Di negara Barat kuasa menteri ada had

Oleh Dr Zulkeflee Yaacob
DALAM sistem demokrasi berperlembagaan, difahamkan hanya anggota dewan yang dipilih rakyat mempunyai kuasa untuk mencadang usul bagi menggantung wakil rakyat lain.
Ia selaras dengan prinsip dan amalan di Parlimen United Kingdom. House of Commons yang dipilih rakyat berhak sepenuhnya terhadap urusan disiplin ahlinya sendiri.
Manakala House of Lords yang dilantik tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menggantung Ahli House of Commons.
Malah, di Australia kedua-dua anggota Dewan dipilih rakyat. Ahli Senat tidak boleh menggantung Ahli House of Representatives dan begitu juga sebaliknya.
Setiap dewan berdaulat terhadap ahli masing-masing tanpa kuasa silang disiplin. Dewan atasan tidak pernah dan tidak boleh sama sekali mengemukakan atau menggantung ahli Dewan Rendah.

Sebaliknya di Malaysia seorang senator yang dilantik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mahu menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu selama enam bulan.
Isunya kerana Dato’ Seri Takiyuddin Hassan mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila dengan peristiwa Memali pada 1985 di Baling ketika perbahasan Belanjawan 2026 Oktober lalu.

Senator
Saifuddin dilantik senator penggal kedua baru-baru ini dan tiga tahun lagi hayat sebagai ahli Dewan Senat akan berakhir. Sama seperti Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz hilang jawatan menteri sekelip mata selepas dua penggal sebagai senator berakhir 2 Disember lepas.
Isu yang dibangkitkan berkaitan latihan komando APMM (Latihan Pelarian & Pelolosan Kursus Asas Komando STAR Team).
Berdasar laporan media, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 6 Oktober dan 13 Oktober dikatakan memaklumkan perkara itu kepada Adun Batu Buruk dan Ahli Parlimen Marang.
Sebaliknya pihak pengurusan Masjid Rusila menafikan memberi kebenaran kepada Maritim Malaysia membuat latihan di masjid terbabit. Mereka juga membuat laporan polis terhadap pihak berkenaan.
Ketika membangkitkan isu tersebut Takiyuddin menanyakan apakah standard prosedur operasi (SOP) latihan yang diadakan di sebuah masjid.
Berikutan pendedahan pembangkang tersebut tiba-tiba Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) membawa usul untuk merujuk ahli Parlimen Kota Bharu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas prosedur di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12).
Sebaliknya ditukar pula usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) untuk menggantung Ahli Parlimen.

Semalam sidang Dewan Rakyat gamat apabila beberapa wakil pembangkang termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, vokal dan verbal membantah kemudian diikuti Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut).
Mereka turut mempertikaikan peraturan mesyuarat yang digunakan bagi menggantungkan seseorang ahli parlimen.
Bagaimanapun Dewan Rakyat menangguhkan usul menggantung ahli parlimen Kota Bharu selepas dipertikaikan ramai ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) biarpun usul itu mendapat sokongan penyokong kerajaan.
Penangguhan tersebut diumumkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika penggulungan usul.
Malah menurut Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, terpulang kepada kerajaan sama ada mahu meneruskan usul tersebut atau sebaliknya.
Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk menggantung wakil rakyat kerana jumlah penyokong kerajaan lebih ramai.
Namun penggantungan seseorang ahli parlimen perlu melalui proses secara telus dan adil, termasuk dirujuk kepada sebuah jawatankuasa hak dan kebebasan terlebih dahulu.
Pertama kali dalam sejarah sistem demokrasi berparlimen dan tiada klausa peruntukan perlembagaan atau peraturan mesyuarat yang membenarkan kuasa silang antara Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Senator di Malaysia jika dibenarkan membawa usul menggantung seorang Ahli Dewan Rakyat, ia seakan mencabuli mandat rakyat, meruntuhkan prinsip kedaulatan demokrasi berparlimen.
Inilah kehebatan di era Madani apabila gagal berhujah akhirnya memilih jalan akhir menggantungkan seteru lawan menggunakan kuasa politik.

Tahun lepas ahli parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal menjadi mangsa. Beliau digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Sedangkan ketika itu beliau sekadar mendedah ada surat layang mengenai dalang di sebalik isu pengambilalihan pengurusan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB).
Sepatutnya kerajaan menyiasat dalang tersebut dan bukan menghukum pihak yang memberi maklumat. Isu yang serupa juga menimpa Albert Tei yang mendedahkan maklumat berkaitan rasuah di Sabah.
