Serantau

‘Orae Nayu’ bentuk kelompok minoriti di Bangkok

Oleh Aslani M |

BERDASAR kajian penduduk Muslim di selatan Thailand lebih selesa dikenali sebagai Orae Nayu (orang Melayu). Mereka bertutur (kecek nayu) menggunakan bahasa Jawi-Melayu tempatan.

Situasi itu membezakan dengan Orae Siye (orang Siam), iaitu merujuk penganut Buddha yang merupakan penduduk majoriti di Thailand.

Orang Islam dikatakan akan tersinggung sekiranya digelar sebagai ‘Muslim Thai’. Ini kerana bagi mereka, orang Melayu tidak boleh dilabel istilah lain selain daripada perkataan Muslim.

Kajian menemui istilah ‘Muslim Thai’ sebagai tanda asimilasi paksa oleh kerajaan Thai. Situasi itu agak berbeza dengan penduduk Muslim di bahagian tengah Thailand dan Bangkok.

Orang Islam etnik Melayu bertutur dalam bahasa Thai di wilayah selatan hulu Satun, Krabi, Nakorn Si Thammarat, Phangnga, Phuket dan Songkla. Sebahagian mereka merupakan pendatang yang berhijrah dari Kedah dan Perlis.

Manakala di dataran tengah yang merupakan kawasan pertanian padi yang subur, penduduk Islam tinggal di sepanjang Sungai Chao Phraya merangkumi wilayah Bangkok, Ayutthaya dan Nonthaburi.

Penduduk Muslim terbabit daripada berbilang etnik yang bertutur dalam bahasa Thai. Mereka merupakan etnik Cham, India, Pakistan, Indonesia, Sri Lanka, Melayu, Pathan dan Parsi.

Mereka juga dikenali sebagai Muslim transcultural yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi di Bangkok dan lembah Chao Phraya.

Kumpulan terbabit juga merupakan kelompok elit yang berjaya dalam kehidupan. Mereka menyumbang kepada penghasilan kesarjanaan dan wacana agama Islam dalam bahasa Thai.

Antaranya Ustaz Shafie Abdul Kadir, 91 yang merupakan Imam Besar Islamic Centre of Thailand yang berpusat di Bangkok. Beliau merupakan susur galur keluarga dari Patani.

Ustaz Shafie belajar di Darul Ulum al Diniah, Makkah selama enam tahun dan kemudian meneruskan pengajian dalam bidang usuluddin Universiti Al Azhar Mesir, juga enam tahun. Selepas pulang dari luar negara Ustaz Shafie berkhidmat dengan kerajaan Siam dan mengajar di sekolah di Bangkok.

Majlis Islam

Majlis Islam Pusat Thailand ditubuhkan di bawah Akta Pentadbiran Pertubuhan Islam BE 2540 (1997). Organisasi itu diketuai Sheikhul Islam sebagai pengerusi lembaga. Ahli-ahli lembaga dilantik Raja. Ahli Lembaga merupakan delegasi jawatankuasa Islam wilayah dari 36 wilayah.

Tempoh perkhidmatan ahli Lembaga selama enam tahun. Manakala lembaga lain yang dipilih oleh Sheikhul Islam berdasar satu pertiga daripada bilangan delegasi jawatankuasa Islam wilayah.

Peranan utama Majlis Islam Pusat Thailand iaitu memberi nasihat kepada kerajaan, mengeluarkan pensijilan produk halal, mengeluarkan dokumen terjemahan bahasa Inggeris dan Arab.

Selain itu pengesahan dokumen, pengesahan perkahwinan dan perceraian, pengesahan pemelukan agama Islam, menjawab masalah agama, penyebaran dan promosi Islam melalui jurnal, radio, televisyen, laman web, dan sebagainya.

Badan itu juga mendiagnosis, pengantaraan atau penghakiman pertikaian antara organisasi mengikut undang-undang serta kepentingan awam dan tanggungjawab sosial.

Berdasar data terdapat kira-kira 3,900 masjid di seluruh Thailand dan 180 daripadanya berada di Kota Metropolis Bangkok. Selain itu terdapat juga kira-kira 600 sekolah Islam menawarkan pengajaran sekular dan agama.

Kampung Melayu

Di pinggir Kota Bangkok terdapat perkampungan Melayu-Islam iaitu di wilayah Panthumthani. Penduduk Melayu di Khlong Luang, Phathumthani daerah Rangsit kebanyakan berasal dari selatan Thailand.

Datuk nenek mereka berhijrah ke wilayah terbabit lebih 200 tahun lalu. Mereka berasal dari Patani, Narahiwat, Kelantan dan Kedah. Penduduk yang ada sekarang merupakan generasi kelima dan keenam.

Nenek moyang mereka menetap di situ selepas tewas membantu kerajaan Patani Darusalam menentang kerajaan Ayutthaya. Sebelum itu ibu kota kerajaan Ayutthaya telah ditakluk Burma. Berikutan itu Ayutthaya meminta bantuan Patani dan Kedah bagi menawan kembali ibu kota mereka. 

Pemerintah Patani iaitu Sultan Muzaffar Shah dan Raja Mansur bersama-sama 1,500 tentera bertolak ke ibu kota Ayutthaya. Bagaimanapun selepas tentera kerajaan Patani sampai, tentera Burma telah pulang.

Peluang itu diambil Sultan Muzaffar Shah untuk menakluk Ayutthaya. Malangnya angkatan tentera Patani tewas dan gagal menawan Ayutthaya sehingga menyebabkan tentera Patani terperangkap.

Berdasar kajian hanya Raja Mansur bersama 40 tentera yang sempat pulang ke Patani. Selebihnya tentera Patani ditangkap dan dijadikan hamba. Mereka merupakan orang Melayu pertama yang membuka perkampungan di Bangkok dan kawasan tengah Thailand.

Sebenarnya berdasar catatan sejarah, orang Melayu berhijrah ke Phathumthani sebelum Burma menyerang Ayutthaya. Mereka merupakan golongan pedagang yang berasal daripada Melaka, Kedah dan Patani yang menetap di situ sebagai golongan minoriti.

Hadiah tanah

Raja Siam menghadiahkan mereka tanah pertanian bagi membentuk komuniti Melayu-Islam di Phathumthani .

Menurut seorang penduduk Abdul Wahad Abdullah, 72, Raja Siam ketika itu membenarkan penduduk Melayu memiliki tanah sebagai benteng bagi menghadapi serangan tentera Burma.

“Penduduk Melayu yang mana sebahagian mereka merupakan pejuang Patani menjadi harapan kepada Raja Siam bagi menghalang kemaraan tentera Burma masuk kembali ke Bangkok.

“Raja Siam membenarkan orang Melayu memiliki sebanyak mungkin tanah di kawasan berkenaan, yang diusahakan dengan tanaman padi sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Di tempat tersebut terdapat sebuah masjid yang menjadi pusat aktiviti penduduk. Masjid Kaewnimitr setinggi dua tingkat berada di tengah-tengah komuniti Melayu-Islam.

Selain itu komuniti Melayu terdapat juga keturunan Myanmar yang berhijrah ke penempatan terbabit sejak beratus tahun lalu. Ada di antara mereka berniaga sebagai sumber rezeki. Kelompok tersebut juga membentuk lebih rama komuniti Islam di Panthumthani.

Di wilayah Panthumthani juga terdapat Masjid Nurulayakin. Penduduk di situ memiliki Yayasan Islam Sri Pathum yang berperanan memartabatkan Melayu dan Islam di kawasan berkenaan. Selain itu terdapat universiti dan pusat pengajian tinggi. Ramai anak orang Melayu belajar di institusi pengajian tinggi terbabit. Malangnya generasi baharu tidak lagi pandai berbahasa Melayu. Makin hilang identiti Orae Nayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *