Cuit Oghe Kito

Kata Adun GRS – ‘Demi maruah No.. BN’

 

Oleh M Faqih

MUNGKINKAH berulang adegan serupa seperti yang menimpa kerajaan Warisan pada 30 Julai 2020, apabila Datuk Seri Shafei Apdal membubarkan Dun selepas BN mendakwa mendapat majoriti.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, BN Sabah menguasai 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah dan mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas mendapat sokongan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Namun, tiba-tiba enam Adun BN Sabah melompat menyertai Warisan. Adun terbabit empat daripada Umno dan UPKO (2).

Ketika itu Warisan menguasai 21 kerusi. Dan selepas kemasukan enam bekas Adun BN, kerusi Warisan bertambah kepada 27. Dan dan BN tinggal 25 kerusi.

Susulan itu Shafie yang juga Presiden Warisan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri. Warisan juga bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang menguasai 8 kerusi.

Bagaimanapun tidak lama kemudian BN pula mendakwa mendapat sokongan majoriti. Maka berikutan insiden tersebut Shafie cepat-cepat memohon perkenan Yang Dipertua Negeri membubarkan Dun.

Babak terbabit seperti mahu berulang semula di Sabah. Semalam dalam komentar aruslebir.com sudah dibayangkan fenomena ke arah itu.

Hujah itu nampak seperti ‘real’ apabila Adun Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilapor meluahkan rasa tidak puas hati.

Beliau meluahkan kecewa ekoran penyertaan BN dalam kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Demi maruah saya, keluarga & penyokong saya no BN,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya semalam.

Selain itu dikhabarkan Adun Kuamut Masiung Banah juga bernada serupa. Ruddy Awah (Pitas) dan Isnin Aliasnih (Klias) juga disebut berada dalam kelompok sama. Namun, semalam mereka ditawar sebagai pembantu menteri.

Masiung dilapor mencatat di laman sosialnya “sebanyak 12 kerusi GRS kini berpotensi menjadi kerusi pilihan raya kecil, termasuk Kuamut.”

Dua hari lepas media melaporkan 12 Adun GRS dan lima wakil rakyat bebas juga senada dengan Jasnih.

4 Bebas dilantik pembantu menteri

Namun, empat Adun Bebas mendapat jawatan sebagai Pembantu Menteri iaitu Datuk Fairuz Renddan (Pintasan), Datuk Rina Jainal (Kukusan), Datuk Dr Maijol Mahap (Bandau) dan Jordan Jude Ellron (Tulid).

Sehingga sekarang Awang Ahmad Sah Sahari belum mendapat sebarang kedudukan. Ada laporan membayangkan kumpulan tidak berpuas hati kemungkinan mewujud blok penentang di Dun Sabah.

Ketika kempen mereka bersusah payah mempertahankan GRS dan bertembung tegar dengan BN. Malangnya selepas menang seorang dari blok musuh politik dilantik sebagai menteri penuh. Apa cerita bah.

Adun Sukau, Datuk Jafry Ariffin satu-satunya wakil BN diheret dalam pembentukan kabinet baharu Kerajaan GRS.

Pada pelantikan pembantu menteri semalam 11 Adun mewakili GRS, manakala empat Adun Bebas serta seorang Adun dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Bagaimanapun STAR mengisytiharkan akan kekal dalam blok pembangkang walaupun salah seorang Adunnya dilantik sebagai pembantu menteri.

Presiden STAR Datuk Seri Jeffrey Kitingan dilapor menyifatkan pelantikan Adun Bingkor sebagai pembantu menteri merupakan keputusan langsung Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, tanpa sebarang rundingan parti.

Maka tidak pelik Hajiji mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada jam 3 pagi 30 November lepas. Sikap terburu-buru disifatkan kerana bimbang Warisan akan membentuk pakatan lain.

Namun, kerajaan GRS diselamatkan dengan pelantikan enam Adun lantikan. Kelebihan itu membolehkan Hajiji meneruskan bahtera kerajaan dalam debar. BN mempunyai lima lagi Adun yang belum jelas kedudukan. Begitu juga STAR seorang berada di blok kerajaan dan Jeffrey di blok pembangkang.

Sekiranya seorang lagi calon Bebas dan lima BN berkoalisi dengan Warisan saf pembangkang berjumlah 33 orang termasuk Adun Karambunai dari Perikatan Nasional (PN) Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

Manakala parti kerajaan pula mempunyai 40 Adun yang dipilih rakyat. Dan apabila dicampur enam Adun dilantik menjadikan bilangan penyokong kerajaan meningkat kepada 46.

Beralih sokongan

Namun, dalam tempoh lima tahun menjelang pilihan raya negeri ke-18, segala kemungkinan boleh berlaku. Peralihan sokongan tanpa keluar parti boleh menjejas keutuhan kerajaan GRS.

Inilah yang merimaskan Hajiji. Suara tidak puas hari terus kedengaran selepas beberapa hari Hajiji meneruskan penggal kedua sebagai ketua menteri.   

“Kepada ketua menteri Sabah yang dilantik lagi tolong betulkan jalan di Sabah terutama daripada Tawau-Kalabakan, Kimanis-Kota Kinabalu. Memandu di sini seperti di tahun 1995, dekat 100 kilometer jalan berlopak, berbatu. Memang jalan ini telah masuk dalam perancangan Pan Borneo Fasa 3.

“Tetapi fasa 1 pun bertahun-tahun tak siap. Tunggu berapa tahun lagi, 50 tahun? Itu belum cerita di kawasan pedalaman sekumpulan ibu berjalan kaki berbelas km sambil kendong anak untuk ke klinik,” luah netizen di media sosial.

Mereka tidak kisah siapa yang memerintah, namun perlu penuhi dahulu keperluan asas rakyat. “Tak perlu bercerita pasal nak bina bangunan tinggi, nak buat pelabuhan besar, tak perlu..,” ujar mereka.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *