Cuit Oghe Kito

BN hanya tinggal sekadar nama

Oleh M Faqih

MUNGKINKAH Barisan Nasional (BN) yang diasaskan pada 1973 yang dijelma daripada Perikatan hanya tinggal nama.

Perikatan dilahirkan pada 30 Oktober 1957 selepas wujud kerjasama antara Umno, MCA, dan MIC ketika menghadapi pilihan raya persekutuan pertama pada tahun 1955.

Pendaftaran rasmi Perikatan sebagai pertubuhan politik pada 30 Oktober 1957. Kemudian ditukar nama kepada BN pada tahun 1973. 

Begitu juga parti-parti di Sabah dan Sarawak menyertai gabungan bersama BN selepas Malaysia dibentuk.

Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ditandatangani wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Dan sejak tempoh itu BN begitu kuat.

Dan BN makin utuh pada 1973 apabila Perdana Menteri Tun Abdul Razak Husien mempelawa PAS dan Gerakan menyertai Perikatan selepas berlaku rusuhan kaum pada 1969.

Turut menyertai BN termasuk parti tempatan dari Sabah dan Sarawak iaitu Parti Perikatan Sabah, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

BN merupakan gabungan 11 parti ketika berada di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Abdul Razak. BN didaftarkan pada Jun 1974 menjelang pilihan raya umum (PRU) 1974.

Pecah

Malangnya selepas lebih tiga dekad BN menguasai Putrajaya, gabungan itu mulai berpecah selepas kerajaan BN kecundang pada PRU 2018.

Berikutan itu beberapa parti komponen di Sabah mengumumkan meninggalkan BN iaitu UPKO dan LDP. Kemudian diikuti Parti Progresif Penduduk turut mengisytiharkan keluar BN pada 27 Mei 2018.

Dan pada 12 Jun 2018, PBB, SUPP, PRS dan SPDP keluar secara rasmi dari BN dan membentuk pakatan Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

Kekuatan BN yang sukar ditewaskan dalam tempoh begitu lama akhirnya berada di titik hujung. Sekarang BN hanya tinggal Umno, MIC, MCA dan PBRS.

Bagaimanapun pada 16 November lepas perwakilan MIC sebulat suara menyokong resolusi menamatkan penyertaan parti dalam gabungan BN pada Perhimpunan Agung MIC Ke-79.

Pada perhimpunan itu Timbalan Presiden MIC M Saravanan membentangkan tiga usul termasuk keluar daripada BN dan memohon secara rasmi untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Langkah serupa juga kemungkinan diambil MCA. Media baru-baru ini melaporkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu MCA tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan bersama BN.

MCA mengugut hubungan dengan Umno terelai sekiranya parti itu terus menjalinkan kerjasama dengan DAP.

Menurutnya MCA sedia bergerak solo jika gabungan politik itu terus menyokong dasar kerajaan membebankan rakyat yang dilihat bercanggah dengan pendirian parti.

Situasi itu membayangkan BN hanya tinggal Umno dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). BN yang dilihat seumpama gergasi yang kasar, sekarang semakin kurus, kering dan kerdil.

BN beransur hilang dari arus perdana politik negara sekiranya langkah politik terus sumbang. Umno hari ini hanya bertengek di dahan rapuh bersama Pakatan Harapan (PH).

Umno sekadar menumpang ihsan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kekuatan Umno sekarang susut kepada 25 kerusi parlimen selepas kematian penyandang Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

PN jadi tumpuan

Di sebalik kemerosotan pengaruh BN, peliknya PN pula menjadi tumpuan bekas rakan-rakan Umno yang pernah hidup semati sejak 1957.    

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, MIC telah menghantar permohonan untuk dimasukkan semula.

Mereka menggunakan perkataan ‘readmission’ memandangkan MIC antara yang pernah terbabit mengasas kewujudan PN ketika proses pendaftaran bersama PAS dan Bersatu.

“Surat itu dihantar lebih sebulan, Tan Sri Muhyiddin pun ada sebut, cuma kita belum putuskan dalam mesyuarat,” katanya di Kota Bharu semalam.

Beliau turut menyifatkan mana-mana parti yang berhasrat menyertai mana-mana gabungan tidak sepatutnya mengenakan apa-apa syarat.

Baginya PAS sentiasa terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi keutamaan Melayu Bumiputera dipertahankan serta golongan bukan Melayu yang tidak ekstrem turut diterima.

“Kenyataan MCA itu lebih kepada sifat takut mereka terhadap reaksi ahli sendiri. Kita perlu jumpa dengan mereka dulu, saya bersedia,” ujarnya.

Pada Ahad lepas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyatakan masyarakat Cina masih sukar menerima PAS untuk membolehkan MCA bersama PN.

Baginya masyarakat Cina sukar menerima ideologi PAS di mana ada segelintir pemimpin PAS sering mengeluarkan kenyataan kontroversi, sekali gus menyerlahkan konservatisme agama.

“Keadaan itu mungkin berbeza jika PAS membuat pembaharuan dalam partinya dengan menggunakan pendekatan lebih sederhana dan diterima masyarakat majmuk.

“Masyarakat Cina sekian lama tidak mempunyai pandangan positif terhadap PAS, malah menolak parti itu,” katanya pada Perhimpunan Agung MCA 7 Disember lepas.

Benarkah PAS ditenggelami konservatisme agama. Merungkai isu tersebut Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Dr Balachandran Gopal Krishnan menyifatkan apa yang diluah Wee hanya sekadar naratif lama.

Kata beliau, pandangan sedemikian tidak mencerminkan realiti semasa, termasuk peningkatan sokongan bukan Islam terhadap PAS dan PN dalam beberapa pilihan raya lalu.

Berdasar kajian PRU-15 dan pilihan raya negeri (PRN) 2023 menunjukkan berlaku peningkatan undi bukan Islam di kawasan campuran terhadap PAS dan PN.

Mungkinkah Wee terpengaruh dengan sikap DAP yang sering membina naratif keras terhadap PAS sejak berpuluh tahun, namun ia tidak mencerminkan realiti sebenar.

“Ramai terperangkap dalam propaganda tersebut, mereka gagal melihat dan merasai sendiri suasana harmoni pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui PAS.

“Rekod pentadbiran PAS menarik perhatian bukan Islam yang tinggal di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Rumah ibadat bukan Islam tidak pernah ditutup,” ujarnya pada kenyataan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari pula bersedia menggunakan saluran dialog terbuka bagi membetulkan persepsi yang tidak lengkap.

PAS bantu MCA

Sedangkan sebelum ini MCA pernah bekerjasama dengan PAS dalam kerajaan PN. Begitu juga ketika pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada November 2019.

Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberitahu PAS menyokong calon MCA dari BN, Datuk Dr Wee Jeck Seng bagi memastikan Muafakat Nasional turut diterima kaum lain.

“Muafakat Nasional memerlukan parti lain kerana ada rakyat bukan Islam. Maka ditonjolkan MCA sebagai wakil (untuk) menjadi calon kita di Tanjung Piai,” ujarnya.

Wee boleh mengimbau balik kerjasama itu sehingga MCA menang bergaya pada PRK Tanjung Piai. Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi. 

Perkembangan yang berlaku itu memberi isyarat Umno mungkin akan senasib dengan parti-parti kecil. Sebelum terlambat Umno boleh menimbangkan mufaraqah dengan PH yang didominasi DAP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *