UEC luar sistem pendidikan kebangsaan

MUNGKINKAH boleh diumpamakan kaduk naik junjung.
Unified Examination Certificate (UEC) atau Sijil Peperiksaan Bersepadu dibenar dilaksanakan di sekolah swasta di negara ini pada 1975 di era Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pelajaran.
Dan pada 2012 pula Menteri Pendidikan ketika itu Datuk Seri Mohd Najib Razak mengiktiraf UEC bersyarat bagi tujuan pengambilan guru pelatih ke institut pendidikan guru (IPG) bagi bidang bahasa Cina sahaja.
Setelah mendapat keistimewaan tersebut, ada pihak mahu UEC diangkat lebih tinggi lagi.
Di era Madani lumus UEC menuntut pengiktirafan penuh setara persijilan SPM dan STPM seperti diperjuangkan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Zulkeflee Yaacob menegaskan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mesti menyokong dan memajukan sistem pendidikan kebangsaan.
Sebaliknya mengiktiraf UEC bukan sahaja tidak patriotik, malah mencabar semangat kebangsaan kerana UEC tidak menggunakan bahasa kebangsaan dan tidak berasaskan kurikulum kebangsaan.
“Oleh itu tidak ada keperluan untuk kerajaan mengiktiraf peperiksaan tersebut,” katanya di Tanjung Malim Perak.
Apakah kerajaan Madani bersedia memberi ruang lebih luas kepada UEC sehingga membelakangkan sistem pendidikan kebangsaan.
Sedangkan UEC dilihat kasus lumus yang mempalit kotoran pada sifat jati diri, identiti dan terma atau polisi kebangsaan sebagai indeks medan kaum yang berbahaya bagi pembinaan negara bangsa.
Justeru kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia wajar memikirkan dengan teliti dan cermat dengan mengambil kira rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan etnik.
Sehingga sekarang Malaysia dianggap negara tunggal di dunia yang membenarkan sekolah vernakular berasas kaum berada dalam lingkungan pendidikan kebangsaan.
Tiada negara berdaulat di dunia merilis pendidikan berdasarkan bangsa dan kaum menerima UEC sebagai ‘aliran kebangsaan’ sedangkan pengoperasional sebahagian menggunakan dana luar.
UEC diwujudkan oleh Dong Jiao Zong (Persatuan Guru dan Pengarah Sekolah Cina) sejak tahun 1975 dan digunakan di Sekolah Persendirian Cina di Malaysia.
Bagaimanapun bantuan kerajaan dihentikan kerana lembaga sekolah terbabit tidak mahu menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar seperti di sekolah-sekolah awam.
Silibus dari Taiwan
Silibus UEC berasal dari Taiwan dan dikelolakan oleh Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).
Begitu juga kurikulum yang diguna pakai di sekolah-sekolah persendirian Cina dianggap bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara.
Terdapat tiga tahap dalam sistem UEC iaitu Vokasional (UEC-V), Junior (UEC-JML/JUEC) dan Senior (UEC-SML/SUEC). Bahasa Cina (Mandarin) merupakan bahasa pengantar bagi kurikulum dan peperiksaan UEC-V dan UEC-JML.
Manakala Bahasa Cina atau Bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantar bagi mata pelajaran Matematik, Sains (Biologi, Kimia dan Fizik), Simpan Kira, Akaun dan Perdagangan.

Dr Zulkeflee menegaskan UEC tiada keperluan dalam pendidikan kebangsaan kerana kesannya sangat tidak adil kepada pelajar yang cekal dan tabah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan.
Malah pengiktirafan UEC akan mewujudkan elemen peperiksaan G.C.E.A Level yang menggambarkan kejayaan kumpulan cauvanis dan politik hipokrasi.
Sedangkan usaha itu bertentangan dengan Perkara 152 perlembagaan, di mana status bahasa kebangsaan dinafikan. Selain itu menyanggah Akta Bahasa, Penyata Razak, Penyata Rahman Talib dan Akta Pendidikan yang menjulang institusi pendidikan di negara ini.
“Desakan tersebut diumpamakan bentuk pendurhakaan kepada rakyat yang tekun dan lurus dalam sistem pendidikan nasional. Ini kerana UEC bukan lahir daripada sistem pendidikan negara.

“Begitu juga kurikulumnya bukan kurikulum kebangsaan,” ujar beliau.
