Cuit Oghe Kito

Kerajaan GRS Plus Sabah boleh tergugat

Oleh Aslani M & Salmah Mat Husain  

KEMENANGAN PAS dan Perikatan Nasional (PN) di Dun Karambunai pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah Sabtu lepas bukan sesuatu yang mudah.

Usaha PAS bertapak di Sabah bermula sejak 1961 ketika PAS di bawah kepimpinan Dr Burhanuddin al-Helmy. Dan selepas itu cubaan menghidupkan PAS Sabah diteruskan berlaku pada 1964 dan 1969, namun berdepan dengan tekanan politik serta kekurangan sumber.

Menurut pengkaji sejarah Mohd Fadli Ghani, Persatuan Islam Seluruh Sabah ditubuhkan pada Ogos 1963, namun lumpuh kerana pelbagai faktor.

Selepas berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan akhirnya PAS bertapak di Sabah pada 1986 dan dirasmi Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Yusof Rawa. Haji Hamzah Abdullah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah bermula 14 Jun 1986.

Mohd Fadli menjelaskan usaha mewujudkan PAS di Sabah sebagai mengimbangi isu Kristianisasi yang berkembang di negeri itu setelah parti Berjaya tewas kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) pada PRN Sabah 1985.

Pada 25 Mei 1985, Jawatankuasa Kerja Agung PAS bersetuju supaya PAS dikembangkan semula di Sabah bagi menangani masalah Kristianisasi.

Bagaimanapun kewujudan PAS di Sabah berdepan dengan kesukaran apabila Ketua Menteri, Tun Datu Mustapha Harun menubuh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) pada 16 Ogos 1969 yang memainkan peranan dakwah di Sabah.

USIA turut dibantu Rabitah Alam al-Islami yang berpusat di Arab Saudi (Nurasnie 2012: 110-111). Kewujudan USIA secara tidak langsung melemahkan pergerakan PAS.

“Penglibatan PAS dalam kerajaan campuran PAS-Perikatan pada 1973 yang turut disertai Perikatan Sabah melemahkan PAS di Sabah,” kata Mohd Fadli.

Pembentukan Badan Perhubungan PAS Sabah dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14 Jun 1986 mengesahkan pelantikan yang dibuat dalam perjumpaan ahli-ahli PAS Sabah pada 19 Mei 1986.

Ahli PAS dari Semenanjung

Pada peringkat awal, perkembangan PAS di Sabah lebih tertumpu di Tawau, Sandakan, Kudat dan Gaya, di mana ia banyak digerakkan ahli-ahli PAS dari Semenanjung yang bekerja di Sabah.

Selepas 1998, PAS mulai berkembang di tempat-tempat lain di bawah pimpinan beberapa Pesuruhjaya PAS termasuk Haji Hamzah Abdullah (1986-1989), Haji Mohamad Abdullah (1989-2001 dan 2004-2011).

Selain itu Dr Datu Bandira Datu Alang (2001-2004), Haji Aminuddin Aling sejak (2004-2023 dan (2023-sekarang) Datuk Dr Aliakbar Gulasan. Penglibatan PAS dalam pilihan raya umum (PRU) di Sabah agak lewat di mana ia bermula pada PRU-7 yang diadakan Ogos 1986.

Berdasar kajian Mohamad Shaukhi Mohd Radzi dan rakan-rakan, penglibatan PAS dalam pilihan raya selepas empat bulan PAS diwujudkan di Sabah.

Penglibatan dalam PRU tersebut merupakan kali pertama PAS Sabah terbabit dalam proses demokrasi pilihan raya di Sabah. 

Pada PRU tersebut PAS menyasarkan dua kerusi di pantai barat Sabah dan satu di bahagian pantai timur. Parlimen terbabit iaitu Kota Belud, Jambongan (Beluran) dan Kimanis.

Malangnya PAS kalah di ketiga-tiga kerusi Parlimen tersebut. Namun berdasarkan jumlah pengundi yang mengundi PAS dapat digambarkan parti itu mempunyai penyokong tersendiri.

Menurut Mohamad Shaukhi kawasan Parlimen majoriti Muslim yang lain ditandingi PAS antara PRU-8 hingga PRU-13 iaitu Putatan dan Tuaran di bahagian pantai barat.

Di bahagian pantai timur pula meliputi Kalabakan, Tawau, Silam, Semporna dan Batu Sapi.

“PAS hampir menyertai setiap PRU yang diadakan kecuali pada PRU-11 yang diadakan pada tahun 2004 dan PRU-12 pada 2008.

“Berdasarkan keputusan yang direkodkan Suruhanjaya pilihan raya Malaysia (SPR), PAS akan menjadi kuat di Sabah apabila berpadu atau menyertai gabungan dengan parti-parti lain, katanya pada kajian.

Kajian terbabit bertajuk: ‘Penyertaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Dalam Pilihan Raya Umum 14 di Sabah: Penelitian Ke Atas Pola Pengundian, Pendekatan Berkempen dan Persepsi Masyarakat’.

Gabungan parti

Peratusan undi yang diterima pada PRU-8 hingga PRU-10 amat rendah kerana bergerak secara bersendirian tanpa menyertai mana-mana gabungan sehingga hilang wang deposit.

Namun, berbeza pada PRU-13 yang diadakan pada 2013, di mana PAS mendapat jumlah undi agak memberangsangkan kerana berada dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) bersama PKR dan DAP. Peratus jumlah undi yang diterima melebihi 11.5 peratus mengulangi sejarah PRU-7.

Mengulas perkembangan itu Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui kemenangan di Dun Karambunai pada Sabtu lepas hasil usaha dan perjuangan panjang generasi terdahulu.

Kemenangan sulung PAS itu bukan kejayaan yang dicapai dalam tempoh kempen singkat. Ia juga bukan hasil kerja lima tahun lalu.

Sebaliknya, kemenangan tersebut merupakan tuaian daripada perjalanan panjang usaha awal menubuhkan PAS di Sabah.

“Semangat pimpinan terdahulu tidak pernah padam. Perjuangan ini tidak dihampar dengan permaidani, tetapi penuh ranjau dan liku,” katanya pada kenyataan.

Beliau turut memetik ayat 111 Surah At-Taubah sebagai peringatan bahawa perjuangan yang ikhlas pasti dinilai Allah. Janji Allah kepada pejuang agama-Nya adalah kemenangan terbesar.

Tuan Ibrahim memberitahu detik kebangkitan PAS Sabah berlaku pada 1986 selepas PAS menghantar tokoh dari pusat dan melancarkan organisasi rasmi pada 19 Mei 1986 di Kota Kinabalu.

Aktivis awal iaitu Hamzah Abdullah, Cikgu Alias Tijad dan Mohd Aminuddin Aling. Mereka memainkan peranan teras membina gerakan asas parti.

Bagaimanapun kata beliau kemenangan di Karambunai tidak boleh melalaikan PAS.

“Kita perlu menghargai pengorbanan generasi awal yang membina ketika PAS tidak punya apa-apa. Amanah kini mempertahankan kemenangan dengan integriti.

“PAS Sabah perlu memperluas khidmat rakyat dan menjadi wadah yang dipercayai dan dirasai manfaatnya oleh masyarakat,” ujarnya.

Belum stabil

Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain turut memanjatkan kesyukuran di atas pencapaian yang memberangsangkan parti itu melalui Perikatan Nasional pada PRN Sabah kali ini.

Biarpun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah membentuk kerajaan bersama Adun Bebas, PH dan UPKO, namun keadaan politik dianggap masih belum stabil.

“Sekarang masih ada kedengaran suara-suara tidak puas hati daripada Bebas dan sebahagian GRS. Kemungkinan ada cubaan tarik sokongan kepada Warisan.

“Situasi itu dapat dilihat apabila majlis angkat sumpah kerajaan negeri dengan melibatkan BN diadakan pada jam 3 pagi,” katanya dihubungi di Kota Kinabalu.

Malah Pemuda dan Wanita Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memandang serius laporan mengenai usaha membawa BN menyertai kabinet kerajaan negeri Sabah.

Pada satu kenyataan semalam Pemuda dan Wanita UPKO menegaskan perkembangan tersebut perlu diperhalusi dengan teliti demi memastikan kestabilan politik di Sabah terus terjamin.

“UPKO berpandangan struktur kerjasama melibatkan GRS, UPKO, lima Adun Bebas, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), PH dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri yang kukuh,” katanya.

Hujah serupa disuarakan Pemuda GRS yang menolak sebarang usaha membawa BN menyertai Kerajaan GRS Plus yang kini diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Kerajaan GRS Plus hari ini dibentuk dengan komposisi GRS sebanyak 29 kerusi, Bebas (5) dan UPKO (3), STAR (2), PH (1) dan KDM (1).

Biarpun Akta Anti Lompat Parti terpakai di Sabah, namun peralihan sokongan tanpa keluar parti boleh menyebabkan kerajaan yang ada goyah.

Mustaman berkata, sokongan boleh diberi kepada mana-mana Adun untuk menjadi ketua menteri.

“Hal ini merujuk kepada apa yang berlaku di Parlimen apabila enam bekas ahli parlimen Bersatu menyokong perdana menteri tanpa keluar parti.

“Kalau perkara di atas dapat bertahan dan kerajaan negeri masih kekal, cabaran seterusnya pada PRU-16 di peringkat parlimen. Namun kalau kerajaan persekutuan bertukar kepada PN kemungkinan kerajaan GRS juga goyang,” ujarnya.

Langgar kempen

Penganalisis politik tempatan Datuk Dr Wan Nik Wan Yussof pula menyifatkan kabinet GRS Plus3 dengan gabungan GRS (8) + BN (1) + PH (1) + UPKO (1) bertentangan dengan janji Sabah4Sabahan.

Sedangkan ketika kempen GRS memain sentimen ‘Rumah Kita, Kita Jaga’, namun belum apa-apa lagi isu yang dilaungkan GRS ketika kempen sudah ke laut sekarang.

“Ketua Menteri Sabah masih bergantung kepada parti dari Semenanjung iaitu BN dan PH bagi mengstabilkan kerajaan GRS. Sedangkan ketika kempen mereka mengajak rakyat mempertahan sentimen Sabah,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *