Agenda SD gugat kerajaan negeri

Oleh M Faqih
MEMENANGI pilihan raya menjadi fokus utama setiap parti politik. Malah itulah tujuan parti politik diwujudkan dalam konteks demokrasi berparlimen.
Apabila wujud parti, tentunya perlu ada pemimpin. Tanpa pemimpin dan organisasi parti sukar berfungsi. Maka bagaimana cara hendak melantik pemimpin.
Islam ada panduannya. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang dipertanggungjawab mengurus urusan orang Islam, lalu dia melantik seseorang kerana kasihnya, maka dia mendapat laknat Allah. Allah tidak akan terima segala kebajikan dan amalannya.” Riwayat Ahmad.
Malah, banyak pengajaran daripada sejarah lampau. Parti yang diwarisi daripada susur galur keluarga dan kroni akan berdepan dengan konflik.
Sejarah seperti itu berlaku di mana-mana. Antaranya, penolakan terhadap kepimpinan Datuk Asri Muda di Kelantan pada awal 1980-an, ada hubung kait dengan pola mengetegahkan kaum kerabat dan sahabat handai sebagai calon pilihan raya.

Bermula dari situ muncul kepimpinan ulama bagi menggantikan aliran pemikiran nasionalisme agama. Pada era awal kemunculan PAS aliran nasionalisme agama begitu kuat.
Nasionalisme agama menjadikan agama sebagai teras identiti nasional dan panduan pemerintahan. Sebaliknya nasionalisme sekular berpaksi kepada akal dan undang-undang awam sebagai panduan.
Selepas mendapat kuasa politik masih ada kumpulan politik Islam belot dalam perjuangan. Sejarahnya tidak pernah sunyi.
Adun vs MB
Pada November 1961 berlaku undi tidak percaya di Terengganu susulan beberapa Adun PAS keluar parti dan menyokong Umno. Sedangkan sebelum itu pada pilihan raya umum (PRU) pertama selepas Tanah Melayu merdeka pada 1959, PAS menang 13 kerusi di Terengganu.
Umno pula kuasai tujuh kerusi Dun dan Parti Negara (4). PAS berjaya membentuk kerajaan dengan simple majoriti. Usaha menumbangkan kerajaan PAS berlaku pada Julai 1961 melalui usul undi tidak percaya, namun gagal.

Konflik timbul antara Menteri Besar Mohd Daud Abdul Samad dengan beberapa orang Adun PAS. Isu berkaitan pembahagian jawatan, pengaruh peribadi dan perbezaan pendekatan mentadbir negeri.
Kemuncaknya pada November ada Adun Parti Negara dan PAS beralih sokongan daripada Mohd Daud. Selain itu faktor tekanan politik Persekutuan menyukarkan kerajaan PAS Terengganu berfungsi dengan lancar.
Akhirnya usul undi tidak percaya kali kedua berjaya membawa kepada kerajaan PAS tumbang. Usul undi tidak percaya dibentangkan di Dewan Undangan Negeri. Berikutan itu Mohd Daud terpaksa berundur.
Situasi serupa berlaku di Kelantan 1977. Persaingan politik dalaman PAS berlaku antara Datuk Mohd Asri Muda dan Datuk Mohamad Nasir.

Mohamad Nasir dilantik menteri besar pada 1974 selepas PRU. Sebelum itu pada 1973 PAS menyertai Perikatan ekoran pelawaan Tun Razak selepas berlaku tragedi 13 Mei 1969.
Pada PRU 1974, PAS bersama Umno dalam BN menang besar. Berikutan kemenangan itu Mohamad Nasir dilantik sebagai menteri besar biarpun pada awalnya PAS mencalonkan tokoh lain.
Namun, hasil campur tangan Umno dan istana membolehkan Mohamad Nasir dilantik sebagai menteri besar. Sepanjang menerajui kerajaan negeri Mohamad dikatakan lebih berkiblat kepada Umno.
Konflik mulai meruncing apabila ‘Kumpulan 20’ yang dianggotai Adun PAS mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Pakar sejarah Dr Mustafa Ahmad berkata, usul berkenaan dibawa Adun Simpangan, Hussin Abdullah dan disokong Adun Bandar Pasir Mas, Hashim Omar.
“Menurut Warta Kerajaan Negeri, persidangan Dun itu diadakan pada 10 Oktober 1977. Usul tersebut mendapat sokongan 20 Adun dan 16 lagi menentang. Usul terbabit akhirnya membawa pengisytiharan darurat di Kelantan. Dan pada pilihan raya negeri Mac 1978 kerajaan PAS jatuh,” katanya.

Begitu juga kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada akhir Februari 2020. Ia juga berpangkal krisis dalaman. Bersatu keluar daripada PH. Diikuti kumpulan bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, mufarakah daripada PKR.
Mungkinkah situasi serupa berlaku di Perlis sekarang. Pergolakan dalaman Perikatan Nasional (PN) yang membabitkan Adun Bersatu dan PAS.
Akuan bersumpah

Menurut laporan lima Adun Bersatu dan tiga Adun PAS menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyingkirkan Mohd Shukri Ramli sebagai menteri besar.
Pemerhati politik tempatan Dr Zulkeflee Yaacob menyifatkan kemelut politik di Perlis menemui titik merah apabila Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.
Beliau merupakan Timbalan Pengerusi PN mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis ke-12 selepas diperkenankan Raja Perlis.
“Senario politik Melayu Islam masih kabur sama ada peringkat negara mahupun negeri bersengketa dan berantakan atas jalur kuasa dalam demokrasi,” ujarnya.
Ekoran penglibatan tiga Adun menandatangani SD mengundangkan mereka terhenti keahlian serta merta sebagai ahli parti PAS berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1) (b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Mereka iaitu Adun Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Dr Zulkeflee berkata, bagi meredakan sulu politik Mohd Shukri mengumumkan peletakan jawatan Menteri Besar Perlis. Manakala Speaker DUN Perlis menyatakan kerusi Adun Perlis yang dipecat diisytiharkan kosong.
Sirah
Dalam sejarah Islam peristiwa perang Uhud memperlihat perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan tentera Muslimin mengenai taktik peperangan.
Rasulullah SAW mengikut pandangan majoriti sahabat, yang berpengalaman dalam Perang Badar dengan taktik menghadapi perang di luar kota.
Sikap kaum munafik diperlihat apabila Ubay bin Sahul khianat ketika pasukan kaum muslimin sampai di Asy-Syawat. Mereka menarik diri bersama tiga ratus orang munafik dengan alasan tidak mungkin dapat berperang melawan orang musyrik di luar kota Madinah.
Peristiwa itu merupakan pengkhianatan besar dalam sejarah Islam. Situasi politik Melayu Islam sehingga sekarang masih bersengketa kerana misi mendapatkan kuasa.

Pensyarah UTM Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mazlan Ali menyifatkan tindakan lima Adun Bersatu bersekongkol dalam gerakan Akuan Bersumpah (SD) bagi menumbangkan menteri besar adalah satu bentuk pengkhianatan.
Pesuruhjaya PAS Tuan Guru Ahmad Ali pula menasihatkan sebagai ahli PAS hendaklah memberi kepercayaan (tsiqah) kepada kepimpinan.

“Serahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk menangani permasalahan yang berlaku,” katanya pada kenyataan.

Apa kesudahan episod di Perlis. “Kita tengok apa tindakan Bersatu ke atas lima Adunnya yang menandatangani SD. Khabarnya mereka akan meeting lepas Tan Sri Muhyiddin Yasin balik,” ujar penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusoff.
