Jangan bercakap di luar mesyuarat – Takiyuddin

Oleh Salmah Mat Husain |
PERIKATAN Nasional (PN) dianggotai empat parti iaitu Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti India Makkal Sakti (MIPP). Dan presiden bagi setiap parti anggota secara automatik menjadi ahli Majlis Presiden PN.
Bagaimanapun kehadiran presiden parti tidak diwajibkan dalam setiap mesyuarat atau urusan PN kecuali melibatkan badan tertinggi gabungan itu iaitu Majlis Presiden PN.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan kedudukan seseorang sebagai presiden parti tidak menjadi syarat wajib untuk memegang jawatan tertentu dalam struktur kepimpinan PN. Sebaliknya ia berlaku berdasarkan keadaan dan jawatan yang disandang.
“Bukan semestinya seseorang itu perlu menjadi presiden untuk berada dalam jawatan tertentu. Jika seseorang itu kebetulan presiden, maka itu hanyalah kebetulan dan bukan syarat yang diwajibkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika melawat tapak kebakaran gudang di Jalan Kebun Sultan di Kota Bharu semalam.
Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan pada 29 Januari lepas dibatal, sebaliknya ketua parti komponen gabungan mengadakan pertemuan di kediaman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pertemuan ketua-ketua parti itu disifatkan sebagai mesyuarat awal bagi menentukan hala tuju sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang.
Ia juga dikatakan untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN yang berkuatkuasa 1 Januari lepas, serta melantik pengerusi baharu.
Berdasar notis bertarikh 23 Januari 2026 yang dikeluarkan Timbalan Setiausaha Agung PN, mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan berlangsung pada jam 8.30 malam di ibu pejabat Parti Gerakan di Cheras.
Badan baharu

Bagaimanapun pada 28 Januari lepas media melaporkan Muhyiddin mencadangkan jawatan Pengerusi PN dimansuh dan kepemimpinan gabungan terbabit disusun semula.
Cadangan itu diutarakan dalam surat yang dihantar kepada pemimpin PAS, Gerakan dan MIPP. Presiden Bersatu terbabit juga mahu PN distruktur semula melalui penubuhan dua badan baharu.
Jawatan terbabit iaitu Majlis Presiden yang disebut diterajui Bersatu dan Majlis Eksekutif pula dipengerusikan PAS.
Menurut laporan, Majlis Presiden akan berfungsi sebagai badan pembuat keputusan tertinggi termasuk menetapkan dasar, manakala Majlis Eksekutif mengurus pentadbiran harian selaras dengan keputusan yang dibuat.
Cadangan itu disifatkan pelbagai pihak bagi memansuhkan jawatan pengerusi PN, sedangkan PAS sebelum ini dicadang dilantik sebagai pengerusi baharu.
Berdasar perlembagaan PN, jawatan pengerusi disandang salah seorang presiden parti anggota, manakala presiden parti anggota lain akan mengisi jawatan timbalan pengerusi.

Selain itu Timbalan Presiden Bersatu turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN. Susunan tersebut selaras dengan peruntukan perlembagaan serta amalan organisasi PN.
“Semua ini bergerak berdasarkan struktur yang telah dipersetujui dalam PN. Tidak timbul isu pelanggaran peraturan kerana ia beroperasi dalam kerangka perlembagaan sedia ada,” kata Takiyuddin.
Beliau juga memberitahu isu berkaitan kepimpinan dan pengurusan PN sekadar ‘ribut dalam secawan kopi’ dan boleh diselesaikan secara teratur mengikut peraturan serta undang-undang sedia ada.
Kata beliau PAS berpandangan sebarang perbezaan pandangan perlu dibincangkan melalui mesyuarat dan bukannya disuarakan di luar kerangka yang ditetapkan.
“Ini proses biasa dan boleh diselesaikan mengikut peraturan serta undang-undang parti di peringkat nasional. Yang penting, jangan bercakap di luar mesyuarat, sebaliknya adakan mesyuarat dan bincang secara berhemah,” katanya.
Menurut beliau juga sebarang perkara termasuk berkaitan jawatan Pengerusi PN atau cadangan pindaan perlembagaan gabungan itu perlu dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN seperti diperuntuk dalam perlembagaan PN.
Semua keputusan mesti dibuat dalam mesyuarat tersebut sebelum dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Takiyuddin turut memaklum PAS mencadangkan suatu tarikh mesyuarat Majlis Tertinggi PN bagi membincangkan semua isu berbangkit termasuk pelantikan jawatan pengurusan serta cadangan pindaan perlembagaan PN.
“Kita duduk berbincang dan membuat keputusan bersama. Diharapkan semua isu ini dapat diselesaikan melalui mesyuarat,” katanya.

