Khabar SG4

Agih peruntukan berdasar sentimen politik

Oleh A Rahman Harun |

PEMBANGKANG menyifatkan kerajaan sekarang mengagih peruntukan bergantung sepenuhnya kepada sentimen politik dan bukan berdasar keperluan sebenar rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Alias Razak memberitahu sehingga sekarang masih wujud ketidakadilan yang ketara terutamanya keseimbangan pembangunan antara negeri di Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan.

“Contohnya Lebuh Raya Pantai Timur Tiga (LPT3), projek ini diumumkan pada 2006, namun selepas dua dekad selepas kajian awal siap pada 2022, namun rakyat Kelantan dan Terengganu hampa dengan tindakan kerajaan.

“LPT3 juga tidak disenaraikan dalam RMK13 mahupun Belanjawan 2026, apa yang mengecewakan kami sikap double standard semakin nyata,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.

Kajian projek LPT3 sejauh 150 km dari Gemuroh, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Tumpat telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada September 2022.

Kos kerja awalan RM35 juta diluluskan kerajaan Pusat dijangka dilaksanakan melalui kaedah penswastaan (Request for Proposal) secara tender terbuka.

Kos asal RM2.8 bilion kini meningkat kepada RM9.8 bilion akibat penangguhan. LPT3 merupakan infrastruktur penting bagi membuka akses ekonomi dan menyatukan jaringan lebuh raya dari Kuala Lumpur ke sempadan Thailand.

Oleh itu Dr Alias mahu kerajaan menilai semula kerjasama antara negeri dan Persekutuan memandangkan perkara itu ditekankan dalam titah Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar ketika merasmikan persidangan Dewan Rakyat minggu lepas.

Namun, kata beliau berbeza dengan projek LRT Laluan Mutiara melibatkan pembinaan jalan sepanjang 29.5 kilometer, mendapat keistimewaan kerana dibiayai sepenuhnya kerajaan Pusat.

“Setelah hampir 20 tahun menanti, namun kerajaan memaklumkan sedang mencari syarikat swasta melalui proses Request for Proposal bagi membiayai projek di Pantai Timur.

“Sejak RMK9 ini sahaja jawapan kerajaan persekutuan kepada 3.14 juta rakyat Terengganu dan Kelantan. Adakah nasib jutaan rakyat negeri terbabit hanya layak diserah kepada bebanan tol swasta nanti.

“Bandingkan LRT laluan mutiara yang kini dilaporkan melonjak nilainya sehingga RM17.3 bilion, projek ini mendapat keistimewaan untuk dibiayai sepenuhnya kerajaan Pusat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *