Khabar SG4

Gelabah tafsir surat sokongan vs cadangan

Oleh M Faqih

TIBA-tiba isu surat sokongan bocor menyebabkan seorang pegawai kanan meletak jawatan. Rupa-rupanya ada banyak jenis kategori surat dalam kamus orang politik. Ada surat sokongan, surat cadangan serta surat sila pertimbangkan dan pelbagai lagi.

Surat sokongan ialah dokumen rasmi yang ditulis untuk menyokong atau mengesahkan sesuatu. Menurut Kamus Dewan sesuatu yang dijadikan sokong atau tunjangan. Ia lebih mirip perbuatan menyatakan persetujuan dan memberi perangsang.

Surat cadangan pula sesuatu yang dicadangkan. Surat sila teliti pula bermaksud cermat dan hati-hati melakukan sesuatu. Dan surat sila pertimbangkan boleh membawa maksud harus mempertimbangkan perkara tersebut dengan teliti.

Inilah yang berlaku di Dewan Rakyat, Selasa lepas. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba memberi huraian mengenai jenis-jenis surat politik.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa perkataan meminta kelulusan rasmi berbeza daripada surat sokongan daripada bekas Setiausaha Sulit Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang hanya memohon pertimbangan.

Pada sesi itu beliau turut mendedahkan surat dari Terengganu ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu.

Pendedahan begitu rupa dianggap seperti mahu menggambarkan Shamsul tidak bersalah kerana hanya dilapor mengeluarkan surat sokongan bagi sebuah projek hospital pada 2024.

Namun, selepas isu terebut geger Shamsul akhirnya meletak jawatan, baginya untuk membersihkan imej kerajaan Madani. Beliau meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri pada 25 November lalu.

Ketika menjawab isu tersebut, penjelasan perdana menteri dianggap makin keliru. Apa tujuan disebutnya pula ada surat daripada kerajaan Kelantan dan Terengganu dituju kepadanya.

Pembangkang

Mungkinkah Kelantan dan Terengganu yang dilabel negeri pembangkang, ada peluang untuk mempengaruhi perdana menteri bagi mendapat sesuatu projek pembangunan untuk rakyat. Tentunya jarang berlaku.

Lagi pun ia perlu dibezakan surat cadangan dan surat sokongan. Seandainya Exco Terengganu dan Kelantan menyokong surat daripada mana-mana pihak bagi mendapat projek di bawah kerajaan negeri, itu baru boleh dianggap sebagai salah etika.

Namun, apa yang berlaku surat dari Terengganu sekadar cadangan kepada perdana menteri untuk mendapat kelulusan segera projek yang berstatus kecemasan.

Pengamal undang-undang, Yusfarizal Yussoff menyifatkan perdana menteri gagal memahami tatacara perolehan kerajaan apabila menyamakan isu surat sokongan Setiausaha Politiknya dengan surat syor pembaikan jalan oleh Exco Terengganu.

Baginya tindakan Anwar di Parlimen cuba membias daripada isu sebenar sehingga membangkitkan surat bertarikh 26 Januari 2025 dari Exco Terengganu Datuk Hanafiah Mat.

“Surat Exco Terengganu adalah satu syor rundingan terus bagi mempercepatkan projek pemulihan jalan terputus dari Jalan Batu Rakit ke Mengabang Telipot, yang merupakan kes kecemasan demi kepentingan awam.

“PM tidak faham perolehankah? Faham dua perkara asas iaitu syor dan pembaikan jalan terputus yang perlu dipercepatkan,” katanya pada kenyataan.

Lagipun Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 2.4 (Perkara 2.1), rundingan terus dibenarkan bagi perolehan yang perlu disegerakan supaya tidak menjejaskan kepentingan awam.

Projek hospital

Kata Yusfarizal ia berbeza dengan surat sokongan daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri yang membabitkan projek pembinaan hospital.

Menjelas lanjut isu tersebut Hanafiah memberitahu beliau menghantar surat mengesyorkan cadangan projek baik pulih Jalan Mengabang Telipot di Kampung Tanjung, Baru Rakit dilakukan secara runding terus.

Kata beliau, surat terbabit bukan mengandungi arahan kelulusan projek, sebaliknya sekadar syor supaya projek terbabit diberi secara runding terus dan ia mematuhi garis panduan pentadbiran urusan kerajaan.

“Surat cadangan pelaksanaan projek tanpa sebut harga itu dikeluarkan selepas penilaian, termasuk kemampuan dan pengalaman kontraktor dilakukan pelbagai jabatan teknikal dan jabatan kewangan.

“Kita juga menegaskan tidak pernah mengeluarkan surat sokongan, sebaliknya hanya menandatangani surat cadangan,” katanya.

Malah, kenyataan perdana menteri cedera teruk apabila kerajaan Kelantan menafikan dakwaan Anwar ada Exco di negeri itu menghantar surat menggunakan terma memohon kelulusan bagi sesuatu projek.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menjelaskan tiada seorang pun ahli mesyuarat negeri berbuat demikian.

“Tidak ada Exco yang menghantar surat dengan menyebut nama syarikat secara spesifik,” katanya di Kota Darulnaim Rabu lepas.

Oleh itu bagi membolehkan penjelasan menyeluruh dibuat perlu dilihat dahulu kandungan surat itu. “Tanpa dokumen itu, kita tidak boleh buat apa-apa kesimpulan,” tegasnya.

Penat sungguh era Madani. Surat sokongan dan surat cadangan pertimbangan projek tidak mampu dibezakan. Malang rakyat tanah Malaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *