Khabar SG4

Francis Light ceroboh negeri Melayu berdaulat

PULAU Pinang ‘ditemui’ oleh Kapten Francis Light pada 1786 tidak lebih sekadar hanya mitos kolonial.

Namun malangnya sejarah seperti itulah yang dimuatkan dalam buku teks, didedah kepada pelajar di sekolah. Sedangkan penulisan sejarah seumpama itu menghilangkan sejarah ketamadunan Melayu.

Malah, sumber Melayu dan dokumen perjanjian British termasuk lebih 2,000 surat-surat Light membuktikan wilayah itu berada bawah kekuasaan Sultan Abdullah Mukarram Shah, Sultan Kedah.

Pakar psikososio Dr Zulkeflee Yaacob menjelaskan naratif kolonial melukis tahun 1786 sebagai titik lahirnya Pulau Pinang, namun hakikatnya pencerobohan Light ke atas negeri Melayu berdaulat.

Menurutnya naratif kehadiran British di Pulau Pinang hanya bermula pada 1791 apabila wujud dokumen pajakan rasmi dan bukan 1786 seperti tercatat dalam kebanyakan buku teks.

“Pemesongan fakta sejarah menyisihkan sejarah warisan Kesultanan Melayu dan menghakis sejarah penduduk asal dan pribumi dalam pembinaan negara bangsa.

“Ia membentuk persepsi salah seolah-olah Pulau Pinang berkembang sebagai ‘koloni bebas’ yang tidak mempunyai hubungan asal-usul dengan Kedah,” katanya yang juga pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pada 10 November lepas Kedah pada fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan proses tindakan perundangan di mahkamah berhubung kedudukan dan hubungan dengan Pulau Pinang.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu langkah itu susulan keprihatinan Sultan Kedah yang menzahirkan keperluan supaya isu berkenaan dijelas secara telus termasuk berkaitan pajakan.

Status Pulau Pinang

Pada tahun 2023 Sultan Kedah bertitah sedemikian sempena hari keputeraan ke-81, di mana status Pulau Pinang perlu diperjelas secara terang dan fakta tanpa prejudis.

Sebelum itu pada 2021 Kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.

Pesuruhjaya PAS Kedah Dato’ Ahmad Saad pula menyifatkan langkah kerajaan Kedah menyemak haknya ke atas Pulau Pinang tidak bermaksud mencabar perlembagaan atau kedaulatan negeri itu.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican menjelaskan sejarah Pulau Pinang tidak pernah muncul sebagai sebuah entiti berdaulat yang berdiri sendiri.

Sebaliknya, seluruh sejarah awal Pulau Pinang berpaksi kedaulatan Kesultanan Kedah sejak abad ke-17.

Malah hujahnya naratif kononnya Pulau Pinang ditemui Francis Light pada 1786 merupakan mitos kolonial yang sudah lama dikitar semula dalam buku teks serta penulisan sejarah.

Dr Zulkeflee menyifatkan pemesongan fakta oleh kolonial dalam sejarah Malaysia perlu diluruskan secara adil dan saksama dengan berakarkan sejarah Melayu.

Ujarnya bertitik tolak dari atribut Menteri Besar Kedah membuat tuntutan hak pajakan Pulau Pinang ke mahkamah bukan semata-mata persoalan kewajaran nilai ekonomi yang sepatutnya dibayar kerajaan Persekutuan.

“Sebaliknya ia sebagai menjunjung titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan keperluan sejarah Kedah yang merangkumi pemilikan wilayah dan rekod sejarah Pulau Pinang dalam peta sejarah negara.

“Pulau Pinang dipajak oleh Sultan Kedah kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1786,” tambahnya. 

Pajakan tidak pernah dibatal

Pajakan itu tidak pernah dibatalkan secara rasmi. Malah, selepas kemerdekaan, kerajaan Persekutuan meneruskan bayaran simbolik RM10,000 setahun kepada Kedah dan tambahan pemberian khas RM10 juta setahun bermula 2018.

Tuntutan Kedah itu ekoran penemuan lebih 20,000 dokumen sejarah, di beberapa premis arkib berkuasa di negara asing termasuk dokumen di Perpustakaan British.

Antaranya dokumentasi sejarah yang ditulis sarjana R. Bonney bertajuk ‘Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence’.

Manakala Perjanjian 1869 antara British dan Kedah serta peruntukan Perkara 167(7) dan Perkara 169(a) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan, apa-apa komitmen bayaran tahunan yang wujud pada zaman pentadbiran British menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan.

Hujah Prof Dr Ahmad Murad Merican dilontar pada forum ‘Merungkai Polemik Persejarahan Malaysia: Antara Fakta dan Tafsiran’.

Ia turut merujuk model Hong Kong di bawah pentadbiran khas China sinonim Pulau Pinang dijadikan Wilayah Khas Kedah dengan pentadbiran diletak di bawah Kedah.

Tambahnya lagi sejarah Pulau Pinang tidak pernah muncul sebagai sebuah entiti berdaulat hakikatnya berpaksikan kedaulatan Kesultanan Kedah sejak abad ke-17.

Oleh itu kata Dr Zulkeflee, sejarah Melayu perlu berakar entiti masyarakat Melayu dan institusi pribumi secara eksklusif sebelum hak inklusif pelbagai kaum.

Segala triti-triti di antara Siam dan British, Tanah Melayu dan kesultanan Melayu boleh ditentukan mahkamah yang merupakan ‘final arbiter‘.

Menurutnya indikator pajakan dan pemilikan wilayah perlu dirinci teliti dan cermat menerusi rekod sejarah dan dokumen rasmi termasuk perjanjian-perjanjian di antara British, Siam, kerajaan-kerajaan Melayu serta triti berkaitan yang disimpan di arkib antarabangsa.

Isu pajakan Pulau Pinang dibangkit Kedah terarah kepada penilaian semula pajakan bukan tuntutan kedaulatan negeri semata-mata.

Ada fakta sejarah, perjanjian-perjanjian serta dokumen-dokumen lama berusia ratusan tahun tersimpan di National Archive di London, Congress Library di Amerika Syarikat atau di India.

Hujahnya pajakan adalah warisan kolonial yang sudah lupus secara praktikal. Isu tuntutan tersebut ternyata rumit dan berliku.

Bagaimanapun ada pihak mengemukakan laras undang-undang, Pulau Pinang sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia, disenaraikan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada kenyataan menyifatkan kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai kewajipan untuk membayar sebarang bentuk sewaan, pampasan atau bayaran kepada Kedah.

Sumber air mentah

Baginya Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia adalah jelas dan termaktub dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyenaraikan negeri tersebut setaraf dengan negeri-negeri lain.

Asas tuntutan Kedah sebenarnya bermula lebih awal berkaitan pemberian pampasan terhadap pengambilan sumber air mentah daripada Sungai Muda.

Ia berdasar peruntukan dalam ‘hak riparian’ yang diguna pakai serta menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa, di mana Pulau Pinang hanya layak menggunakan lima peratus sahaja air daripada sumber dari Sungai Muda.

Sebaliknya, Pulau Pinang menggunakan 56 peratus sumber air dari sungai berkenaan berbanding negeri Kedah hanya sekitar 44 peratus.

Menurut Sanusi penggunaan air dari kawasan tadahan air Ulu Muda dibuat tanpa melakukan sebarang bayaran kepada kerajaan negeri itu serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *