Peluang rakyat tolak PH PRU-16

Oleh M Faqih
SEPANJANG pertemuan hampir setengah jam bersama Datuk Ustaz Hashim Jasin Ahad lepas berkali-kali beliau menyebut perkataan, praktikal parti menguasai kerajaan.
Malah pada kunjungan penulis awal tahun lepas Mursyidul Am terbabit memberitahu perkara serupa. Ditekan penting untuk setiap pemimpin mempraktikkan strategi parti menguasai kerajaan.
Bagaimanapun Prof Dr Riduan Tee Abdullah dari UniSZA menjelaskan politik penguasaan parti secara mutlak seperti sebelum 2018 sukar lagi berulang. Beliau memberi contoh Umno tidak mampu lagi menguasai kerajaan seperti sebelum 2018.
Dr Muhammad Husnu Abadi pada kajian tesis PhD pula menyifatkan kepimpinan autokrasi mendedahkan kerajaan mempunyai kuasa besar dalam menentukan ideologi dan pengerusi parti.
Isunya mengapa teori parti menguasai kerajaan begitu penting. Malah dasar parti yang membezakan era pentadbiran Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Madani.
Ini kerana dasar kerajaan digubal berdasar manifesto yang dibentang setiap parti ketika kempen pilihan raya berlangsung. Itu kerangka asas.
Lojiknya matlamat parti untuk mendapat, mengguna dan mempertahankan kuasa. Malah parti politik digerakkan berdasarkan ideologinya.
Dalam sejarah Islam pertelingkahan antara Muawiyah dan Saiyidina Ali dilihat sebagai konflik antara dua parti. Parti-parti politik muncul rancak di era moden berikutan perkembangan demokrasi dan kewujudan hak-hak mengundi yang semakin meluas.
Dr Syed Ahmad Hussein mentafsirkan perkataan parti politik sebagai memainkan peranan sebagai a common denominator. Parti berusaha mendapatkan kuasa dan cuba memperluaskan sokongan.
Pengalaman

Maka tidak hairanlah Ustaz Hashim menekan elemen tersebut. Beliau menimba pengalaman luas mengenai perkara itu.
Beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS Perlis pada tahun 1963 ketika usia 24 tahun. Pada 1971 menerajui Perlis sebagai Pesuruhjaya PAS.
Pernah juga berkhidmat sebagai Setiausaha Perhubungan PAS Perlis dan pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis. Selain itu Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan sejak 2016 sehingga sekarang sebagai Mursyidul Am PAS.
Malah pengalaman pernah dikutip di Sekolah Melayu Jelampuk, Sekolah Alawiyah, Arau dan Universiti Baghdad Iraq.
Ustaz Hashim juga merupakan mantan Adun Sanglang dan ahli parlimen Arau,. Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Arau 1998 beliau menang dengan majoriti 1,323 undi mengalahkan calon BN, Ismail Kassim.
Dan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ustaz Hashim menang Dun Sanglang dengan majoriti 45 undi, mengalahkan calon BN Datuk Mastika Junaidah Husin.

Dan pada PRU 2008 sekali lagi Ustaz Hashim memenangi Dun Sanglang. Berdasar pengalaman yang begitu panjang beliau amat memahami kepentingan konsep parti menguasai kerajaan.
“Apa yang diputuskan di muktamar hendaklah dilaksanakan di negeri yang diterajui PAS. Sebelum ini ketika jumpa dengan pemimpin PAS Kelantan saya tanya sejauh mana pelaksanaan dasar parti menguasai kerajaan.
“Mereka jawab perkara itu sudah lama dilaksanakan di Kelantan. Setiap perkara yang hendak dilaksanakan kerajaan dibincang dalam Dewan Harian PAS negeri terlebih dahulu.
“Melalui kaedah itu kita dapat memperkukuhkan kerajaan yang diterajui. Saya gembira apabila kerajaan empat negeri (SG4) melaksanakan apa yang diputuskan di muktamar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 8 3/4 Jalan Sanglang, Simpang Empat.
SG4

Ketika ditanya adakah beliau berpuas hati dengan pelaksanaan polisi parti menguasai kerajaan di SG4, katanya beliau berpuas hati kalau perkara itu benar-benar dilaksanakan.
Pada temubual itu bibirnya tidak pernah sunyi mengingatkan kepentingan polisi parti menguasai kerajaan bagi membolehkan perkara mungkar ditolak.
Semasa diaju soalan mengenai pelantikan pemimpin DAP sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, Ustaz Hashim memberitahu ia perlu dilihat secara positif.
Kata beliau apabila rakyat tidak berpuas hati dan marah ekoran penguasaan DAP yang semakin meluas dalam kerajaan Madani, mereka akan menolak PH pada PRU akan datang.
Situasi itu sudah dapat dilihat sekarang apabila gelombang menyertai PAS semakin besar dan terbaharu 4,600 ahli baharu diluluskan Pejabat Agung PAS dalam tempoh sebulan.
“Saya masih ingat sebelum ini pernah Pejabat Agung PAS meluluskan sehingga 18,000 permohonan keahlian baharu PAS dalam tempoh sebulan.
“Pihak pengurusan terpaksa mengambil kakitangan tambahan bagi memproses permohonan ahli baharu ketika itu,” ujarnya.
Banyak lagi perkongsian Ustaz Hashim pada pertemuan itu. Video temubual terbabit akan disiarkan aruslebir.com tidak lama lagi.

