Budaya politik ugut makin menular

Oleh Salmah Mat Husain & Aslani M |
KEBELAKANGAN ini kerap muncul kenyataan ada parti yang mahu keluar daripada gabungan lama. Terbaharu DAP mengugut akan keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
Kata Timbalan Pengerusi DAP Ngah Kor Ming, jika perdana menteri tidak iktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), DAP akan keluar daripada kerajaan.
Sebelum itu MIC menangguh keputusan keluar daripada Barisan Nasional (BN). Begitu juga MCA menolak kemungkinan menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana gabungan itu turut dinaungi PAS.
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pula keluar PH menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. Pada PRN tersebut UPKO bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), namun hanya menang tiga kerusi.
Ketika PRN-16 Sabah, UPKO hanya menang satu kerusi Dun. Begitu juga Warisan tidak menyertai mana-mana gabungan pada PRN lepas, namun menang 25 kerusi PRN-17.
Langkah serupa diambil Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang mengumumkan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kira-kira sebulan sebelum PRN-17.
Namun, pada PRN terbabit STAR hanya memenangi dua kerusi iaitu Dun Tambunan disandang Datuk Dr Jeffrey Ketingan dan Datuk Mohd Ishak Ayub di Dun Bingkor.
Begitu juga Barisan Nasional (BN) tidak menyertai gabungan parti lain di Sabah. Malangnya kerusi BN susut daripada 14 pada PRN-16 kepada enam pada PRN lepas.

Hanya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak bertanding solo. GRS dianggotai enam parti iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Parti Maju Sabah (SAPP) turut mengambil langkah keluar daripada GRS menjelang PRN-17. Dalam konteks PRN Sabah langkah UPKO dan Warisan bertanding solo meraih hasil, namun tidak bagi STAR dan SAPP.
Rujuk semula
Bagaimanapun kerjasama antara parti berlaku lebih rancak selepas PRN Sabah. BN biarpun bermusuh dengan GRS sebelum ini, namun menyertai kerajaan GRS selepas PRN.
Langkah serupa diambil UPKO dengan menjalin semula kerjasama dengan GRS. Malah langkah sama diambil calon lima calon bebas yang menang pada PRN-17. Sebelum itu mereka juga bekas pemimpin GRS.
Tiga daripada lima calon Bebas merupakan bekas pemimpin GRS. Datuk Fairuz Renddam bekas Pemuda GRS mengekalkan kerusi Pintasan. Begitu juga Datuk Awang Ahmad Sah Sahari mempertahankan kerusi Petagas. Beliau bekas pemimpin GRS.
Seorang lagi bekas Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Rina Janal mengekalkan kerusi Kukusan dengan majoriti 650 undi dalam persaingan 10 penjuru.
Pada PRN-17 Sabah GRS memenangi 29 kerusi mendapat sokongan tiga Adun UPKO, BN (6), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1) dan lima calon Bebas.
Calon PN, Datuk Dr Aliakbar Gulasan dari PAS turut menyatakan sokongan kepada kerajaan GRS.
Bergerak solo

Presiden Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kecenderungan beberapa parti utama membuat ketetapan bergerak secara berasingan dianggap sebagai langkah sementara.
Katanya, landskap politik negara kini bergerak ke arah itu menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang. Namun, baginya pendekatan itu dilihat tidak lagi relevan dalam realiti politik semasa.
“Bukti itu jelas berlaku menjelang PRN-17 Sabah akhir November lepas. Pengalaman politik di Sabah menjadi bukti bahawa politik masa kini memerlukan taawun dan ta’ayush.
“Bukan lagi politik solo dan ego sempit. Politik solo dan ego sudah tiada tempat dalam realiti semasa,” katanya pada kenyataan.
Kecederungan tersebut jelas berlaku terhadap UPKO, MCA, MIC dan Umno yang dilaporkan tidak mahu lagi bersama PH.

Malah DAP turut memberi bayangan meninggalkan kerajaan PH sekirnya tuntutan mereka tidak dihiraukan perdana menteri.
Annuar menyifatkan langkah mahu bergerak solo hanya sebahagian strategi menyelamatkan diri ketika berdepan tekanan politik yang semakin memuncak.
Menurut beliau, langkah itu lebih bersifat sementara dengan perancangan untuk ‘regroup’ semula selepas pilihan raya bagi meneruskan agenda Madani dan kepimpinan PH.
“Bagi mana-mana pihak yang memilih untuk bergerak solo sebagai usaha menyelamatkan diri, itu adalah kebijaksanaan politik masing-masing,” katanya.
Namun, baginya era politik bersendirian sudah berakhir, sebaliknya landskap politik sekarang menuntut kerjasama dan kebersamaan merentas parti serta kaum.

Sehubungan itu beliau nekas terus menelusuri politik muafakat yang berteraskan kesepakatan Melayu dan peribumi sebagai asas utama.
Muafakat Melayu dan peribumi bukan bersifat eksklusif, sebaliknya menjadi asas kepada muafakat pelbagai kaum yang lebih besar, selaras dengan semangat perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Muafakat tersebut mesti dibina sebagai landasan kepada perpaduan nasional yang lebih menyeluruh,” ujarnya.
Payung besar
Muafakat rentas parti mulai diriuhkan semula dan kini berkembang secara organik ke arah pembentukan Gabungan Payung Besar (GPB).
Pada 4 Jun lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan jawatankuasa sekretariat orang Melayu sebagai ‘payung besar’ menghimpunkan orang Melayu.
Platform terbabit bertujuan menyelesaikan masalah orang Melayu serta mengembalikan penguasaan mereka dalam kerajaan.
Pertemuan awal payung besar turut disertai Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Berikutan pertemuan terbabit dibentuk Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu. Payung Besar diketuai Dr Mahathir turut mendapat sokongan 10 NGO di bawah Gerakan Kesejahteraan Umat Malaysia (GKUM).
NGO yang bergabung di bawah GKUM iaitu Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Haluan Malaysia (Haluan), Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) dan Pertubuhan Kumpulan Profesor G70 (G70).
Malah, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut menyatakan sokongan terhadap gerakan Payung Besar bagi menyatukan semua parti politik Melayu di bawah gabungan lebih besar menjelang PRU-16.
Ahli Dewan Tertingginya Azrol Mansor menyatakan sudah tiba masanya kepimpinan tertinggi parti politik Melayu mengetepikan rasa ego dan sombong demi memperkukuh perpaduan bangsa.
Ia bagi mengembalikan kekuatan politik orang Melayu yang dilihat semakin lemah akibat perpecahan dalaman.

Muafakat Nasional
Gerakan bagi menyatukan orang Melayu sebenarnya sudah bermula sejak 2018. Usaha itu digerak Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno dan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Kerjasama terbabit dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN). Ia merupakan sebuah gagasan kerjasama antara PAS dan Umno yang dicetuskan hasil daripada Piagam Muafakat Nasional.
Semangat MN begitu terserlah ketika berlangsung pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highland dan Tanjung Piai di Johor. BN menang besar pada PRK tersebut.
Bagaimanapun usaha untuk menyatukan tiga parti Melayu terbesar iaitu PAS, Umno dan Bersatu gagal apabila presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjalin kerjasama dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PH.
Ekoran kegagalan itu Annuar terus menggerakkan MN sebagai badan bukan kerajaan (NGO).
MN bergerak sebagai organisasi bebas bagi meneruskan usaha memupuk nilai-nilai murni ke arah perpaduan dan penyatuan yang kini dilihat semakin rapuh. MN diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 19 September 2019.

Jalinan rentas parti juga dapat dilihat apabila bekas-bekas pemimpin Pergerakan Pemuda Umno menganjur program santai silaturrahim ramah mesra ‘mantan pemuda’.
Annuar memberitahu menariknya mantan pemuda dahulu dari satu parti, namun sekarang menjadi pelbagai parti termasuk Umno, PAS, Pejuang, Bersatu dan lain-lain.
“Program bersifat bebas politik ini amat baik, terutama mengekalkan ukhuwah dan persahabatan serta pererat tali silaturrahim. Ramai kini dalam usia 60-an,” ujarnya.
Gelombang penyatuan ummah yang marak pada 2018 membawa kepada runtuh kerajaan PH versi 1.0 ekoran muncul Langkah Sheraton.
Dan hari ini gelombang serupa muncul semula. Banyak tindak tanduk Anwar dipertikai rakyat. Paling jelas isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada 26 Oktober lalu.
Banyak pihak menyifatkan perjanjian tersebut bersifat berat sebelah serta memihak kepada kuasa luar. Selain itu golongan songsang semakin berani muncul di negara ini. Kerajaan Madani dilihat lembik untuk bertindak.

