Gelanggang Rakyat

Istana mulai bersuara

MINGGU lepas menyaksikan istana bersuara terhadap kebejatan yang berlaku di negara kita. Berdasar pengalaman lepas apabila istana bersuara, isu terbabit dianggap sudah mencapai di tahap kronik.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar menegur pihak yang tidak mahu mendaulatkan bahasa Melayu.

“Kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Malaysia Kelima Belas Isnin lepas.

Nada serupa juga disuarakan Sultan Selangor. Sultan Sharafuddin Idris Shah murka terhadap perancangan kerajaan negeri membenarkan penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Baginda tidak bersetuju penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

“Namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya orang Melayu Islam,” titah baginda pada kenyataan.

Apakah langkah kerajaan Selangor membenarkan penternakan babi berskala besar hanya untuk memenuhi kehendak 22.4 peratus kaum Cina daripada 35 juta penduduk majoriti Islam (63.5 peratus).

Pemerhati politik tempatan Dr Zulkeflee Yaacob menyifatkan apa yang berlaku itu kerana orang Melayu dipisahkan dengan warna politik sehingga kekuatan mereka dipecah-pecahkan.

Apartheid

Lihat apa yang dibangkitkan seorang wartawan portal, Rex Tan yang bertanya soalan polisi apartheid Israel yang cuba disamakan dengan cara orang Melayu melayan kaum Cina di Malaysia.

Isu tersebut tiba-tiba muncul pada program ceramah awam ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ di Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu yang menampilkan ahli politik veteran British, George Galloway.

“Motif soalan wartawan terbabit mahu menguji penyatuan orang Melayu. Tanpa sedar ia mengundang sentimen dan amarah orang Melayu apabila perkataan genosid yang berlaku di Gaza dianggap turut dilakukan orang Melayu terhadap orang Cina di Malaysia,” katanya pada kenyataan.  

Sedangkan semua orang tahu kaum Cina menduduki carta orang terkaya di Malaysia. Mereka tidak pernah dihalau meskipun tidak boleh berbahasa Melayu.

Jauh sekali Melayu mahu merampas hak orang Cina di Malaysia, biarpun ada kes mereka menanam durian di tanah milik kerajaan sejak berpuluh tahun tanpa sebarang kelulusan. Tengok apa yang berlaku di Raub, Pahang.  

Pekebun terbabit berani melawan pihak berkuasa yang mengambil semula tanah milik kerajaan diteroka mereka secara haram.

“Genosid jenis apa yang cuba digambarkan wartawan terbabit sedangkan kaum Cina menguasai 70 peratus ekonomi negara.

“Kerajaan juga membenarkan sekolah vernakular Cina dan bahasa Mandarin diajar di sekolah di bawah kendalian mereka. Hakikatnya mereka tidak bersyukur, malah tamak.

“Sesuai dengan peribahasa lama ‘beri betis nak paha’ dan ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’,” ujarnya yang juga seorang pensyarah universiti awam.

Taliban

Rakyat negara ini juga masih ingat seorang pemimpin DAP pernah menyebut Malaysia akan jadi Taliban sekiranya kerjasama Umno dan PAS menjadi kenyataan. Apakah kesudahan kes tersebut.  

Sedangkan orang Melayu yang menyebut tentang bangsa lain, terus dikenakan tindakan. Masihkah anda ingat kes penyampai radio bernama Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmi, yang didakwa mempersendakan ritual kavadi semasa perayaan Thaipusam.

Individu terbabit terpaksa memohon maaf di kuil Hindu di Batu Caves pada Mac 2025 atas video yang menyinggung sensitiviti kaum India dan agama Hindu. Mereka juga digantung tugas sementara.

Seorang lagi pemimpin DAP menyatakan Melayu kaum pendatang, kemudian menafikannya dan meminta maaf selepas orang Melayu membantah.

Begitu juga kenyataan bekas seorang menteri yang memfitnah kononnya orang India di Malaysia dipaksa memeluk Islam. Kes terbabit berlalu begitu sahaja selepas didesak memohon maaf.

Mengapa persendaan terhadap orang Melayu, Islam dan raja-raja Melayu terus berlaku. Tidak lain lagi kerana orang Melayu lemah.

Hak bersuara orang Melayu tersekat bukan kerana halangan akta tetapi verba massa. Orang Melayu bersikap pasif dan membantai sama sendiri kerana warna politik kepartian berbeza.

Melayu perlu menghadam semula sejarah tentang bangsa mereka yang kuat dan handal sehingga mampu membuat meriam dan kapal besar. Sedangkan ketika itu bangsa lain masih lagi merayap-rayap mencari erti tamadun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *