
Oleh NORZANA
ADUN Gual Ipoh, Tanah Merah mengumpul dana sebanyak RM50,000 bagi membina laluan baharu menghubungkan Jambatan Guillemard View, Kusial dengan Bandar Baru Kota Harmoni.
Bahari Mohamad Nor memberitahu RM30,000 daripadanya digunakan membeli batu kuari dan menyewa jentera, manakala selebihnya dibiayai melalui peruntukan Rancangan Kecil Pembangunan (RKP).
Manakala kos tambahan diperolehi melalui sumbangan rakan-rakan bagi membeli peralatan termasuk pembentung.
“Projek berkenaan dijalankan secara berperingkat melibatkan jarak sepanjang 1.58 kilometer bermula dari muara Sungai Kusial sehingga ke Kota Harmoni.

“Laluan itu dapat memendekkan jarak antara lokasi pelancongan tersebut ke Kota Harmoni. Akses baharu tersebut secara tidak langsung mempercepatkan pembangunan ekonomi sekitar Gual Ipoh dan Bukit Panau,” katanya di Tanah Merah, Kelantan.
Menurutnya sebelum ini laluan itu tidak ada dan sekarang boleh dilihat melalui peta satelit.

Bahari turut memaklumkan laluan tersebut hanya memerlukan sebuah jambatan kecil untuk disambungkan terus ke Jambatan Guillemard.
Kata beliau laluan itu akan ditambun batu kuari bagi memudahkan penduduk dan pelancong beriadah di Guillemard View kerana jaraknya lebih dekat berbanding jalan sedia ada.
Tambahnya, laluan baharu tersebut hanya melibatkan tanah kerajaan negeri dan rizab sungai tanpa terbabit lot milik penduduk.
“Lagipun di Kota Harmoni sekarang sedang dalam pembinaan sebuah pasar raya yang dijangka menjadi tumpuan orang ramai apabila beroperasi nanti.
“Projek tersebut akan memberi limpahan ekonomi baharu di kawasan tersebut serta mengurangkan kesesakan trafik di persimpangan lampu isyarat Batu Hitam terutamanya pada musim perayaan,” ujarnya.