Parti bukan berasas ideologi bakal hanyut

Oleh M Faqih
DEMAM pilihan raya umum (PRU) ke-16 dikatakan semakin dekat sekarang. Malah, ada pihak membayangkan kehadiran 2026 sebagai tahun pilihan raya.
Dewan Rakyat bagi Parlimen Malaysia penggal ke-15 mula bersidang pada 19 Disember 2022. Ini bermakna tempoh penggal ke-15 akan berakhir November 2027, yakni genap lima tahun.
Dan tahun ini sudah melangkah tahun keempat usia kerajaan Madani. Namun isyarat dijelmakan pelbagai parti sejak tahun lepas menggambarkan PRU16 semakin hampir.
Antaranya MIC dan MCA acap kali membayangkan mahu mufarakah daripada Barisan Nasional (BN). Namun, keputusan muktamad kedua-dua parti masih lagi tergantung.

Kongres MIC tahun lepas memberi mandat kepada kepimpinan utama parti itu untuk membuat sebarang keputusan.
Terbaru Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan memberitahu keputusan muktamad sama ada MIC kekal dalam BN atau sebaliknya diserahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) parti itu.
Kata beliau MIC dijangka membuat keputusan muktamad sama ada keluar dari BN ataupun sebaliknya, seawal-awal pada Februari ini selepas perayaan Thaipusam.
MIC kelihatan lebih serius agenda mahu keluar BN berbanding MCA. Sehingga sekarang MCA tidak lebih sekadar mengugut Umno-BN.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini dilapor berkata, MCA tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan strategiknya bersama BN, sekiranya Umno terus cenderung menjalinkan kerjasama dengan DAP.
Isyarat lain juga dapat dikesan apabila Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Salleh seperti bimbang Umno sukar mendapat sokongan orang Melayu selagi taawun dengan DAP.
Isyarat
Baru-baru ini Dr Akmal memberi isyarat kemungkinan mengundur diri selepas segala usaha dan perjuangan politik sudah dilaksanakannya.
“Saya telah berusaha sedaya upaya dalam memperjuangkan suara akar umbi,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Begitu juga pergolakan dalaman yang melanda Bersatu. Pemecatan pemimpin yang dianggap pernah menabur jasa memberi gambaran kelompok tertentu akan disingkirkan daripada senarai calon PRU16.
Sedangkan individu yang dipecat daripada saf kepimpinan Bersatu bukan calang-calang orang. Mereka ada pengaruh dan pengalaman.
Isyarat yang muncul tersebut tidak dapat dinafikan 2026 dianggap sebagai tahun pilihan raya. Setiap parti seperti mengintai langkah baharu sebelum wisel PRU16 dibunyikan perdana menteri.
Perkembangan yang berlaku itu menyebabkan PAS juga berusaha memperkasakan semula strategi dengan pendekatan lebih lunak.
Situasi itu dapat dikesan apabila Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melontar semula pandangan berkaitan fiqh politik Islam.

Taawun
Menurutnya terdapat beberapa pendekatan perpaduan dan persaudaraan termasuk kerjasama dengan pelbagai pihak yang dinamakan tahaluf dan taawun.
Tahaluf bermaksud muafakat yang bersistematik dan bersyarat untuk mencapai tujuan jangka panjang, walaupun melibatkan pihak-pihak yang berbeza dan mempunyai kebebasan sendiri.
Manakala taawun bersifat kerjasama yang lebih umum. Taawun sifatnya tidak terikat dengan tempoh tertentu.

PAS pernah bertahaluf dengan Perikatan (Umno, MCA dan MIC) selepas 13 Mei 1969 hasil idea Tun Abdul Razak Husin. Tujuannya untuk menyatukan semula parti-parti bagi mengurangkan ketegangan kaum.
PAS juga bertahaluf dengan Semangat 46 menjelang PRU 1990. PAS juga bertahaluf bersama PKR dan DAP selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1997.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata, PAS taawun semula Umno dalam usaha pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 berkaitan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah.
Mengulas lanjut isu tersebut Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, tahaluf siyasi merupakan pakatan politik yang ada ikatan dan perjanjian lebih ketat. Katanya ia berbeza dengan taawun siyasi yang lebih longgar.
“Parti boleh bergerak sendiri masing-masing, tiada ikatan yang kuat,” katanya pada Podcast Sisi Pandang terbitan Institut Pemikiran Tok Guru Bentara Setia dihoskan pegawai penyelidik Mohd Fathi Yusof.

Menurutnya juga PAS tidak pernah mengkhianati perjanjian dengan pihak lain dan tidak lemah atau mundur dalam semua kerjasama politik sebelum ini.
Namun, tidak dinafikan ada segelintir pemimpin PAS yang gugur dalam perjalanan, berbanding lebih ramai kekal bersama PAS.
Beliau juga berkata, Perikatan Nasional (PN) kekal dengan konsep tahaluf siyasi, di samping boleh taawun siyasi dengan parti-parti lain.
“Tidak kira dengan sesiapa sahaja pun. Contohnya dengan MIC dan MCA kita boleh bincang,” ujar beliau.
Ditanya moderator kekuatan parti dalam PN, Mohd Amar menjelaskan PAS lebih tua kalau dibanding parti lain, malah jumlah kerusi parlimen PAS paling banyak. Selain itu PAS mempunyai organisasi yang kuat bermula di peringkat akar umbi.
Ulama

Biarpun PAS tiada pengalaman mentadbir negara, namun Kelantan membuktikan ulama mampu mengurus negeri. Arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak ada pengalaman mentadbir negeri, namun berjaya membuktikan kemampuan ulama mengurus.
Usaha itu kini diteruskan penggantinya yang juga golongan ulama. Datuk Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dan Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud meneruskan legasi ditinggalkan Tok Guru.
Mohd Amar turut yakin sekiranya PAS mampu menggarapkan idea bagi menyelesaikan isu ekonomi, kemasyarakatan dan politik dengan asas Islam ia akan berupaya menarik sokongan lebih ramai.
“Kalau kita boleh tonjolkan pendekatan berdasar acuan Islam, sudah tentu orang akan memberi kepercayaan lebih tinggi kepada PAS,” katanya.
Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan menjangka pada masa akan datang hanya akan berlaku pertembungan dua parti yang diwujud berdasarkan ideologi.
Di Malaysia sehingga sekarang hanya PAS dan DAP yang diwujudkan berasaskan kefahaman ideologi.
“Satu masa nanti di Malaysia akan bertembung ialah PAS dengan DAP. Parti-parti lain akan hilang. Kedua-dua parti terbabit mempunyai kekuatan ideologi.
“Ini kerana Umno, Bersatu atau PKR bukan parti yang ada asas ideologi. PKR misalnya ditubuh kerana hendak melantik Anwar sebagai perdana menteri.
“DAP ideologinya sosialisme, manakala PAS berasaskan Islam. Lagipun kita dapat tengok DAP ada perancangan bermula dengan Deklarasi Setapak,” tambahnya.

Bagaimanapun rakyat Malaysia mulai mempertikai DAP kerana gagal menunaikan janji yang pernah dilaung ketika kempen pilihan raya.
Bukti penolakan itu berlaku di Sabah pada pilihan raya negeri akhir tahun lepas, di mana DAP gagal mempertahankan semua kerusi Dun yang dimenangi pada PRN sebelum itu.
Perkembangan yang berlaku tersebut secara jelas menunjukkan penolakan masyarakat Cina terhadap DAP.
“Jadi sekarang PAS perlu membuktikan kekuatan. Perlu dijelaskan kepada rakyat apa yang hendak kita dibuat sekiranya diberi mandat untuk mentadbir Putrajaya.
“Kalau kita dapat sajikan kepada rakyat dan menyakinkan mereka sudah tentunya semua orang akan datang kepada PAS,” katanya.
