Iran anggap Trump jelmaan Firaun

Oleh Dr Zulkeflee Yaacob |
MUNGKINKAH Amerika Syarikat (AS) mampu mengulangi kejayaan memporak peranda dunia Arab lagi selepas berjaya dalam misi di banyak negara sebelum ini.
Kini AS menghala ke arah Iran dengan impian mahu mengubah geopolitik Asia Barat. Bagaimanapun tidak mudah bagi Donald Trump mengulangi kejayaan lampau. Iran telah membuat keputusan hanya menanti AS untuk memetik picunya kerana rudal bersusun-susun atau melonggok di medan perang.
Bagi Iran tiada rundingan dan diplomasi kerana berundur bererti kehancuran dan berlawan ertinya bertaruh segala-galanya.
Iran diperintah Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Sayyid Ali Khamenei sejak 1989. Beliau bukan pemimpin eksekutif tetapi memiliki kuasa veto mengatasi keputusan presiden. Kecerdasannya tinggi dan dianggap seorang yang strategis dan licik dari kaca mata ejen perisikan AS (CIA).
Malah, Ayatollah seorang ahli politik dan pemidato ulung, ahli agama dan simbol keteguhan rakyat. Beliau merupakan pemimpin besar Revolusi Islam berupaya merubah politik dunia.
Dalam pidato di hadapan ribuan warga Iran sempena memperingati hari agung kelahiran baginda Nabi Muhammad SAW, 17 Januari lalu beliau menjelaskan fitnah yang melanda Republik Islam Iran dilakukan oleh ejen Amerika.
Beliau turut menyamakan Presiden Amerika Donald Trump dengan Firaun dan kematiannya sama seperti Firaun.

Hasut rakyat
Amerika merencana menawan Iran melalui fitnah dan hasutan agar rakyat Iran mengamuk dan keadaan huru-hara. Fitnah yang dicetuskan ejen AS sehingga kini gagal mengugat kekuatan Iran.
Donald Trump mengancam operasi bersenjata dan memberi arahan serangan militer terhadap Iran jika pasukan keamanan Iran membunuh demonstran.
Dalam kasus tidak keruan Iran membatasi organisasi berita internasional seperti BBC untuk beroperasi. Badan-badan penyiaran rasmi negara dikenakan tatakelola dan kawalan ketat.

Wartawan Iran dalam radar pemerintah terutama laporan mengkritik pemerintah dikenakan tindakan drastik. Akses internet terhad dan sebahagian besar platform media sosial utama dan media berita Barat dilarang.
Pemerintah menyekat total akses web dan internet kecuali starlink milik Elon Musk dengan tujuan mengesan ejen AS-Israel berkongsi infomasi. Dan selepas ratusan ejen CIA dan Mossad ditangkap, Iran menutup akses Starlink secara total.
Barat mempengaruhi rusuhan mega di Iran atas nama masalah ekonomi, tiada kebebasan bersuara, hak-hak perempuan terbatas, dan hak bagi minoritas dihalang.
Pendemo yang terlibat merupakan pemilik gedung atau pedagang kerana nilai mata rial merosot teruk dan inflasi melonjak hingga 40 peratus.

Pendemo bergabung dengan mahasiswa dari berbagai-bagai universiti dan keterlibatan Reza Pahlavi, iaitu putera Shah Iran yang digulingkan dalam revolusi lampau.
Pemerintah Iran bertindak keras terhadap peserta demo. Ekoran itu ratusan orang tewas dan ribuan orang dilapor ditangkap.
Washington juga menuduh Iran melakukan destabilisasi Timur Tengah, terutama melalui dukungannya terhadap kelompok-kelompok bersenjata, termasuk Hamas di Gaza, Hizbullah di Lebanon, dan Houthi di Yaman.
Manakala Iran menuduh AS ikut campur di rantau tersebut. Persengketaan AS dengan Iran makin meningkat kerana Iran membangun program nuklear.
Dalam situasi tidak keruan media Arab melaporkan bahawa pesawat angkut strategis C-17 Globemaster milik Angkatan Udara Amerika Syarikat telah tiba di Timur Tengah.
Sejumlah dron pengintip AS dan intelijennya dikesan berhampiran perbatasan Iran. Kapal Induk USS Abraham Lincoln (CVN-72) juga dilapor sedang bergerak menuju Teluk Persia.
Amaran Iran

Sebaliknya Iran memberi peringatan terakhir kepada AS melalui jalur diplomatik Arab Saudi. Teheran akan membalas serangan tanpa menunduk jika wilayah Iran diserang AS.
Malah, seluruh pangkalan militer AS di kawasan Timur Tengah serta semua fasilitas nuklear Israel akan menjadi target serangan balas.
Berikutan peringatan keras Iran, Trump dilapor menangguhkan serangan ketenteraan terhadap Iran pada 15 Januari lalu. Ditambah pula tekanan diplomatik daripada negara Teluk seperti Arab Saudi, Qatar, dan Oman yang melobi pentadbiran Trump untuk membatalkan niat menyerang Iran.
Mereka bimbang serangan tersebut akan mencetuskan ketidakstabilan ekonomi, mengganggu bekalan minyak melalui Selat Hormuz. Lebih dibimbangi akan memacu perang besar sehingga melumpuh ekonomi global.
Iran juga membuka semula ruang udaranya selepas penutupan selama lima jam pada 15 Januari lalu.

