Anwar bukan lagi harapan rakyat..

Oleh Aslani M & Salmah Mat Husain |
NAMA Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mulai melonjak ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) Kemaman pada Disember 2023.
Kemenangan besar PAS pada PRK tersebut mengejutkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Sedangkan Kemaman merupakan kubu tradisi Umno sejak merdeka sehingga 2018. Kubu Umno di Kemaman mulai runtuh pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

Ketika itu calon PAS Che Alias Hamid menewaskan penyandang Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek. Ramai tidak menjangka tokoh hebat Umno tewas di kubu sendiri. Dan pada pilihan raya umum 2022, Che Alias sekali lagi mempertahankan parlimen Kemaman dengan majoriti lebih besar iaitu 27,179 undi.
Bagaimanapun PAS memperkukuhkan penguasaan di Kemaman pada PRK melalui Dr Samsuri. Menteri Besar Terengganu menggantikan Che Alias pada PRK tersebut.
Dr Samsuri menang dengan majoriti jauh besar iaitu 37,220 undi. Biarpun Umno mempertaruhkan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, namun Umno terus malap di Kemaman.
Ketika itulah nama Dr Samsuri tambah popular. Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan Dr Samsuri layak menduduki kerusi perdana menteri.

Kenyataan itu dilontar Tun pada 2 Disember 2023 sempena ceramah perdana ‘Grand Finale’ PRK Parlimen Kemaman di Padang Astaka Chukai.
“Dr Sam dah memang layak jadi perdana menteri. Walaupun saya bukan ahli PAS mahupun Bersatu, namun saya menyokong penuh perjuangan kedua-dua parti tersebut,” katanya.
Menurutnya juga Dr Samsuri mempunyai keperibadian yang lengkap sebagai seorang pemimpin tertinggi.
Kesilapan
Selepas lebih dua tahun kenyataan dilontarkan Dr Mahathir, tiba-tiba seorang pensyarah menyifatkan pelantikan Dr Samsuri sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai satu kesilapan.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub dari Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya (UM) dilapor menganggap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai pengaruh lebih besar.
Malah, sebelum itu seorang pemimpin PAS di Sungai Buloh, Selangor Zaharudin Muhammad mendakwa parti itu bakal kehilangan 37 kerusi Parlimen sekiranya Dr Samsuri menerajui PN.
Beliau dilapor mendakwa dapatan itu diperoleh daripada data dalaman. Lazimnya setiap data berpunca daripada kajian. Namun, apabila individu terbabit enggan mendedah kerangka kajian, maka kenyataan Zaharudin dianggap sebagai sembang kedai kopi
Isunya mengapa Zaharudin dan Dr Tawfik membuat kesimpulan awal ketika gelanggang versi baru PN mulai dibuka. Sebenarnya siapa Dr Samsuri. Rakyat Terengganu sudah lama mengenalinya.

Dr Samsuri memliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Aeroengine Ignition and Combustion. Selain itu Ijazah Sarjana Sains dalam Combustion and Energy daripada University of Leeds.
Beliau menahkodakan negeri Terengganu masuk penggal kedua. Sepanjang tempoh itu ekonomi negeri terbabit menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan sejak 2018.
Dr Samsuri dilapor berjaya menarik pelaburan berjumlah RM14.86 bilion merentasi pelbagai sektor. Dan sehingga Jun 2025, negeri itu mencatat pelaburan sebanyak RM6 bilion.

Malah, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi menyifatkan kenyataan pensyarah Universiti Malaya terbabit sebagai pandangan yang terpisah daripada realiti.
Baginya Dr Samsuri bukan sekadar figura retorik, sebaliknya mempunyai rekod pentadbiran negeri yang stabil serta pendekatan kepimpinan tersusun dan tenang.
Kata beliau keupayaan menyatukan parti-parti komponen PN dan menggerakkan jentera menuju PRU16 lebih penting berbanding populariti di media sosial.
“Cadangan pensyarah terbabit menampil nama seperti Dato’ Seri Rafizi Ramli dan Khairy Jamaluddin sebagai pengerusi PN, ia dianggap tidak realistik kerana mereka bukan dari rumah PN.
“Politik bukan sekadar wacana di kampus. Ia adalah ujian kepercayaan rakyat di peti undi,” katanya di Kota Bharu semalam.
Pemimpin lokal
Di sebaliknya sokongan bertali arus diterima Dr Samsuri, ada pula pihak mencadangkan beliau melepaskan jawatan sebagi menteri besar Terengganu bagi memberi tumpuan menawan Putrajaya pada PRU16.
Sedangkan dalam banyak kes, ramai tokoh terkenal dunia bermula daripada jawatan lokal sebelum melonjak ke peringkat lebih tinggi.
Antaranya Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan bermula dengan jawatan Datuk Bandar Istanbul. Begitu juga bekas presiden Indonesia Joko Widodo merupakan bekas Datuk Bandar Jakarta.

Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia turut menamakan bekas perdana menteri United Kingdom Boris Johnson dan bekas presiden Amerika Syarikat George W Bush sebagai pemimpin dunia yang meningkat naik daripada jawatan tempatan.
Baginya Dr Samsuri perlu kekal mengetuai pentadbiran negeri untuk membuktikan beliau layak dengan syarat dapat meningkatkan ekonomi Terengganu ke tahap lebih memberangsangkan.
“Kejayaan di negeri boleh menjadi asas untuk menguatkan lagi hujah penyokong PAS yang menggambarkan Dr Samsuri layak disenarai sebagai calon perdana menteri.
“Ramai pemimpin dunia mengorak langkah politik mereka dengan kejayaan peringkat tempatan,” ujarnya seperti dilapor laman berita.

Mungkinkah Dr Samsuri boleh dianggap sebagai jelmaan Erdogan dan Joko Widodo di Malaysia. PRU16 akan menjadi menentu. Namun, syaratnya perpecahan dalaman Bersatu perlu dicantum semula.
Ini kerana ramai merasai gelombang rakyat 2022 masih bersisa. Dan ditambah pula Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim banyak terperangkap dengan gaya kepimpinannya. Paling jelas isu perjanjian perdagangan timbal balik dengan Amerika Syarikat.
Selain itu perjanjian jajaran sempadan antara Sabah dan Kalimantan menjadi buah mulut rakyat di Borneo. Anwar digambarkan bukan lagi menjadi harapan rakyat.

