Orang Melayu gali terusan di tengah Bangkok

HAMPIR di seluruh pelusuk tanah air boleh ditemui orang Kelantan yang merantau mencari rezeki. Di rancangan kemajuan tanah di bawah Felda boleh ditemui ramai orang Kelantan.
Begitu juga di Sabah dan Sarawak. Anak Kelantan merantau di segenap tempat sehingga mampu mengubah taraf kehidupan mereka.
Malah, di zaman awal kemerdekaan Tanah Melayu orang Kelantan berhijrah ke Kedah bekerja di sawah padi. Ketika itu mereka menggunakan laluan di Thailand kerana lebih dekat.
Dan lebih awal sebelum itu orang Kelantan, Kedah dan Terengganu membantu kerajaan Islam di Patani.
Pada tahun 1786 ketika berlangsung perang pertama di Bangkok, seramai 4,000 penduduk Patani dibawa ke Bangkok semasa pemerintahan Raja Rama 1.

Dan di era Raja Rama II pada tahun 1821 pejuang dari Patani dan Kedah dibawa ke Bangkok. Begitu juga pada perang kali ketiga ketika pemerintahan Raja Rama III (1838) orang Islam dari Patani, Kelantan dan Teregganu dibawa bagi mempertahankan Kota Bangkok.
Maka tidak hairanlah di Bangkok terdapat penempatan orang Kelantan yang dikenali sebagai Khlontam berusia lebih 100 tahun lalu.
Menurut bekas pengarang Utusan Melayu, Astora Jabat, orang Melayu merupakan antara etnik terawal menduduki Lembah Chao Phraya di Bangkok.
Kata beliau kebanyakan orang Melayu di Bangkok sekarang tidak memperjuangkan jati diri kebangsaan Melayu, sebaliknya mereka menonjolkan jati diri Islam universal.

“Mereka menggelar diri sebagai orang Thai berketurunan Melayu. Ia berbeza dengan orang Melayu Patani di tiga wilayah sempadan selatan yang memperjuangkan jati diri Melayu dan Islam.
“Orang Melayu Patani menganggap diri mereka orang Melayu di negara Thai atau orang Melayu Thai,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Melayu Bangkok
Selain orang Melayu dari Malaysia, terdapat juga orang Melayu Jawa, Melayu Makasar dan Melayu Campa menetap di Bangkok.
Malah terdapat sekolah agama yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Pelajar juga diajar kitab-kitab Melayu tulisan Jawi di sekolah agama di Bangkok.
Menurut catatan sejarah Bangkok berasal daripada perkataan ‘Belengkok’.
‘Belengkok’ dalam bahasa Melayu bermaksud bengkok. Bangkok pada peringkat awal merupakan sebuah kampung yang menjadi pusat perdagangan kerajaan Ayuthaya.
Penduduk Muslim di Bangkok dibahagikan kepada dua golongan iaitu orang Muslim yang tinggal di kawasan bahagian timur Bangkok.
Mereka berasal dari Patani, Kelantan, Kedah, Terengganu, Perlis dan Champa. Kumpulan terbabit tinggal di Bangkok ini sejak lebih 200 tahun lalu.

Golongan kedua, orang Muslim yang tinggal di Thonburi (Bangkok lama) merupakan kaum peribumi yang awal tinggal di situ.
Masyarakat Muslim di Bangkok makin bertambah ekoran penghijrahan penduduk Muslim dari Ayuthya dan kawasan-kawasan berhampiran.
Ada juga yang berasal Parsi, Patani, Jawa, Makasar, Turki, Arab dan India. Penghijrahan orang Muslim dari Ayuthaya ke Thonburi kira-kira 400 tahun lalu.
Kalantan

Bukti kewujudan orang Kelantan di Bangkok ada stesen kereta api elektrik yang diberi nama ‘Kalantan’.
Nama tersebut bermula sekitar abad ke-18 dan ke-19, ketika Siam berperang dengan Vietnam. Raja Siam ketika itu membina benteng pertahanan dengan menggali terusan (khlong).
Terusan digunakan untuk membawa bekalan makanan dan senjata dari Bangkok ke medan perang. Terusan utama digali di Khlong Saen Saep menghubungkan Sungai Chao Phraya dengan Bangpakong.
Salah satu cabang dikenali sebagai Khlong Kalantan. Nama berkenaan diberi kelompok pekerja Melayu dari selatan Siam iaitu Kesultanan Patani dan Kelantan.

Mereka membina rumah, masjid dan sekolah agama, di samping memperkenalkan bahasa dan budaya Islam di tengah-tengah Kota Bangkok.
Menurut Astora bagi mengenang asal-usul mereka kawasan berhampiran terusan itu dinamakan ‘Kalantan’ oleh kerajaan Siam.
Lama-kelamaan sebutan berubah menjadi Khlong Tan yang diabadikan di ‘Kalantan Station’. Di Kawasan berhampiran sekarang terdapat pusat membeli belah.
