperasi dengan integriti tidak akan menyerang pemberi maklumat atau pengadu kerana ia bercanggah dengan jadual mereka sendiri atau bertindak seolah-olah mereka takut terhadap ketelusan.
Manakala isteri Albert Tei dilapor mendakwa terdapat pegawai SPRM mengacukan pistol ke arah suaminya sebelum menggari ahli perniagaan itu.

“Mereka ambil pistol, tunjuk atas kepala, tapi ada jarak sikitlah,” dakwanya seperti disiarkan laman berita semalam.
Albert ditahan dipercayai ada kaitan dakwaannya memberi sejumlah wang kepada Shamsul Iskandar. Turut ditahan seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong untuk membantu siasatan.
Pemerhati politik tempatan Dr Zulkeflee Yaacob bimbang isu rasuah semakin membiak biarpun perdana menteri sering bercakap mengenai integriti dan tatakelola.
Kata beliau isu tular seorang ahli perniagaan yang mendakwa memberi lebih RM600,000 kepada bekas Seitiausaha Politik Kanan Perdana Menteri menggemparkan politik negara ketika rakyat Sabah mengundi hari ini.
SPRM dilapor memecah masuk rumah Albert Tei dan menahannya dengan menggari tangan serta dilapor menafikan haknya meminta untuk berjumpa dengan peguam.
Malah, dilihat sekumpulan pegawai SPRM lengkap dengan peralatan taktikal termasuk jaket dan penutup muka sebelum membawanya dengan kenderaan diawasi kakitangan bersenjata seolah-olah mereka menahan seorang pengganas.

Video tular itu mendapat kecaman warganet termasuk ramai pengamal undang-undang.
“Peguam menyifatkan tindakan tersebut sebagai pencerobohan kerana tarikh untuk merekodkan keterangan anak guamnya telah ditetapkan pada hari Isnin ini,” katanya di Ipoh.
Persoalannya antara reformasi atau kerakusan kuasa berdasarkan kasus cara penahanan dengan sebuah kenderaan hitam tanpa nombor kenderaan, berdasarkan rakaman video pendek.
Kata Dr Zulkeflee berdasar video tular kedengaran mangsa yang ditahan bertanya berulang kali kepada pegawai berkenaan ke mana beliau akan dibawa dan meminta bercakap dengan pegawai yang bertanggungjawab.
“Oleh itu, atribut integriti dan telus dalam tadbir urus kenegaraan menuntut rekonstruksi kepemimpinan dan kompeten sumber manusia berasaskan kerohanian selaras Rukun Negara,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan apa yang berlaku itu mencalar usaha Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempertahankan kerajaan Sabah sempena PRN hari ini.
