Air mata mengalir di makam ulama

Oleh Intan Lestari |
PERJALANAN di bumi anbiya membuktikan dengan nyata Mesir bukan sekadar sebuah destinasi pelancongan, tetapi ia satu pengalaman pembelajaran yang hidup.
Ia menghubungkan masa lalu dengan masa kini, menyambung jejak para anbiya dan ulama dengan langkah diteruskan generasi hari ini bagi meneroka untuk mencari seribu makna.
Bagi kumpulan ziarah ilmuan yang bermusafir dari 1 hingga 8 Januari 2026, perjalanan ke Mesir menjadi sebuah pengembaraan yang membuka mata, melapangkan minda, dan menyentuh jiwa. Setiap langkah bukan hanya menggerakkan jasad, tetapi mengajak hati untuk berfikir dan merenung.
Permusafiran tersebut bukan sekadar menatap tapak-tapak sejarah atau berdiri di hadapan maqam para ulama. Sebaliknya ia perjalanan yang perlahan-lahan mengisi kekosongan ilmu melalui pertemuan dengan para alim.

Mereka menurunkan bukan sahaja pengetahuan, tetapi juga nasihat, adab, dan peringatan. Di bumi Mesir kami belajar ilmu tidak datang hanya daripada buku dan catatan, sebaliknya ia hadir melalui pertemuan dan kata-kata yang ikhlas.
Mesir mula berbicara kepada kami bukan sebagai sebuah negara, tetapi sebagai sebuah madrasah yang terbentang luas.
Cinta murabi
Lawatan ke maqam Al-Allamah Al-Muaddith, Fadhilatus Syeikh Muhammad Ibrahim ‘Abdul Baith Al-Kittani Al-Husaini, terasa seperti satu hentakan halus ke dasar jiwa.
Langkah kami terhenti, denyutan hati seakan terdiam, seolah-olah ruang dan waktu tunduk memberi laluan kepada satu saat yang terlalu jujur untuk disangkal.
Jiwa tersentak ketika menyaksikan mutawwif kami, Ustaz Mohd Khairul Abdan, tunduk di hadapan maqam gurunya, lalu air mata jatuh tanpa ditahan.
Bukan mudah bagi seorang lelaki menzahirkan sedunya. Dan air mata yang mengalir itu bukan tanda kelemahan, tetapi kesaksian sebuah hubungan yang dalam dan tulus.

Ia seumpama bahasa roh yang hanya difahami oleh mereka yang benar-benar mengenal makna berguru. Ikatan ilmu yang tidak terlerai, meskipun jasad telah berpisah dan masa terus berjalan.
Pada saat itu, kami faham bahawa ilmu bukan sekadar kata yang dihafal atau kitab yang diijazahkan. Ilmu adalah amanah yang berpindah dari hati ke hati. Ia hidup melalui adab, disuburkan oleh kesetiaan, dan dijaga dengan tawaduk yang tidak pernah pudar.
Begitulah wajah para pewaris ilmu. Setia tanpa syarat, merendah tanpa dibuat-buat, dan penuh kasih kepada murabbi yang menjadi wasilah sampainya mereka kepada cahaya kebenaran.
Di hadapan makam itu, kami tidak sekadar menziarahi seorang alim, tetapi menyaksikan sendiri bagaimana cinta kepada guru terus bernafas, sedangkan guru sudah lama kembali kepada Tuhan-Nya.
Getaran ilmu

Ziarah ilmuan kami diteruskan dengan langkah yang lebih tenang menuju Masjid Sultan Hasan. Di situlah kami menunaikan solat Jumaat. Ruang khusus untuk jemaah wanita disediakan dengan teratur, dan lautan manusia yang berhimpun jauh lebih ramai daripada kebiasaan yang kami lihat di tanah air.
Walaupun tidak semua antara kami memahami bait-bait khutbah yang disampaikan dalam bahasa Arab, kami tetap mendengar dengan penuh khusyuk, seolah-olah maknanya meresap jauh ke dalam hati.
Seusai solat, satu pertemuan yang bererti menanti kami. Ustaz Khairul Abdan menemukan kami dengan Syeikh Dr Khalid Imran, Amin Fatwa Darul Ifta’ Mesir, yang juga Imam dan Khatib Masjid Sultan Hasan.
Pertemuan itu sederhana pada zahirnya, namun sarat dengan getaran ilmu dan kewibawaan. Dalam majlis tersebut, kami mendengar bacaan Hadis daripada kitab Bulughul Maram, dibacakan oleh beberapa pelajar dari Malaysia dan Indonesia, serta oleh Ustaz Khairul Abdan sendiri.
Pada saat itu, terasa betapa kecil dan naifnya diri kami berada dalam lingkaran para penuntut ilmu yang tekun dan bersungguh-sungguh.

Kami kemudian mendengar taujihat beliau. Dengan suara yang tenang dan penuh keikhlasan, beliau mengalu-alukan kedatangan kami ke bumi Mesir. Pesannya jelas dan berterus terang: “ajarkan anak-anak dengan bahasa Arab, kerana itulah bahasa al-Quran. Bahasa yang bukan sekadar alat komunikasi, tetapi kunci kepada kefahaman wahyu.
“Walaupun kita berbilang kaum, bahasa Arab boleh menyatukan kita,” katanya, sebelum menyatakan rasa maaf kerana tidak mampu bertutur dalam bahasa Malaysia, suatu pengakuan yang menambah rasa rendah hati pada keperibadiannya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Masjid Sultan Hasan adalah masjid milik orang Mesir, dan sejak dahulu menjadi pusat perkembangan ilmu di negara terbabit.
Masjid ini, katanya, kembali benar-benar imarah selepas kehadiran Syeikh Dr Ali Jumuah yang naik ke mimbar dan menyampaikan khutbah. Dari situlah bermula satu kebangkitan, satu denyut baharu yang menghidupkan semula Masjid Sultan Hasan dengan cahaya ilmu dan kehadiran manusia yang dahagakan kebenaran.
Kami pulang dari masjid itu bukan sekadar membawa kenangan, tetapi membawa satu kesedaran. Bahawa ilmu hidup di tempat yang dimuliakan, dijaga oleh adab, dan disampaikan oleh mereka yang ikhlas mewariskannya dari generasi ke generasi.
Lawatan ke Faiyyoum

Faiyyoum mengingatkan kami kepada kisah Qarun, tentang kekayaan yang melalaikan dan kesombongan yang menutup mata hati. Di situ kami belajar bahawa harta dan kekuasaan, jika tidak ditundukkan dengan syukur dan ketaatan, boleh menjadi sebab kebinasaan.
Harta Qarun ditenggelamkan kerana keangkuhan dan lupa kepada Yang Memberi nikmat. Lawatan itu bukan sekadar melihat alam dan sejarah, tetapi satu muhasabah yang mendalam, agar hati memilih jalan yang benar, sebelum langkah dipanggil pulang.
Kubu Salahuddin Al-Ayyubi

Kubu pertahanan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi berdiri megah sebagai saksi keteguhan iman dan kebijaksanaan seorang pemimpin yang mempertahankan agama serta maruah umat. Dinding-dindingnya bukan sekadar binaan batu, tetapi lambang strategi, keberanian, dan keyakinan kepada pertolongan Allah.
Binaannya begitu kukuh. Di dalamnya juga tersergam indah sebuah masjid yang menjadi titik tumpu pandangan dan hati, Masjid Muhammad Ali dibina oleh Sultan Muhammad Ali Pasha.
Kehalusan seni binanya memancarkan keagungan Islam, seolah-olah menghubungkan warisan perjuangan Salahuddin dengan aspirasi kepimpinan pada zaman berikutnya.
Di ruang inilah sejarah berbicara dalam diam. Antara kubu pertahanan dan rumah ibadah, kami belajar bahawa kekuatan sebenar umat bukan hanya pada senjata dan benteng, tetapi pada iman yang teguh, kepimpinan yang adil, dan hubungan yang tidak pernah putus antara hamba dengan Tuhan.
Melihat kubu Sultan Salahudin Al Ayubi memperlihatkan bahawa, pembangunan moden yang mencakar langit ketika ini tidak mampu menandingi ukiran dan binaan yang terlihat usang, namun masih gagah dan tersergam indah.
Piramid

Lawatan ke Mesir terasa tidak lengkap tanpa berdiri di hadapan keutuhan tiga piramid agung Giza, monumen yang dibina kira-kira 4,500 tahun lalu, jauh melangkaui bayangan zaman dan kemampuan manusia pada era tersebut.
Setiap bongkah batu seberat kira-kira 15 tan, dibawa dari Aswan menyusuri Sungai Nil, sebelum disusun dengan ketelitian begitu mengagumkan. Jumlah keseluruhan berat binaan dianggarkan mencecah 203 juta tan, suatu angka yang sukar difahami, apatah lagi dibayangkan proses pembinaannya.
Piramid-piramid ini dibina dalam tempoh sekitar 20 tahun, melibatkan kira-kira 25,000 orang pekerja. Mereka bukan sekadar buruh paksa, tetapi terdiri daripada tenaga mahir dari pelbagai wilayah, yang bekerja dengan sistem, disiplin, dan kepakaran yang tersusun.
Di hadapan piramid-piramid terbabit kami belajar bahawa tamadun besar bukan hanya meninggalkan tinggalan batu, tetapi meninggalkan soalan untuk direnungkan.

Tentang ilmu, tentang usaha manusia, dan tentang bagaimana masa akhirnya menundukkan segalanya kecuali pelajaran yang mahu diambil oleh mereka yang mahu berfikir.
Sungai Nil
Menaiki Falukah, kami bersiar-siar perlahan-lahan di atas aliran Sungai Nil, membiarkan angin malam menyapa tubuh dan wajah kami. Angin sejuk menusuk ke dalam tubuh.
Aliran air yang tenang membawa kami menjauh seketika daripada hiruk-pikuk daratan, seolah-olah Sungai Nil sendiri sedang bercerita tentang usia dan kesabaran.
Saat malam menyapa, kami menikmati makan malam di atas alunan sungai yang sama. Hidangan yang sederhana terasa istimewa kerana suasananya. Di antara suapan dan perbualan yang tenang, terbit satu kesedaran bahawa kebahagiaan kadang-kadang hadir bukan pada kemewahan, tetapi pada kebersamaan dan ketenangan.

Tazkirah Ustaz Khairul Abdan di atas Falukah menyediakan ruang untuk terus menikmati keindahan ciptaan Tuhan sambil merenung perjalanan yang sarat dengan pelajaran. Cahaya senja yang memantul di permukaan air menambah rasa syukur yang sukar dilafazkan.
Di Sungai Nil, kami belajar satu lagi ibrah. Bahawa hidup, seperti alirannya, perlu ada saat bergerak dan saat berhenti. Dan dalam jeda itulah, hati diberi peluang untuk kembali mengingati tujuan perjalanan.
