Cuit Oghe Kito

Pengaruh DAP makin menular kabinet Madani

Oleh M Faqih

SEJAK kerajaan Madani menguasai Putrajaya sudah dua kali perubahan kabinet berlaku. Kali pertama selepas kabinet dibentuk diadakan perubahan kabinet pada 12 Disember 2023. Dan semalam merupakan kali kedua.

Pada perubahan 2023, lima menteri baharu dilantik dan seorang menteri digugurkan daripada kabinet.

Perubahan membabitkan satu daripada portfolio Timbalan Perdana Menteri, jawatan Menteri Kewangan II, mewujudkan semula Kementerian Wilayah Persekutuan dan pemisahan dua kementerian.

Perubahan yang berlaku ketika itu berlalu begitu sahaja tanpa kritikan keras dari rakyat. Namun, kali ini jauh berbeza. Suara cemas dan bimbang kedengaran di segenap pelusuk.

Tengoklah di media sosial, suara rakyat diangkat dengan nyaring sekali.

Laman sosial Suara TV mempersoalkan apakah nasib Bumiputera bandar selepas ini. Apakah ia permulaan untuk pilihan raya kerajaan tempatan diadakan? Isu terbabit sudah lama diperjuangkan DAP. Dan sekarang ‘bulan sudah jatuh ke riba’.

“Kenapa dilantik seorang Timbalan Menteri Agama daripada personaliti yang penuh kontroversi dalam isu Zara Qairina,” tanya Suara TV.

Suara akar umbi khuatir amat sangat apabila Ahli Parlimen DAP Hannah Yeoh ditukar ke Kementerian Wilayah Persekutuan. Sebelum ini Hannah menerajui Kementerian Belia dan Sukan.

Lebih mendebarkan lagi seorang lagi bukan etnik Melayu dilantik di kementerian sama sebagai timbalan menteri.

Lo Su Fui (GRS) diberi kerusi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan. Kementerian terbabit dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan saling lengkap melengkapi.

Rakyat bimbang peneraju kementerian terbabit bukan dari etnik terbesar di tanah Melayu. Sedangkan pada suku ketiga 2025 jumlah penduduk Melayu membentuk 58.1 peratus daripada 34.3 juta populasi di Malaysia.

Pengaruh DAP

Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih tegas mengurus pengaruh DAP.

Kata beliau tanpa ketidakseimbangan politik ia boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat majoriti.

Beliau melihat perdana mengeri terlalu memberi muka kepada DAP, yang menjadi tulang belakang Pakatan Harapan (PH).

“Pengaruh besar DAP dalam kerajaan pasca-PRU15 menyebabkan wujud persepsi parti itu diberikan kelebihan yang tidak seimbang dalam pentadbiran.

“Dalam demokrasi pilihan raya yang bersifat ‘a game of numbers’, pengaruh DAP bukan perkara baru, tetapi cara kerajaan memberi ruang yang luas kepada mereka telah menimbulkan kebimbangan orang Melayu,” katanya.

Bekas pemimpin Umno Isham Abdul Jalil pula menyifatkan pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai ‘punching bag’ beban yang ditanggung Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebelum ini.

Ia berkait rapat perjanjian perdagangan timbal balas dengan Amerika Syarikat. Isham turut mempersoalkan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa digugur mungkinkah kerana tidak perform kes Kampung Sungai Baru?

Begitu juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar diketepikan mungkinkah ada kaitan kes spa lelaki diserbu pihak berkuasa baru-baru ini.

“Naim, kenapa Anwar drop kamu? Atau kamu memang tak perform? Tapi Anthony Loke yang tak perform masih jadi menteri dan kelmarin ugut konon DAP nak tarik diri,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Pemuda Umno Wilayah Persekutuan turut menyifatkan pelantikan Hannah Yeoh dan Datuk Lo Su Fui di Kementerian Wilayah Persekutuan menimbulkan kegusaran masyarakat Melayu.

Ketuanya Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi menganggap jawatan strategik itu sekarang didominasi hanya satu kaum.

Rekod baru

“Ini merupakan kali pertama semenjak Wilayah Persekutuan ditubuhkan, jawatan Menteri Wilayah Persekutuan disandang pemimpin DAP dan bukan Melayu.

“Kebimbangan utama berkenaan pelaksanaan agenda parti terutamanya pemilihan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar.

“Selain itu peranan Menteri Wilayah Persekutuan sebagai Ahli Lembaga Pengampunan yang menuntut keadilan mutlak,” ujarnya pada kenyataan.

Facebooker Lim Sian See membayangkan pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggantikan Tengku Zafrul membolehkan perdana menteri mengheret Umno masuk dalam kontroversi perjanjian ART.

Sedangkan sebelum ini Umno berdiam diri mengenai isu tersebut, namun sekarang setiap kali ART meletup pastinya pemimpin Umno akan memikul beban.

PAS turut memandang serius pemusatan kuasa secara melampau pentadbiran strategik bandar, kerajaan tempatan, perumahan dan pihak berkuasa tempatan di tangan pemimpin sebuah parti.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan Wilayah Persekutuan yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai mewakili jantung politik dan pentadbiran negara.

Lebih membimbangkan persepsi meluas pelantikan yang dibuat tidak berlandaskan merit atau keperluan dasar.

“Tetapi ia susulan tekanan dan tawar-menawar politik. Spekulasi berkait dengan kata dua politik oleh DAP termasuk ancaman parti itu untuk menarik diri daripada kerajaan sekiranya beberapa tuntutan termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina tidak dipenuhi.

“PAS beranggapan sekiranya jawatan kabinet digunakan sebagai ‘bunga emas’ politik untuk mengekalkan sokongan, maka jelas bahawa ia merupakan hakisan serius terhadap idea dan institusi kerajaan berprinsip,” katanya pada kenyataan.

Menurutnya pemusatan kuasa akan menimbulkan keresahan awam yang serius, terutama dengan kehadiran inisiatif undang-undang kontroversial seperti cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar (URA).

Kata beliau rombakan kabinet sepatutnya memulihkan keyakinan dan bukan menyuburkan keraguan.

Konsesi politik

“DAP diberi portfolio lebih ‘strategik’, manakala Umno kelihatan sekadar berpuas hati dengan posisi yang diberikan.

“Susunan tersebut menimbulkan persoalan sama ada kabinet dibentuk atas pertimbangan merit, atau demi mengekalkan ‘konsesi politik’ Kerajaan Madani yang kelihatan semakin rapuh,” tambahnya.

Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman bimbang kemungkinan ada agenda besar DAP di KPKT dan Kementerian Wilayah khususnya berkaitan isu pilihan raya PBT dan URA yang dibantah banyak pihak.

Bekas editor kanan, Yusri Yusof turut bimbang Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah penguasaan menteri dan timbalan menteri bukan Melayu membayangi proksi yang dikawal DAP.

Masihkah anda ingat resolusi Konvensyen DAP Kuala Lumpur pada 2 November 2019 membuat tuntutan untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika itu menyebut, “We promise that there will be a state government for Wilayah Persekutuan, especially Kuala Lumpur. 

“Kita akan balik kepada demokrasi, kita akan benarkan satu kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat memerintah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” ujarnya seperti dilapor media.

Mungkinkah apa yang berlaku sekarang mengulangi kebimbangan akhbar Majlis pada 13 Oktober 1945 yang menggambarkan rancangan Malayan Union dijangka disambut baik orang Cina dan India, tetapi tidak dapat mengukur perasaan orang Melayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *