Khabar SG4

300 penduduk dapat lesen dulang emas

Oleh Salmah Mat Husain |

BERITA pendulang emas mati tertimbus sebelum ini acap kali kedengaran. Pada 20 Disember 2014 media melaporkan seorang remaja berusia 17 tahun yang melombong emas secara haram bersama penduduk berakhir dengan tragedi akibat ditimbus tanah runtuh.

Kejadian berlaku di Ulu Luit, Sri Jaya, Maran Pahang. Remaja terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat sesak nafas.

Pada tahun lepas media turut melaporkan seramai 13 individu ditahan berkaitan enam kes perlombongan emas haram di Kelantan dan Pahang antara 2023 hingga 2025.

Empat daripadanya direkodkan di Kelantan dengan dua kes lagi di Pahang. Kes di Kelantan membabitkan penahanan 12 individu, manakala di Pahang seorang ditahan.

Berdasar laporan di Kelantan kes membabitkan Hutan Simpan Batu Papan, Hutan Simpan Berangkat, Hutan Simpan Ulu Temiang dan Hutan Simpan Hulu Galas.

Di Kelantan terdapat lebih 50 lokasi dikenal pasti mempunyai potensi emas yang masih belum diteroka sepenuhnya. Negeri itu antara yang memiliki simpanan emas terbesar yang belum digali di Malaysia.

Antaranya Gua Musang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai dikenal pasti lokasi yang mempunyai banyak kandungan emas berbanding negeri lain.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Geosains Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Mohd Syakir Sulaiman, Kelantan masih mempunyai banyak kawasan yang belum disentuh.

Malah, menurut penduduk di Gua Musang ada pihak mendulang emas di anak-anak sungai di beberapa lokasi di pedalaman selepas berlaku hujan.

“Ada penduduk tempatan pergi mendulang secara tradisional selepas hujan turun kerana mereka percaya mudah ditemui ketulan-ketulan kecil seperti emas,” katanya di sini.

Maka mengambil kira minat tinggi rakyat Kelantan mahu mendulang emas sebagai punca rezeki, kerajaan negeri memutuskan membuka peluang mereka mendulang secara sah.

Lesen

Sehingga sekarang lebih 300 permohonan lesen diluluskan daripada kira-kira 350 permohonan direkodkan dalam tempoh dua minggu lalu.

Pengenalan lesen mendulang emas bukan bertujuan memberi kebebasan mutlak kepada pemegang lesen, sebaliknya sebagai mekanisme kawalan. Ia bagi memastikan aktiviti tersebut dijalankan secara teratur, mematuhi peraturan serta tidak menjejaskan alam sekitar.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan memberitahu lesen yang dilulus tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan.

Kata beliau kerajaan negeri memberi peluang kepada rakyat yang tidak berkemampuan untuk menjalankan aktiviti ekonomi secara sah dan terkawal.

“Apabila lesen dikeluarkan, ia bermaksud satu pengiktirafan terhadap kesanggupan pemohon untuk mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan.

“Ia bukan lesen untuk buat apa sahaja. Bukan bermaksud bila ada lesen, seseorang boleh melanggar peraturan. Lesen itu diberi atas komitmen untuk patuh,” katanya selepas mesyuarat Exco di Mabna Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Lesen mendulang emas boleh diumpamakan seperti lesen memandu yang hanya diberikan selepas pemohon memahami peraturan dan memberi komitmen untuk mematuhinya.

Kata beliau kerajaan negeri perlu mengimbangi antara pemberian peluang kepada rakyat dan tanggungjawab menjaga sungai, alam sekitar serta aspek keselamatan.

Kawasan mendulang emas yang digazetkan merupakan tanah kerajaan dan pemegang lesen berhak menjalankan aktiviti di lokasi yang dibenarkan. Bagaimanapun pencerobohan ke atas tanah persendirian tidak dibenarkan.

“Jika tanah kerajaan, sesiapa pun boleh lalu, namun jika masuk ke tanah persendirian, itu dikira menceroboh,” katanya.

Lesen tidak dikeluarkan dalam bentuk seperti geran tanah kerana ia melibatkan radius kawasan sehingga dua kilometer serta mengandungi pelbagai syarat teknikal, termasuk kawasan operasi, had aktiviti dan peraturan khusus.

Selain itu kelulusan lesen melibatkan pelbagai agensi termasuk Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran serta penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Antara syarat ditetapkan termasuk had kedalaman gali, kewajipan zon penampan di kiri dan kanan sungai serta pematuhan kepada enakmen dan akta berkaitan bagi mengelakkan pencemaran dan kerosakan tebing sungai.

“Ini masih peringkat permulaan. Kerajaan negeri akan terus memantau pelaksanaan dan menambah baik dasar ini dari semasa ke semasa,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *