Serantau

Rakyat Kelantan hijrah ke Khlong Tan, Bangkok

Oleh Aslani M |

DI tengah kota raya Bangkok, Thailand terdapat terusan dinamakan sebagai Khlong Tan. Menurut catatan sejarah terusan tersebut digali oleh orang Melayu yang berasal dari Kelantan, Malaysia.

Mereka kemudian menetap di kawasan itu pada tahun 1800-an, semasa pemerintahan Rama III. Khlong Tan terletak di daerah Suan Luang, yang terkenal dengan terusan bersejarah iaitu anak sungai Khlong Saen Saep. Lokasi itu dinamakan sempena kehadiran orang Melayu dari Kelantan.

Sejarah tersebut menjadi sebutan ramai semula sekarang selepas kerajaan Siam membina stesen Laluan Kuning MRT Kalantan, yang terletak berhampiran Taman Thanya di Jalan Srinagarindra.

Stesen Kalantan merupakan Laluan Kuning MRT Bangkok, kini viral semula di media sosial selepas penemuan tersebar luas di media maya. Ramai kagum kerana nama Kelantan juga terdapat di Bangkok.

Seorang penduduk tempatan, Ali Srasema memberitahu berdasar maklumat sejarah, kawasan itu diteroka oleh orang Melayu yang berasal dari Kelantan.

“Kawasan ini merupakan bendang padi yang luas mata memandangkan. Orang Kelantan yang berhijrah ke sini terbabit kerja-kerja menggali parit.

“Ada di antara mereka bekas tawanan perang yang datang membantu kerajaan Patani Darussalam ketika berperang dengan kerajaan Siam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Penempatan terbabit pada peringkat awal dibuka hanya didiami orang Melayu dan paling ramai berasal dari Kelantan.

Menurut Ali, ketika penempatan terbabit dibuka Raja Siam memberi kebenaran orang Kelantan memiliki tanah seluas yang mereka mahu. Maka tidak hairanlah ramai orang Melayu mempunyai banyak harta.

Jual tanah

Hari ini situasi tersebut sudah jauh berubah. Ramai orang Melayu generasi keempat dan kelima menjual tanah padi kepada kaum lain kerana nilaiannya begitu mahal.

Jumlah kseluruhan penduduk di kawasan berkenaan dianggar seramai 100,000 orang, dan penduduk Melayu Islam hanya tinggal 30 peratus.

Ramai yang berpindah ke tempat lain selepas menjual tanah milik datuk moyang dengan harga mahal.

“Mereka kemudian membeli tanah di tempat lain di luar Kota Bangkok kerana harganya lebih murah sehingga mewujudkan penempatan orang Islam di kawasan terbabit,” ujarnya.

Sebahagian besar penduduk Melayu di situ mencari rezeki dengan berniaga, berkhidmat dengan kerajaan, syarikat swasta, guru sekolah dan sebagainya.

Seorang penduduk memiliki hotel bertaraf lima bintang iaitu Al Meroz Hotel Bangkok. Hotel dikategorikan sebagai halal dimiliki Abdul Razak.

Di kawasan itu terdapat sebuah masjid yang agak besar dibina kira-kira 100 tahun lalu. Masjid terbabit pada peringkat awal dibina daripada kayu. Dan di sekitar penempatan terbabit terdapat empat lagi masjid.

Imam Masjid Jamiul Al-Islam terletak di Phetchaburi Tat Mai Road, Suan Luang, Khalis Hasbullah, 55 lulusan PhD dari Mesir. Manakala ketua masyarakat Islam di situ Ali Miteran, yang merupakan ahli majlis tempatan.

Seorang guru agama Ustaz Ahmad Abdul Mutalib, 44 memberitahu laungan azan tidak lagi dibenarkan menggunakan pembesar suara di bahagian luar seperti dahulu kerana mendapat bantahan penduduk bukan Islam.

Sebelum azan dilaungkan melalui pembesar dalaman, ada petugas memukul beduk terlebih dahulu sebagai tanda masuk waktu solat.

Masjid terbabit mempunyai petugas sepenuh masa iaitu Ahmad Imum, 57. Seorang lagi ahli jawatankuasa masjid terbabit, Daud Mohamad, 41 bekerja sebagai pendawai elektrik.

Kelas pengajian agama diadakan di masjid berkenaan pada setiap hari Sabtu dan Rabu. Kira-kira 100 peserta hadir pada setiap kali kelas agama diadakan termasuk wanita dan golongan belia.

Malah masjid itu masih mempertahankan kitab jawi termasuk terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu Kelantan dan kitab karangan ulama Patani.

Masjid lama diganti binaan baru kira-kira 56 tahun lalu. Paling meriah pada Ramadan di mana diadakan program iftar, iktikaf dan solat tahajud.

Masjid ada apartment

Keistimewaan masjid tersebut kerana memiliki 80 unit apartment yang disewakan kepada orang Muslim bekerja di kawasan berkenaan.

Setiap unit bilik dikenakan kadar sewa 4,000 baht sebulan. Manakala di bahagian bawah apartment tersebut dijadikan rumah kedai.

Pendapatan daripada sewa apartment dimanfaatkan bagi mengurus masjid. Masjid dua tingkat tersebut dilengkapi dua ruang solat iaitu di tingkat atas dan bawah. Tingkat atas digunakan pada hari Jumaat.

Selain itu terdapat kelas tempat belajar dan ruang makan. Kedudukan masjid berkenaan di sebelah lebuh raya dan berhampiran terusan yang mengalir di Khlong Kalantan.

Ahmad juga berkata, ada penduduk di penempatan tersebut menghantar anak belajar agama di Patani bagi membolehkan anak mereka menguasai bahasa Melayu dan kitab jawi.

Selain itu ada juga menghantar anak mendalami ilmu agama di luar negara termasuk Mesir dan Arab Saudi.

Khlong Kalantan

Malah, penempatan terbabit juga terdapat sebuah sekolah rendah yang juga dinamakan Khlong Kalantan. Seramai 500 murid belajar di sekolah berkenaan yang bermula jam 7 pagi hingga 4 petang.

Kelas bermula peringkat pra yang melibatkan murid usia tiga hingga enam tahun. Selepas menamatkan pengajian di peringkat prapersekolahan, murid meneruskan pengajian di sekolah rendah bermula usia tujuh hingga 12 tahun.

Seorang petugas, Rokiah yang berasal dari Narathiwat memberitahu lima guru agama Islam mengajar di sekolah tersebut. Jumlah guru seramai 20 orang. Guru besar pula kaum Siam.  

Selain itu terdapat tukang masak yang juga orang Islam bagi menyediakan makanan kepada murid-murid. Ada juga murid perempuan daripada keluarga orang Melayu Bangkok yang tidak pakai tudung ketika datang ke sekolah.

“Berdasar pemerhatian saya murid Melayu yang tidak pakai tudung datang ke sekolah kerana ibu mereka juga tidak bertudung biarpun beragama Islam,” katanya.

Rakannya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan Irfan Deris berasal dari Patani memberitahu sepanjang berkhidmat di sekolah itu tidak pernah berlaku kes pencerobohan kawasan sekolah.

Katanya, beliau berhijrah dari kampung mencari rezeki di Kota Bangkok sejak tiga bulan lepas.

Menjelang tahun baru, sekolah tersebut turut mengadakan sambutan tahun baru yang turut dihadiri sami dan guru agama Islam. Mereka mengadakan sambutan mengikut adat agama masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *