Cuit Oghe Kito

Apa lagi perlu kita tunggu, kata Dr Akmal

Oleh M Faqih

RAKYAT Perlis berada di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih tiga tahun. Tiada sesiapa pun menduga bermula 20 November 2022 Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negeri itu sejak merdeka tumbang.

Ada pihak menggambarkan kesan gelombang hijau. Namun, tidak dapat dinafikan titik tolak gelombang bermula selepas Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dipecat daripada Umno.

Shahidan digugurkan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perlis pada 24 April 2021 selepas mengkritik Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ramai melihat pengguguran itu ada kaitan tindakan Shahidan membuat laporan polis mengenai rakaman perbualan telefon antara Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Percaturan Zahid akhirnya membawa kerajaan BN yang menguasai Perlis lebih enam dekad tumbang pada pilihan raya umum (PRU) 2022.

Pengaruh Shahidan sehingga membawa kepada kekalahan Umno pada PRU lepas turut diakui Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan Mursyidul Am PAS Datuk Tuan Guru Hashim Jasin.

Dan selepas lebih empat tahun berlalu, tumpu politik sekali lagi terarah ke Perlis. Kali ini hanya sekadar kocakan air dalam cawan. Isu tersebut tenggelam di sebalik musim Monsun Timur Laut.

Monsun Timur Laut sedang melanda Perlis sekarang. Ia bermula Disember hingga Mac. Monsun tersebut membawa udara sejuk dan kering, serta suhu malam sekitar 20° Celcius.

Angin monsun kadang-kadang bertiup agak kencang. Suasana itu lebih terasa pada sebelah petang dan malam. Suasana nyaman itu dikenali sebagai ‘winter wind’ sesuai untuk tanaman harumanis. 

Di mana-mana sahaja kelihatan pokok harumanis sedang berbunga. Harumanis seumpama ‘lombong emas’ bagi penduduk Perlis kerana pulangannya begitu lumayan.

Bercakap tentang harumanis lebih menarik daripada naratif dakwaan ada Adun PN Perlis didakwa bertemu Raja Perlis kerana hilang kepercayaan terhadap Mohd Shukri.

Isu seperti itu tentunya disambar begitu pantas media perdana. Mereka mahu menjaja isu tersebut bagi menutup rakyat bercakap tentang kekecewaan terhadap rombakan kabinet kerajaan Madani.

Alih isu

Sengaja dialih tumpuan daripada Putrajaya ke Kangar dengan harapan kerajaan Madani dilihat masih stabil. Sedangkan situasi sebenar tidak begitu.

Pemimpin Umno tidak sanggup lagi dipermainkan. Terbaharu ramai pemimpin Umno amarah apabila DAP seperti mempermainkan isu berkaitan titah adendum.

Bukan setakat itu sahaja, malah ada pemimpin DAP seperti gembira apabila mahkamah menolak rayuan titah adendum.

Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin dilapor memuat naik hantaran berbunyi; ‘Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’ bersama pautan berita portal mengenai keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan titah adendum.

Hakim memutuskan titah adendum tidak pernah dibincang dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.

Berikutan penghinaan itu Umno Selangor menyifatkan tindakan pemimpin DAP menghina Najib sebagai biadab kerana tidak menghormati perlembagaan.

Timbalan Pengerusinya Datuk Johan Abd Aziz dilapor mengungkit kebimbangan rakyat terhadap DAP yang dianggap gagal menghormati asas Raja Berperlembagaan.

Kata beliau ketika mahu menubuhkan kerajaan, DAP menggunakan Titah Yang di-Pertuan Agong, namun apabila keputusan tidak memihak mereka, titah yang sama diperkecil pula.

Timbalan Ketua Umno Jerantut, Datuk Rozilan Salleh juga kecewa sikap pemimpin DAP terhadap Najib.

“DAP tetap DAP. Bukan sesuatu menghairankan dengan pendirian dua pemimpin DAP. Janganlah menyiram minyak tanah ke dalam api yang sedang marak,” katanya pada kenyataan di media sosial.

Tarik sokongan

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Salleh pula mahu partinya menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Anwar.

Apa lagi yang perlu kita tunggu? Tarik ja sokongan daripada kerajaan ini. Biar kita jadi pembangkang yang bermaruah daripada dihina dari puak-puak bebal ini!” katanya.

Aktivis politik, Dr Amran Ahmad turut mendesak pemimpin DAP menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Raja-Raja Melayu sebelum membuat bantahan berkaitan titah adendum.

Kata beliau DAP adalah parti yang masih ‘tak sedar dek untung’ kerana tanpa sokongan Umno untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, DAP tidak akan berada dalam kerajaan hari ini.

Exco Wanita Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid pula mencatat “penat kerja dengan samapah DAP jenis ini.”

Inilah sebenar isu yang berligar sekarang. Betul seperti kata pemimpin Umno, tanpa sokongan parti itu, Anwar masih mengidam menduduki kerusi perdana menteri.

Begitu juga Zahid, tidak bergelar timbalan perdana kali seperti sekarang. Tanpa sokongan Umno, kerajaan Madani boleh kehilangan 29 kerusi. Silap haribulan kerajaan PH tumbang lagi.

Riak dalam cawan

Sedangkan apa yang berlaku di Perlis sekadar riak dalam cawan. Ia bukan masalah negara sehingga boleh menjejaskan kehidupan rakyat.

PN mempunyai 14 Adun di Dun Perlis, sedangkan PH hanya memiliki seorang Adun. Umno pula tiada langsung. Isu kedudukan Mohd Shukri boleh diselesaikan dengan baik.

Seperti harapan Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis Tuan Guru Ahmad Ali yang mahu supaya ahli dan penyokong PAS memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Mohd Shukri.

Katanya di bawah kepimpinan menteri besar, kerajaan negeri menunjukkan komitmen memperkukuh tadbir urus, menjaga kebajikan rakyat serta mempertahankan prinsip Islam dan kepentingan ummah.

“Sama-sama kita menolak sebarang agenda yang bertujuan mengganggu gugat pentadbiran kerajaan negeri daripada mana-mana pihak di samping memperbaharui tekad dalam mengukuhkan kesepaduan, disiplin dan kebersamaan,” ujarnya pada kenyataan baru-baru ini.

Mohd Shukri pula terharu di atas kepercayaan serta sokongan berterusan PAS Perlis kepada kerajaan negeri dan kepimpinannya selaku menteri besar.

Mursyidul Am PAS Datuk Tuan Guru Hashim Jasin pula mahu setiap keputusan yang dibuat di muktamar PAS berkaitan kerajaan empat negeri (SG4) dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Ia penting bagi menerapkan konsep parti menguasai kerajaan. Saya berpuas hati apabila setiap negeri SG4 melaksanakan apa yang telah diputuskan di muktamar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang Empat, Perlis semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *