Nasib malang PH di bumi Sabah

Oleh M Faqih
PILIHAN raya negeri (PRN) Sabah pada Sabtu lepas dilihat menjejaki apa yang berlaku di Sarawak dengan menonjolkan parti tempatan. Nampaknya semua wilayah Malaysia di tanah Borneo bergerak ke arah itu.
Ia bermula di Sarawak pada pilihan raya negeri (PRN) pada 18 Disember 2021. Pada pilihan raya tersebut Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang hampir di semua tempat.
GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada PRN ke-12. Dan selepas itu GPS menguasai 80 daripada 82 kerusi Dun setelah tiga Adun dari parti pembangkang menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), merupakan komponen dalam GPS.
Parti Sarawak Bersatu (PSB) dibubarkan pada 6 April 2024. Manakala seorang Adun lagi isytihar sebagai Adun Bebas, namun dikatakan mesra GPS.
Adun terbabit iaitu See Chee How (Batu Lintang). Di Sarawak sekarang hanya ada dua wakil pembangkang dari DAP iaitu di Dun Padungan, Chong Chieng Jen dan Violet Yong (Pending).
Ini bermakna di Sarawak ada sebuah parti dari semenanjung iaitu DAP yang masih menjadi pilihan rakyat. Sedangkan PKR dan Amanah yang juga dari Pakatan Harapan (PH) gagal meraihkan simpati.
GPS didominasi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Di samping itu turut disertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Dan apa yang berlaku di Sarawak menolak parti Semenanjung berjangkit ke Sabah. Namun, parti semenanjung masih lagi bertapak di Sabah melalui Umno, PAS dan PKR.

Namun di tengah-tengah hiruk pikuk penolakan parti semenanjung, PAS lebih bernasib baik kerana pertama kali dalam sejarah mendapat undi majoriti di Dun Karambunai.
PAS sebagai mewakili Perikatan Nasional (PN) lebih bernasib baik berbanding Bersatu dan Gerakan. PAS menampilkan enam calon pada PRN Sabtu lepas.
Bagi bekas pengarang kanan Yusri Yusof kemenangan PAS di Karambunai atas tiket peribadi calon dan bukannya parti. Hujahnya berdasar komen majoriti pengundi lokaliti terbabit.

“Arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz pernah sebut pada satu ceramah menjelang pilihan raya umum 2008 di Ketereh, ‘setelah kita bertahan dengan majoriti satu kerusi di Dun.. tak perlu kempen parti, cukup kempen Islam sebagai cara hidup, bila orang tengok kebaikannya orang akan pilih kita..,” ujarnya.
Parti kerajaan
Sebaliknya, kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pelik kerana mereka muncul sebagai parti kerajaan. Itu kelebihan kepada GRS berbanding parti lain seperti diakui badan kajian Ilham Centre.
Presiden Putra Datuk Ibrahim Ali menjelaskan dalam politik Malaysia, siapa menguasai logistik, dia menguasai undi. Inilah kelebihan GRS.

Begitu juga PH yang ditunjangi PKR, DAP dan Amanah memasuki gelanggang di Sabah atas nama parti kerajaan dari Semenanjung.
“Mereka ada duit dan semua dirancang ketika kempen menjadi. Dan ditambah pula kesedaran beragama orang Islam di Sabah masih dianggap rendah.
“Begitu juga kesedaran hak dan kuasa undi dalam sosio politik komuniti sub-urban Sabah. Maka medan dakwah dan kuliah politik matang semasa masih terbentang luas untuk didepani,” kata Yusri.
Kelompok pengundi Cina di Sabah pula dianggap sebagai oportunis ketika berpolitik.
Kata Yusri perubahan arah sokongan akan berlaku setiap kali ada penambahbaikan dalam peruntukan untuk mereka. Komuniti Cina lebih mengutamakan kepentingan komuniti mereka.
YB sulung
Dr Kamaruzaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pula menganggap PAS muncul parti paling cemerlang dalam PN dengan mencatat kemenangan pertama di Sabah.

PAS sudah lama bertapak di Sabah. Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 28 April 1985 membuat keputusan menubuh PAS di Sabah. Dan akhirnya pada 19 Mei 1986 PAS muncul di Sabah.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula mula bertapak di Sabah pada awal 2019. Pelancaran parti itu di Sabah diadakan pada 7 April 2019.
Pelancaran Bersatu disempurnakan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri. Majlis pelancaran diadakan di Penampang dengan sambutan agak luar biasa.
Hadir sama pada pelancaran itu Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.
Muhyiddin ketika berucap di majlis itu menjelaskan Bersatu bukan Umno2.0. Bersatu ialah Bersatu. “Kita tinggalkan perjuangan perjuangan lampau dan kita berhijrah,” ujarnya.

Dan selepas tujuh tahun berlalu, Bersatu dilihat tidak mampu lagi mempertahankan sokongan rakyat Sabah. Pada PRN Sabtu lepas, kesemua 33 calon gagal mendapat simpati rakyat.
Nasib Bersatu hampir sama dengan DAP dan Amanah apabila kalah total di Sabah. Namun, situasi menimpa DAP lebih parah apabila tujuh kerusi Dun yang dimenangi sebelum ini gagal dipertahankan.
Bersatu mulai bernasib malang apabila bekas pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melompat parti selepas menang pada PRN-16. Sejak tempoh itu Bersatu hanya dilihat agak kukuh di parlimen Beluran.
“Pemimpin PN seharusnya membuat introspeksi dan mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti dan mengatasi apa sahaja masalah yang membuatkan peratusan hilang deposit secara keseluruhannya amat tinggi berbanding Pakatan Harapan dan Barisan Nasional,” kata Dr Kamaruzaman.
Menurutnya daripada 33 orang calon Bersatu hanya tiga calon mendapat undi lebih 1,000 iaitu Asmad Nasir di N49 Labuk memperolehi 1,364 undi,
Yunus Nurdin di N50 Gum Gum (1,894 undi) dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di N48 Sugut (3,498 undi). Manakala tiga daripada enam calon PAS hilang deposit iaitu Kasman Karate di N63 Kunak yang memperolehi 898 undi, Dr Afifi Saif di N23 Petagas, (1,283 undi) dan Hasan Haris di N72 Merotai (1,288 undi).
Bagaimanapun dua lagi calon tidak hilang deposit. Mereka iaitu Dr Munzier Mahamud di N67 Balung memperolehi 2,265 undi dan Ahmad Dullah di N71 Tanjung Batu (2,426 undi).
Seorang lagi calon PAS muncul sebagai penyelamat PAS dan PN. Datuk Dr Aliakbar Gulasan menang di N16 Karambunai apabila memperolehi 7,054 undi.

Dr Aliakbar dan Ahmad Dullah sebenarnya sudah lama berada dalam linkungan masyarakat. Mereka sudah lama menabur bakti. Kehadiran mereka dianggap dekat dengan jiwa rakyat.
Maka tanggal 29 November lepas tiba masanya majoriti pengundi di Karambunai menobatkan Dr Aliakbar sebagai wakil rakyat mereka.
