Serantau

Tapak lapangan terbang tanah milik orang Melayu

Oleh Aslani M |

SEBELUM wujud Lapangan Terbang Suvarnabhumi di timur Bangkok, Thailand kawasan terbabit merupakan sawah padi. Terletak di Nong Prue, Bang Phli District, Samut Prakan.

Daerah Bang Phli, Samut Prakan, merupakan kawasan pentadbiran utama termasuk sub-daerah Bang Kaeo, Bang Phli Yai, dan Racha Thewa.

Selain lapangan terbang, lokasi itu terdapat banyak kawasan perumahan, kilang, dan pusat membeli-belah Mega Bangna. Daerah itu bersempadan dengan Daerah Prawet, Chonburi dan Daerah Mueang Samut Prakan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang merupakan lapangan terbang tertua yang beroperasi di dunia, mula dibuka pada tahun 1914. Sebelum wujud lapangan terbang kawasan tersebut dimiliki penduduk Melayu Bangkok yang berhijrah dari selatan sejak beratus tahun lalu.

Seorang penduduk Syukur Mohamad, 66 mendakwa kawasan terbabit dimiliki penduduk Melayu sebelum dibangunkan sebagai lapangan terbang.

Katanya, kawasan tersebut sebelum ini dipenuhi hutan belantara dan terdapat banyak gajah yang berkeliaran.

“Orang Melayu yang berhijrah dari wilayah selatan termasuk Patani, Kelantan dan Kedah menanam padi di kawasan berkenaan. Jumlah penduduk Melayu lebih ramai tinggal di kawasan ini.

“Ketika itu Raja Siam mengupah orang Melayu menggali terusan bagi mengairi kawasan sawah. Bagaimanapun selepas beberapa generasi, ada penduduk yang menjual tanah dikurniakan raja kepada bangsa lain.

“Mereka menghadapi kesempitan hidup terutamanya untuk menghantar anak belajar di luar negara sehingga terpaksa menjual sebahagian tanah mereka kerana harganya begitu mahal,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Kata beliau ada juga penduduk Melayu menjual tanah di tempat itu dan membeli di lokasi lain dengan harga lebih murah.

Malah, ketika tinjauan rombongan Arkib PAS Kelantan sebuah kilang sedang dalam pembinaan di penempatan tersebut, yang dibeli daripada penduduk Melayu.

Tapak kilang ditambun tanah memandangkan kawasan itu sebelum ini merupakan bendang padi. Malah tidak jauh dari situ juga terdapat banyak bangunan kilang dan rumah kedai.

Masjid bersejarah

Pada lawatan itu kami juga berpeluang meninjau beberapa masjid di penempatan orang Melayu di daerah Bang Phli Samut Prakan. Antaranya Masjid Yamia Attakwa, Masjid Nurunyakeen dan Masjid Rahmatullah. Masjid Rahmatullah dikatakan berusia lebih 200 tahun.

Masjid itu masih dipertahankan struktur asal yang dibina daripada kayu jenis keras. Bagaimanapun di belakang masjid lama dibina bangunan baru bagi menampung pertambahan bilangan jemaah.

Ketika kami menjejaki kawasan masjid tersebut azan Maghrib berkumandang. Terdapat juga beberapa warga emas sedang menunggu imam bagi mendirikan solat Maghrib.

Kebanyakan penempatan orang Melayu di Bangkok dibina di sebelah terusan. Sebahagian besar penduduk di kawasan terbabit merupakan orang Melayu-Islam.

Masih boleh ditemui wanita Melayu bertudung, di mana suasana kampung seperti di wilayah selatan Thailand yang masih lagi mempertahankan budaya Melayu.

Turut ditemui penduduk Siam yang tinggal di penempatan tersebut. Bagaimanapun jumlah mereka tidak ramai.

Seorang penduduk Haji Abdul Wahab Abdullah, 72 terdapat hampir 70 anak muda di kampung terbabit yang melanjut pelajaran ke Timur Tengah dalam bidang agama. Ada yang belajar di Sudan, Arab Saudi, Mesir dan Yaman.

Majlis Islam Thailand

Katanya, ada dalam kalangan mereka yang pulang berkhidmat dengan Majlis Islam Pusat Thailand iaitu badan yang bertanggungjawab dalam urusan agama Islam di Thailand.

Badan itu ditubuhkan pada 17 Oktober 1997 diketuai Syeikhul Islam atau Chula Rajamontri. Majlis terbabit bertanggungjawab menguruskan jawatankuasa wilayah yang mempunyai penduduk Muslim.

Selain itu ada juga penduduk tempatan yang bekerja di The Central Islamic Council of Thailand (CICOT), yang bertanggungjawab untuk pengeluaran pensijilan halal.

Pusat tersebut terletak di Nongchok, Bangkok berperanan sebagai badan utama yang mengiktiraf dan mengawal produk halal, dan bekerjasama dengan organisasi antarabangsa. 

Antaranya Ustaz Ghazali Abdullah, 59 berkhidmat di Pusat Islam Thailand yang bertanggungjawab mengesahkan pengeluaran sijil halal bagi pengusaha makanan Muslim.

Beliau sebelum ini mendalami ilmu agama selama tujuh tahun di Mekah. Ghazali juga diberi tanggungjawab melatih imam-imam yang baru dilantik.

“Saya diberi tanggungjawab mengurus 32 masjid yang terdapat di sekitar kawasan ini. Setiap imam dibayar gaji sebanyak 1,500 baht sebulan oleh kerajaan.

“Kami juga mengajar budak-budak kampung bahasa Melayu dan bahasa Arab. Kelas fardu ain diadakan pada setiap pagi Ahad,” katanya ketika ditemui Masjid Nurunyakeen.

Masjid tersebut dibina baru melibatkan kos kira-kira 10 juta Baht dan siap 18 tahun lepas. Setiap malam Jumaat diadakan majlis bacaan Yaasin.

Beliau juga memberitahu sering menasihat anak-anak muda supaya mempelajari bahasa Melayu kerana ia bahasa ibunda nenek moyang. Turut dianjurkan program khusus bagi membolehkan golongan belia mendalami bahasa Melayu memandangkan tidak ramai generasi baharu boleh bertutur bahasa ibunda.

Di kawasan berdekatan masjid terbabit juga terdapat sebuah sekolah agama yang baru siap dibina diurus di bawah Muslim Sri Pathun Foundation.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *