Belia Melayu ramai hijrah ke Bangkok

Oleh Aslani M |
MUNGKINKAH bahasa Melayu di Bangkok akan berkembang semula ekoran penghijrahan ramai anak-anak muda dari selatan Thailand.
Perkembangan yang berlaku kebelakangan ini setidak-tidaknya dapat mempertahankan bahasa Melayu daripada pupus. Bahasa Melayu di Thailand hanya berlegar di wilayah selatan iaitu Narathiwat, Patani, Yala, Satun dan Songkhla.
Malah, di Songkhla pun sudah ramai orang Melayu yang tidak mampu bertutur bahasa ibunda mereka terutamanya generasi muda.
Sedangkan bahasa Melayu berada di tangga keenam berdasar jumlah penutur di dunia. Menurut laporan terdapat lebih 280 juta penutur bahasa Melayu di seluruh dunia.
Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam. Selain itu ditutur oleh sebahagian penduduk di selatan Filipina dan Sri Lanka. Bahasa Melayu muncul sebagai salah satu bahasa utama di Nusantara.
Bahasa itu kekal sebagai lingua franca di rantau Asia Tenggara. Perkembangan yang berlaku di Bangkok tersebut membolehkan komuniti Melayu Patani, Narathiwat, Kelantan dan Kempuchea kembali memartabatkan semula bahasa Melayu di Kota Bangkok.
Melayu Bangkok

Melayu Bangkok merujuk kepada komuniti etnik Melayu yang tinggal di ibu kota Thailand dan kawasan sekitar sejak beratus tahun lalu.
Kemunculan Melayu Bangkok ekoran penghijrahan dan pembuangan dari selatan Thailand ke wilayah Thon Buri, Bang Kho Laem dan komuniti Melayu lama di Ayutthaya.
Namun, berdasar kajian penggunaan bahasa Melayu semakin menurun di kalangan generasi muda disebabkan dasar asimilasi dan perkembangan budaya Thai.
Sejarah Melayu di kawasan Bangkok bermula seawal era Ayutthaya melalui perdagangan dan penghijrahan dari Langkasuka, Srivijaya dan Tambralinga.
Pembuangan penduduk dari selatan Thailand ke Bangkok turut meliputi orang Melayu Kedah, Kelantan, Patani dan Terengganu. Mereka dipindahkan ke Bangkok pada abad ke-18 dan ke-19.
Dialek bahasa Melayu Bangkok (Nayu) berasaskan Melayu Patani dengan pengaruh kuat Melayu Kedah di beberapa daerah termasuk Bang Kraso.
Komuniti Melayu di Bangkok sekarang tertumpu Thon Buri, Phra Pradaeng, Bang Kho Laem, Min Buri dan sekitar Ayutthaya.
Orang Melayu di selatan dikenali sebagai orang Melayu Patani atau orang Melayu Yawi, manakala mereka di Bangkok dipanggil Bangkok Melayu (Oghae Nayu Thai).

Komuniti Melayu dianggar berjumlah lebih 700,000 orang di kawasan dataran tengah Thailand khususnya Bangkok.
Mereka mulai mendiami daerah tersebut sejak zaman Ayuthaya sekitar abad 13 dan 14. Dan jumlahnya semakin meningkat pada zaman Rattanakosin abad ke-15 ekoran kesan dari peperangan antara Kerajaan Siam dengan kerajaan-kerajaan Melayu di selatan.
Sejak zaman Kerajaan Rattanakosin, raja yang memerintah menggunakan gelaran Rama. Rama memperkenalkan dasar asimilasi sehingga memberi kesan kepada komuniti Melayu di Bangkok.
Hijrah

Namun, penghijrahan anak-anak muda dari wilayah selatan bagi mencari pekerjaan di Bangkok menghidupkan pertuturan bahasa Melayu, yang sudah lama ditinggalkan generasi baru Melayu Bangkok.
Ketika lawatan rombongan Arkib PAS Kelantan baru-baru ini, ditemui ramai anak-anak muda yang bekerja di hotel milik orang Muslim di Bangkok.
Mereka lebih selesa bertutur bahasa Melayu semasa sendiri berbanding menggunakan bahasa Siam.
Malah, sebahagian besar pekerja di Regent Halal Hotel di 4 Ramkhamhaeng Soi Bangkok anak-anak muda Muslim dari selatan Thailand. Mereka bekerja sebagai penyambut tetamu, pengemas bilik, petugas café dan keselamatan.

Amin, 19 baru tujuh bulan bekerja di hotel terbabit berasal dari Narathiwat. Sebelum ini pernah bekerja di pusat membeli belah di Bangkok kemudian beralih kerjaya di hotel.
“Saya suka tinggal di Bangkok biarpun jauh dari kampung kerana di sini juga ramai orang Islam. Malah ramai anak-anak muda dari kampung saya bekerja di Bangkok,” katanya ketika ditemui.
Beliau bekerja sebagai penyambut di hotel berkenaan. Rakannya Imran dari Yala baru bekerja tiga bulan di situ.

Imran mengakui ramai belia dari selatan Thailand mencari rezeki di Bangkok sekarang kerana susah mendapat kerja di Yala selepas pandemik Covid.
“Senang hendak cari makan di sini berbanding di Yala atau Patani. Sebab itulah saya tengok trend penghijrahan belia-belia Melayu dari wilayah selatan ke Bangkok semakin meningkat sekarang,” ujarnya.
Ustaz Tarmizi lepasan Universiti Al Azhar, Mesir bekerja di bahagian keselamatan di Regent Halal Hotel. Beliau berasal dari Tuban, Patani sudah beberapa bulan bekerja di hotel berkenaan.

Beliau juga pernah belajar agama di pondok selama sembilan tahun sebelum melanjut pelajaran ke Al Azhar Mesir.
Kata beliau peluang pekerjaan agak sukar di wilayah selatan sekarang sehingga menyebabkan ramai anak-anak muda berhijrah ke Bangkok.
Ditanya mengapa tidak menggunakan peluang tinggal di Bangkok meneruskan kerja-kerja dakwah berdasarkan kebolehannya dalam bidang agama, kata beliau masjid di Bangkok tidak meriah dengan suasana ilmu.
“Orang Melayu dari selatan dan Melayu Bangkok tidak minat untuk mendalami ilmu agama. Mereka hanya bekerja siang dan malam.

“Sebab itulah masjid di sekitar Bangkok tidak banyak majlis ilmu selepas solat Maghrib sekarang. Cuma ada seminggu sekali ada program kuliah agama pada sebelah pagi,” ujarnya.
Bagaimanapun berdasar tinjauan beberapa masjid yang dikunjungi agak ramai jemaah datang menunaikan solat Subuh, Maghrib dan Isyak.
Antaranya Masjid Yayasan Pusat Islam Thailand, Masjid Jamiaul Islam Ramkhamhaeng dan Masjid Al Istiqamah Bang Mot.
Bagaimanapun solat Subuh di Masjid di Khlong Kalantan agak sunyi biarpun masjid tersergam indah di sebelah penempatan penduduk dan laluan utama.

