Hubungan rapat Arab Saudi-Iran kurang ketegangan serantau

Oleh Salmah Mat Husain |
PENUBUHAN entiti politik baharu seperti Somaliland dianggap sebagai sebahagian strategi memecah-belahkan dunia Arab dan Islam demi kepentingan Zionis dan penjajahan Barat.
Ia juga bertujuan menghidupkan semula struktur kuasa lama di Yaman selatan. Perancangan itu berkait rapat dengan agenda perdamaian agama Abraham yang digerak secara halus bagi menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan langkah yang diketuai Arab Saudi menyerang pihak tertentu di wilayah selatan Yaman disifatkan sebagai tindakan strategik.
Kata beliau usaha itu berjaya menggagalkan peta baharu Zionis dan sekutunya bagi menggantikan peta lama Sykes-Picot.
“Langkah tersebut seumpama mencabut duri dalam badan yang jika dibiarkan akan membawa penyakit dan merosakkan keselamatan serantau serta dunia Islam.
“Sejarah membuktikan kuasa Barat sanggup mendukung ideologi yang mereka tentang sebelum ini termasuk komunisme, semata-mata demi kepentingan geopolitik, khususnya di laluan perdagangan strategik Bab al-Mandab di Laut Merah,” katanya pada kenyataan.

Baru-baru ini tentera gabungan pimpinan Arab Saudi menyerang wilayah asal pemimpin pemisah Yaman yang disokong Emiriah Arab Bersatu (UAE), selepas beliau dilapor gagal hadir untuk rundingan di Riyadh.
Aidaros Alzubidi diberi tempoh 48 jam datang ke Riyadh bagi perbincangan, selepas Majlis Peralihan Selatan (STC) yang diketuainya merampas sebahagian besar wilayah di Yaman bulan lepas.
Pakatan diketuai Arab Saudi dan tentera bersekutu Yaman berjaya menangguhkan kemaraan STC daripada menguasai wilayah di negara itu.
Somaliland

Somaliland merupakan wilayah kecil yang terletak di bahagian utara Somalia, berhampiran selatan Teluk Aden dan bersebelahan Selat Bab el-Mandeb. Wilayah itu bersempadan dengan Ethiopia di selatan dan barat, serta Djibouti di barat laut. Ia dipisahkan Teluk Aden dengan Yaman.
Somaliland merupakan sebahagian daripada Somalia, dipecahkan kepada enam wilayah pentadbiran. Ibu kotanya, Hargeisa mempunyai penduduk sekitar 1,2 juta orang.
Somaliland memiliki tiga bahasa rasmi iatu Somali, Arab, dan Inggeris, dengan Islam sebagai agama rasmi, di mana 99 peratus Muslim Sunni.

Israel merupakan menjadi negara pertama di dunia secara rasmi mengiktiraf Somaliland. Susulan itu kerajaan Somalia mengecam tindakan tersebut sebagai serangan terhadap kedaulatan negara berkenaan.
Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan tindakan Saudi dan sekutunya menghancurkan percubaan penjajahan itu wajar mendapat sokongan penuh negara-negara Islam dan Arab demi kestabilan rantau Asia Barat. Beliau turut mengingatkan agenda Abraham digunakan untuk memperdaya umat Islam.
“Hakikatnya umat Islam tetap menolak usaha tersebut kerana bertentangan dengan ajaran al-Quran dan akidah yang sebenar.
“Penjajah sentiasa menggunakan kejahilan agama, perbezaan bangsa, mazhab dan kabilah untuk mengadu domba umat Islam melalui peperangan proksi dan konflik dalaman,” katanya.

Presiden PAS terbabit turut menyifatkan pemulihan hubungan diplomatik antara Arab Saudi dan Iran sebagai langkah penting meredakan ketegangan serantau serta menyatukan umat Islam yang berbeza mazhab.
Kesatuan tersebut amat diperlukan bagi menghadapi perancangan Zionis yang mencetuskan konflik di Sudan, Yaman, Libya dan Syria, selain usaha membentuk peta baharu Asia Barat.
“Sejarah menunjukkan kejatuhan umat Islam berlaku apabila mereka meninggalkan pegangan Islam dan terperangkap dengan politik pecah dan perintah,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kebangkitan semula ummah berpaksikan ajaran Islam merupakan kunci kepada pemulihan kekuatan dan maruah umat.
