Gelanggang Rakyat

Longgokan konsert hiburan di era madani

Oleh Salmah Mat Husain & Aslani M |

DI era kerajaan Madani pelbagai keunikan yang jarang berlaku sebelum ini muncul, terutamanya dalam segmen kerajaan untuk menarik pelancong asing.

Apakah keunikan itu dianggap sebagai jalur pemikiran luar kotak (thinking outside the box ) , cuba memperlihatkan pendekatan kreatif yang berbeza daripada kebiasaan.

Ia juga cuba digambarkan sebagai tidak terikat dengan peraturan tradisional atau norma, serta fokus kepada inovatif baharu.

Maka tidak peliklah apabila muncul hidangan sup babi, bak kut teh diiktiraf secara rasmi sebagai sebahagian daripada Warisan Negara. Hidangan tersebut antara 10 makanan yang diisytiharkan sebagai Warisan Negara oleh Pesuruhjaya Warisan pada 2024.

Makanan terbabit dikatakan berasal dari Klang. Pengumuman mengenai perkara itu disiarkan dalam Warta Kerajaan. Turut disenaraikan makanan dari Johor iaitu burasak, mi kolok dan nasi ambeng.

Hidang arak

Atas nama pelancongan juga dianjurkan ‘Gala Night Dinner & Launch Ceremony Global Travel Meet 2025’ di Sunway Resort Hotel, Selangor. Program itu dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing.

Apa yang unik program berkenaan dilapor ada jamuan arak. Seorang pendakwah Firdaus Wong Wai Hung mendakwa MOTAC melanggar pekeliling kerajaan kerana membenarkan minuman beralkohol dihidangkan dalam majlis rasmi.

Sedangkan peraturan kerajaan melarang penyajian arak dalam acara rasmi kerajaan. Selepas isu tersebut geger menteri menjelaskan majlis tersebut bukan di bawah penganjuran kerajaan, sebaliknya dianjur pihak industri dan swasta.

Kata beliau penglibatan MOTAC hanya dari segi penyelarasan persembahan budaya serta pelancaran kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Turut menerima jemputan program berkenaan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, di mana surat jemputan dikeluarkan Tourism Malaysia. Penjelasan Khairy tersebut seperti menyanggah kenyataan menteri MOTAC.

“Kalau menteri langgar peraturan tidak dihukum, kenapa penjawat awam dan rakyat yang langgar peraturan pula dihukum,” kata netizen.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut menyifatkan dasar promosi pelancongan dianggap mengabaikan nilai tempatan. Malah di era madani konsert dan festival hiburan semakin menjadi-jadi.

Pada 2023 dijadual diadakan Konsert Viral Lagu Lagu TikTok Malaysia Indonesia di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang 30 September, namun mendapat bantahan penduduk. Ekoran itu konsert terbabit dipindahkan ke Stadium Batu Kawan.

Malah pada 2023 juga diundang kumpulan muzik dari United Kingdom, Coldplay. Coldplay mengadakan konsert di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 November 2023. Tiket konsert konsert itu dilapor habis terjual dalam tempoh tiga jam.

Biarpun konsert tersebut turut dibantah orang ramai dan Jakim, namun ia tetap diadakan.

Water Musical

Dan pada 1 Mei 2026 sudah diuar-uarkan penganjuran Water Musical Festival di Bukit Bintang sempena sambutan Hari Pekerja Pelancongan dan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Pesta hiburan terbabit dijadual berlangsung selama tiga hari dengan menampilkan persembahan muzik bertemakan air dan suasana festival di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Berikutan itu Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda PAS Malaysia, Mohamed Sukri Omar mahu festival air dan hiburan jalanan berskala besar dinilai dengan lebih teliti dari sudut nilai, adab, sensitiviti budaya tempatan serta keharmonian sosial.

Beliau menegaskan penganjuran program seumpama itu di kawasan sesak mendedahkan risiko keselamatan, kesihatan awam dan penguatkuasaan, termasuk kesesakan melampau, kecederaan, vandalisme, pencemaran serta potensi gangguan moral.

“Bukit Bintang merupakan pusat perniagaan dan pergerakan awam yang kritikal digunakan setiap hari ribuan pekerja, peniaga, penduduk dan pengguna pengangkutan awam.

“Penutupan jalan selama tiga hari di kawasan ini akan memberi impak besar kepada mobiliti bandar, operasi perniagaan kecil, keselamatan awam serta keselesaan orang ramai,” katanya pada kenyataan baru-baru ini.

Menurutnya pelancongan tidak seharusnya dilihat hanya melalui lensa hiburan, sebaliknya mesti berpaksikan kelestarian, kesejahteraan masyarakat dan jati diri negara.

Sehubungan itu beliau menggesa Kementerian Pelancongan, Kerajaan Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menilai semula penganjuran Water Musical Festival di Bukit Bintang.

Beliau turut mencadangkan sesi libat urus diadakan bersama penduduk, peniaga dan pihak berkepentingan, selain mengutamakan acara pelancongan berunsur budaya, keluarga dan komuniti.

Warisan

“Kekuatan utama Malaysia di mata pelancong asing bukan terletak pada pesta jalanan atau hiburan bebas, tetapi pada budaya, adab, warisan dan identiti ketimuran.

“Banyak negara seperti Jepun, Korea Selatan, Maghribi dan Turkiye berjaya menarik pelancong dunia dengan mempertahankan nilai, tradisi dan identiti masing-masing tanpa mengorbankan jati diri,” katanya.

Beliau menegaskan mempertahankan budaya dan identiti ketimuran bukan penghalang kemajuan, sebaliknya asas kepada pelancongan yang bermaruah, lestari dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Sedangkan Malaysia Madani digambarkan sebagai sebuah negara yang memiliki kemajuan seimbang dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan berteraskan nilai murni.

Apakah longgokan konsert hiburan di era kerajaan madani boleh dianggap sebagai mengasuh nilai murni?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *